Paling Popular
Terkini

KOLUM | Semakin hari semakin saya merasakan bahawa menerangkan pendirian diri tanpa emosi, sambil memahami pendirian orang lain tanpa prejudis, merupakan satu kebolehan yang amat penting di zaman ledakan maklumat ini. 

Mendengar untuk memahami dan bukan untuk menyanggah, memperkatakan sesuatu untuk menerangkan dan bukan untuk memaksa, merupakan sikap yang semakin luntur dalam kalangan kita.

Tulisan saya berjudul Arak, SJKC dan Cina sekadar untuk menyingkap sentimen yang mendasari masyarakat Cina dalam isu terbabit, tidak sesekali terfikir untuk mendesak agar kerajaan bertindak mengikut kehendak komuniti Cina sepenuhnya. Apa pun, keputusan melibatkan isu politik identiti dalam sesebuah masyarakat majmuk haruslah diambil setelah mempertimbangkan keperluan semua komponen dalam masyarakat.

Kita tidak naif untuk menuntut agar kesudahan itu memuaskan semua pihak. Tetapi sekurang-kurangnya kita tidak menafikan keperluan orang lain dengan angkuh, jika pun keperluan mereka tidak dapat dipenuhi. Tiada salahnya untuk kita mengaku bahawa sesuatu tuntutan gagal dipenuhi lantaran kekangan realiti, daripada kita cuba menghukum dengan menuduh orang lain berada di pihak yang salah.

Kritikan dalam masyarakat Cina

Berbalik kepada isu penglibatan syarikat arak dalam kutipan derma untuk SRJK, wujud juga kritikan dalaman atau muhasabah diri dalam kalangan masyarakat Cina yang mempertikaikan amalan ini dari sudut kesihatan dan etika. Misalnya Kua Kia Soong, pejuang pendidikan aliran bahasa Cina sejak tahun 1983, tidak berselindung dalam meluahkan kekhuatirannya bahawa amalan ini boleh menyampaikan mesej bertentangan terhadap penggunaan minuman keras dan memberi pengaruh negatif terhadap kanak-kanak.

Hujah sebegini ditenggelamkan atau tidak dibahaskan secara terperinci dalam kalangan masyarakat Cina kerana ruang wacana diselubungi ketakutan terhadap hujah yang bertitik tolak daripada sudut agama dan politik. 

Hakikatnya, politiking berlebihan yang menjejaskan perbahasan sihat dalam masyarakat kita. Jikalau ia tidak bermula dengan serangan terhadap Aiman Athirah Sabu dari Amanah atas nama agama, disusuli dengan desakan agar ketua Wanita Amanah dan ahli Parlimen Sepang ini letak jawatan, barangkali perbincangan yang tercetus menjadi lebih rasional dan berkualiti.

Apa yang berlaku sudah berlalu. Namun, harus diingat bahawa minoriti dalam kalangan masyarakat Cina yang tidak selesa dengan penglibatan syarikat arak dalam kutipan derma untuk SJKC sekalipun akan mencadangkan “peruntukan yang adil kepada SJKC” sebagai jalan penyelesaiannya. 

Di sini komuniti Melayu mungkin mengerut dahi, “Apa lagi yang tidak cukup sedangkan sekolah Cina kelihatan mewah belaka?”

Peruntukan ‘adil’ dan ‘mencukupi’

Isu ini telah disentuh dalam tulisan Arak, SJKC dan Cina, dengan contoh tragedi seorang guru jatuh mati kerana terpijak lantai tingkat atas yang dicerobohi anai-anai. 

Pertama, seperti yang sedia maklum, sesetengah SJKC tidak mendapat bantuan penuh daripada kerajaan. Peruntukan sering dilihat tidak adil, misalnya, dalam Belanjawan 2018, RM550 juta diperuntukkan untuk penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah, dengan RM250 juta daripadanya untuk sekolah kebangsaan dan hanya RM50 juta untuk SJKC.

Malah, menurut Dong Zong (Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia), kerajaan harus mengagihkan peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), satu tuntutan yang disokong komuniti Cina tetapi nampaknya tidak direstui kebanyakan komuniti Melayu.

“Adil” menjadi konsep yang subjektif di sini kerana kita memiliki kayu ukur yang berbeza untuk menentukan nisbah agihan peruntukan. Barangkali Kementerian Pendidikan (KPM) boleh mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan agar muafakat tercapai dan tiada yang merasakan dirinya dianaktirikan dalam hal ini.

Kedua, andai kata peruntukan diagihkan secara “adil” mengikut formula yang direstui, apakah ia “mencukupi” untuk menampung keperluan dan kehendak SJKC? Sekali lagi, konsep “mencukupi” menjadi subjektif. Terdapat juga kritikan dalaman yang mempertikai pembinaan infrastruktur “agak mewah” sehingga mengundang kos penyelenggaraan yang membebankan. Logiknya mudah, jikalau infrastruktur berhawa dingin dibina, sudah tentu bil elektrik bakal melonjak pada masa depan.

Namun Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) memiliki perhitungan yang berbeza. Dewan serbaguna berhawa dingin, misalnya, boleh disewa kepada pihak luar untuk menjana pendapatan agar beban perbelanjaan sekolah diringankan. Persoalannya sekarang, jikalau dewan itu disewa untuk jamuan orang Cina, apakah pengambilan minuman keras dibenarkan dalam premis sekolah?

Insecurity dalam komuniti Cina

Apa pun, berbalik kepada mentaliti ibu bapa Cina yang mahukan segala yang terbaik untuk anak-anak dalam pendidikan – apakah ia wajar? 

Sejujurnya, saya tidak bersetuju untuk “memanjakan” budak dengan “segala yang terbaik”. Mengutip derma daripada tukang masak yang berpeluh-peluh ketika berniaga untuk pembinaan bilik darjah berhawa dingin adalah tidak masuk akal bagi saya.

Namun, saya cukup faham mengapa masyarakat Cina sanggup melakukan segala-galanya untuk membangunkan pendidikan – kerana “rasa tidak selamat” dalam diri mereka. Mereka menyedari tiada tempat untuk disandar andai diri tidak berdikari. Maka mereka perlu mempersiap siagakan diri untuk berdepan dengan apa jua cabaran. Untuk itu, pendidikan merupakan pelaburan yang paling terjamin.

“Rasa tidak selamat” ini mengasuh komuniti Cina agar lebih tahan lasak dalam kehidupan harian. Tidak kurang siswa siswi Cina yang bekerja sambilan ketika melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi. Bukan semua siswa siswi Cina di kolej atau universiti swasta kerana berasal dari keluarga yang kaya raya, malah ada juga yang mengisi perut dengan mi segera, kalau pun tidak mengikat perut ketika zaman kampusnya. Golongan sebegini biasanya disekat dari universiti awam kerana kuota.

Maka tidak hairanlah mengapa komuniti Cina sanggup mencurahkan sumber mereka ke dalam bidang pendidikan. Andaiannya, seseorang yang berilmu dan berkemampuan boleh berjaya di mana-mana. Sekiranya bakat seseorang tidak diiktiraf atau kelayakannya dinafikan lantaran dasar tertentu, dia boleh mencuba nasib di tempat yang menghargai dan meraikannya.

Kitaran negatif yang berlegar

Bukan untuk menjustifikasikan fenomena ini, tetapi sekadar berkongsi pengamatan dan analisis bagaimana realiti menjurus kepada ketempangan ini. Sesetengah Cina yang berjaya dilihat “angkuh” (tidak bersyukur) kerana seolah-olah menganggap kejayaannya merupakan hasil keringat sendiri semata-mata, tanpa bantuan orang lain. Sesetengah Cina pula dilihat tidak “patriotik” kerana setelah menerima pendidikan rendah dan menengah di tanah air, mereka berkhidmat di negara lain.

Namun, persoalannya, apakah mereka diiktiraf sebermulanya?

Sekali lagi, tuding menuding tidak menyelesaikan masalah telur dan ayam ini. Masyarakat Cina akan menuntut mereka diiktiraf, sementara masyarakat Melayu akan menuntut agar Cina membuktikan patriotismenya. Cina akan persoalkan, apakah aksi berhempas pulas untuk membawa balik pingat Olimpik itu tidak memadai? Melayu pula akan mempersoalkan, mengapa Cina tidak pandai berbahasa Melayu? 

Rumit dan kalut, bukan?

Tiada jalan singkat untuk penyelesaian masalah yang berlonggok sejak zaman kemerdekaan. Namun kita boleh bermula selangkah demi selangkah, sebagaimana beregu lelaki badminton kita, Aaron Chia dan Soh Wooi Aik mengutip semata demi semata, sebelum mencapai kemenangan di ambang kekalahan. Selepas itu mereka berpelukan dengan wartawan sukan sensasi, Shahrazad Sani (aka Bang Med), meraikan kejayaan bersama untuk Malaysia.

Apa pun, Aaron Chia dan Soh Wooi Aik adalah anak Malaysia bukan sekadar di dalam gelanggang, tetapi juga di luar gelanggang, bukan? 


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS