Paling Popular
Terkini

KOLUM | "Skoloh dia ada lift," kata Cina Musang. Dia cikgu sekolah.

Semasa bertugas menjaga peperiksaan di sebuah sekolah, dia mendapati sekolah berkenaan agak mewah berbanding sekolahnya sendiri.

"Aku mintak 20k, seminggu je dah dapat," kata Jijah Sambal Kicap. Dia juga cikgu sekolah. Jijah dan Cina Gua Musang kawan rapat walaupun jarang berjumpa. Kedua-dua mereka mengajar di sekolah kerajaan.

Kami lupa mengapa Jijah memerlukan wang berkenaan untuk sekolahnya. Nak beli kicap buat cicah sambal kicap gamaknya. Maklumlah, Jijah orang Johor maka semua benda mesti disulam dengan sambal kicap.

Sekolah yang ada lif itu terletak di kawasan yang penduduknya tidak ramai orang Melayu. Begitu juga sekolah yang boleh mengumpul RM20,000 dalam masa seminggu itu.

Lif dan juga wang tersebut adalah usaha PIBG sekolah tersebut.

Jika kamu belum tahu, sekolah-sekolah kerajaan hari ini akan mengambil masa yang agak lama untuk membaiki sebarang kerosakan. Mungkin kerana kerenah birokrasi atau pun mungkin juga kerana kerajaan memang tidak ada duit.

Atau mungkin juga kerana mereka yang membentuk kerajaan itu sedang sibuk mencari jalan tentang bagaimana untuk menang pilihan raya. Dan memang itu pun kerja hakiki mana-mana partai politik yakni mahu menang.

Tidak kiralah parti politik yang sedang memerintah atau pun yang masih sedang berusaha jadi kerajaan.

Bukan bising di media sosial

Semua partai politik kerjanya adalah berbalah. Dalam ralit berbalah, mereka pun lupa menjadi manusia.

Menurut orang pandai-pandai, apa yang dilakukan oleh mereka di atas tentu sekali akan mempengaruhi dan diikuti oleh orang bawah. Maka tidak ada kehairanan apabila hampir seluruh rakyat Malaya ini kerjanya adalah bergaduh.

Penyokong partai bergaduh. Orang agama bergaduh. Marhaen bergaduh.  Masing-masing tunjuk pandai. Masing-masih mengaku penyuluh jalan ke sorga.

Si marhaen yang bahlul itu pun jadi keliru. Tetapi kerana tidak mahu ketinggalan, sekali tumpang tui. Maka huru-haralah seluruh negeri.

Kerana kerajaan sudah tidak boleh diharap maka layaknya kita semua harus bertindak sendiri.

Jika kita melihat sekolah anak-anak kita sudah rosak teruk, jangan bising di media sosial. Kita duduklah berpakat dan cari jalan bagaimana sekolah-sekolah tersebut boleh dibaiki.

Kumpulkan dana dan lakukan kerja itu tanpa perlu ada nafsu mahu diberi publisiti untuk diri sendiri.

Kamu tidak memerlukan pengikut seperti semua pempengaruh yang apabila menolong orang, dijadikannya bahan kandungan media sosial. Harga diri kamu tidak serendah itu.

Kamu ada prinsip dan kamu yakin tentang adanya tuhan.

Lakukan sesuatu hanya kerana Tuhan dan percaya bahawa selain ketenangan diri, kamu juga akan lebih bahagia dalam menjalani hidup. Tidak ada tekanan kepada orang yang melakukan kerja dan tidak mengharap tepuk tangan daripada sesiapa.

Bangsa suka menderma

Didapati juga kebanyakan bilik-bilik guru di sekolah-sekolah seluruh negara tiada penghawa dingin. Dalam cuaca yang semakin hari semakin panas ini maka tidak menghairankan apabila ramai guru memohon untuk bersara awal.

Iyalah, sudahlah anak-anak kamu macam setan, balik ke bilik guru mahu berehat, biliknya panas pula. Memang patut pun cikgu-cikgu itu panas hati.

Lalu kumpullah sedikit wang dan hadiahkan sebuah atau lebih penghawa dingin untuk keselesaan guru-guru yang mendidik anak-anak kamu itu. Guru yang tidak panas hati akan mengajar dengan penuh kasih sayang, dan anak-anak kamu mungkin akan terlepas daripada ditempeleng.

Setelah selesai dengan bilik guru, perlahan-lahan kamu usahakan pula agar semua kelas ada penghawa dingin demi keselesaan anak-anak kamu yang perangainya macam jin bertendang itu.

Mana tahu, kerana selesa di dalam kelas, anak-anak kamu itu nanti akan rajin ke sekolah untuk belajar dan menjadi manusia yang lebih baik berbanding kamu sendiri.

Kita semua memang terkenal sebagai manusia yang suka bersedekah. Lihat bagaimana tabung-tabung derma untuk masjid yang sentiasa tidak berkurangan.

Lihat pula badan-badan yang kerjanya mengutip derma untuk membantu apa pun mangsa ketidakadilan di seluruh dunia sentiasa mendapat sambutan. Malah banyaknya wang yang kamu sumbangkan itu sehingga membuatkan sesetengah daripada mereka jadi gelap mata.

Dicurinya dan dibelanjakan duit itu untuk kepuasan peribadi.

Maka adalah lebih baik sekiranya kamu ambil sebahagian daripada wang tersebut dan cari jalan bagaimana kamu boleh membantu sekolah, tidak kiralah sama ada milik penuh kerajaan atau tidak.

Mungkin kamu sudah tahu - atau mungkin juga tidak - namun kami akan beritahu bahawa memberi wang kepada sekolah juga akan membuahkan hasanah. Kamu akan dapat pahala kerananya.

Ia termasuk dalam kategori berjuang dijalan Allah.

Anak-anak kamu yang masih bersekolah itu sedang menuntut ilmu dan dikira sedang berjuang. Tugas kamu adalah membantu semua orang yang terlibat dalam perjuangan tersebut.  

Tugas kamu juga adalah memberi keselesaan kepada semua orang yang terlibat membentuk generasi yang lebih baik.

Jika universiti ada yang memberi zakat kepada penuntutnya, maka kamu sebagai manusia waras harus membantu sekolah-sekolah untuk jadi lebih baik. Jangan marah apabila PIBG minta lebih RM10 untuk tahun itu, misalnya.

Malah lebih baik jika diminta RM10 kamu hulurkan RM15. Tunjukkan dan buktikan bahawa kamu benar-benar peduli.

Cikgu pencen pun

Badan-badan zakat yang ada juga boleh memainkan peranan. Jangan hanya sibuk memberi beg sekolah, tetapi sekali-sekala badan tersebut boleh juga membantu membawa keriangan yang lain kepada murid-murid.

Bangku dan meja serta cermin nako baru bagi menggantikan segala peralatan yang dah usang, misalnya.

Rajin-rajinlah datang ke mesyuarat PIBG dan lihat apa masalah yang perlu diselesaikan. Tapi jangan pula kamu sibuk berebut jawatan dalam persatuan tersebut kerana tugas berebut minta dijulang adalah milik mutlak ahli-ahli politik yang kita semua tahu adalah jenis bodo blaker.

Penyokong mereka juga boleh tahan bengapnya.

Pepatah ada mengatakan bahawa "jika kamu tidak boleh melawan mereka, sertailah mereka".

Bukanlah kami sampai hati untuk menyuruh kamu mencari syarikat bir untuk menaja apa pun aktiviti sekolah anak-anak kamu. Tetapi lihatlah bagaimana cara mereka bergerak, dan tiru.

Jika mereka memilih syarikat arak, maka kamu carilah syarikat yang jujur syariah untuk bersama kamu dalam hal menambah baik persekitaran sekolah anak-anak kamu itu.

Kamu semua ada wang dan boleh melakukannya. Jangan terlalu sibuk mahu makan angin dan memuatkannya di media sosial. Ketepikan sedikit wang itu untuk membina masa depan anak-anak yang akan mewarisi dunia ini.

Guru-guru yang sudah pencen pula sepatutnya lebih tahu apa yang berlaku di sekolah.  Wang imbuhan persaraan yang kamu terima itu, peruntukkan sedikit untuk sekolah.

Jangan sibuk mahu makan angin tengok salji tengok kanggaru.

Setelah pergi haji atau umrah, pergi pula tengok apa yang diperlukan oleh sekolah. Pencen RM4,000 hingga RM5,000 sebulan yang kamu terima itu sudah cukup untuk membiayai hidup kamu sementara menunggu mati.

Dah memang pun kamu akan mati.

Jika pun kamu bukan guru atau tidak ada anak yang masih bersekolah, kamu juga boleh melakukan hal yang sama. Lihat-lihat sekolah di kejiranan kamu dan tanya apa yang mereka perlukan, dan bantu jika boleh.

Kemudian daripada itu, apabila kita semua bersungguh dalam hal memajukan anak-anak, kita akan dapati bahawa kita sebenarnya tidak memerlukan kerajaan yang bodoh sebagai pemerintah kita dari lama dulu sehingga hari ini.

Yang boleh dipuji tentang Cina Gua Musang itu ialah apabila dia rajin membantu muridnya yang agak susah dalam hal kewangan. Sementara Jijah pula sedang menyiapkan PhD.

Kita andaikan yang Jijah berbuat demikian kerana mahu memajukan anak ‘bangsa Johornya' tetapi kita semua tahu yang dia berbuat demikian sebab nak naik pangkat.


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis yang sentiasa dekat dengan dunia pendidikan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS