KOLUM | Orang terkenal biasanya akan mudah dihinggapi penyakit alzheimer yakni hanya orang sekeliling mengenali mereka, sedangkan mereka tidak.
Dan kerana kami ini orang yang dikenali (uhuk!) maka bukan sekali dua apabila ditegur orang, kami akan buat-buat mesra walaupun kami lupa siapa mereka.
Dalam dunia ini hanya ada dua orang yang nampak bergaya apabila memakai seluar jeans warna merah. Pertama, penyanyi Bandi Amuk; dan yang kedua ialah si Irwan Zain, editor portal Seni Malaya - yang jika bila ditanya mengapa hanya menyiarkan satu artikel saja sehari, dijawabnya "kerana tak ada duit nak bayar writer".
Irwan itu pula sangat terkenal dan rajin mengingati orang di sekelilingnya. Maka kami akan segera bertanya dia akan siapa orang yang tidak kami kenal tersebut.
Biasanya dia dengan mudah akan memberitahu siapa orang itu dan orang ini. Itu pun jika kebetulan dia ada bersama kami. Jika tidak, sampai ke sudah kami akan terpaksa berlakon buat-buat kenal.
Baru-baru ini kami ditegur oleh seseorang yang kami tidak kenal. Pakaianya agak kemas dan kami syak dia seorang yang penting berdasarkan seluarnya yang bergosok itu.
Setelah bercerita itu ini, kami pun dapat meneka yang dia tahu kami menulis dan juga melukis. Lalu setelah berbasa-basi dia pun mencadangkan supaya kami menulis sesuatu.
Ini biasa berlaku. Bukan sedikit orang yang mencadangkan agar kami menulis mengenai satu satu hal demi untuk memuaskan nafsu mereka. Mereka ingat kami ini penulis upahan dan murah.
Kalau mereka tahu berapa DAP dan Kerajaan Transformers sekarang ini bayar kami sebagai walanon, tentu saja mereka akan malu sendiri.
Apa fungsi sebenarnya
Dan lagi, apabila kami menulis mengenai sesuatu hal dan tidak disenangi, yang dimarah orang ialah kami seorang, sedangkan si pencadang akan elok saja tidur lena setelah datang menghasut secara tidak dijemput.
Kami pula akan terlentang di katil dengan tangan di atas dahi tak tidur hingga ke pagi.
Baser.
Lelaki yang menegur itu mencadangkan supaya kami menulis mengenai Lembaga Pengarah Balai Seni Negara.
"Cari penyakit," bisik hati cari makan kami.
Dia meminta kami bertanya apa sebenarnya fungsi mereka yang duduk di kerusi tersebut.
Apakah mereka benar-benar bertindak untuk membentuk polisi, pengurusan risiko, memantau pelan dan tindakan pengurusan tertinggi serta membentuk jaringan hubungan yang lebih baik demi memajukan badan tersebut atau sekadar menjadi perasmi apa-apa majlis anjuran Balai Seni Negara.
Kemudian dia bercerita pula fasal HRDF. Dia bertanya "BOD dia takkan tak baca fasal mana boleh labur mana tak boleh labur."
Huru-hara dan tidak tentu hala cara berbualnya itu. Sama macam apa yang penulis-penulis hebat kata mengenai gaya penulisan kami.
Seperti kami, otak dan mulutnya - atau dalam kes kami, jari-jemari kami - tidak berhubung dengan baik.
Dia lalu mencadangkan supaya BOD balai itu lebih ke depan dalam menjadikan institusi berkenaan lebih daripada sekadar tempat tarikan pelancong.
Kerut dahi bila kena bayar
Menurut dia lagi, Balai Seni Negara tidak boleh disamakan dengan galeri-galeri komersial. Maka tentu saja cara menguruskannya juga tidak boleh sama dengan mana-mana perniagaan yang berteraskan keuntungan.
"Cari maut ni, " getus hati kami, "kalau aku tulis ni, jangan harap Balai Seni Negara nak beli lukisan aku."
Kadang itulah dilemanya. Mana nak cakap benar dan mana pula nak jaga periuk nasi. Lebih malang lagi apabila kita sangka yang kita ini adalah tukang beri nasi kepada semua orang.
Pantang ditegur lalu kita pun menabur pasir ke dalam periuk belanga orang.
Mereka yang diberi tanggungjawab untuk melestarikan hal-hal seni di negara kita sudah tentu tahu apa mereka lakukan dan siapalah kami untuk mempersoalkan kerja-kerja penting yang telah dan akan mereka lakukan.
"Nak bayar berapa?" kami bertanya kepada lelaki berkenaan. Dia terkejut.
Mungkin kerana menyangka kami ini pejuang seni sejati dan akan bertindak mengikut saranan dia itu, yakni menulis mengenai hal berkenaan dengan rela hati.
"Kena bayar ke?" dia bertanya. Dan bila kami mengiakannya, dia mengerut dahi dan pergi.
Kerana tidak dibayar dan juga kerana bimbang disenaraihitamkan oleh Balai Seni Negara, kami mengambil keputusan untuk tidak menulis mengenai hal tersebut.
Elok-elok ramai kawan, tiba-tiba dibenci oleh semua orang. Takde pasal.
ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.