Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Antara lorong perdamaian atau gerbang perang dunia

Pada minggu lalu, terdapat dua perkembangan. Satu ke arah perdamaian, sementara yang satu lagi ialah merupakan gerbang peperangan dunia. Laporan yang boleh ditanggap sebagai suatu tanda-tanda ke arah peperangan dunia ialah lawatan Presiden Vladimir Putin ke Pyongyang, Korea Utara dan kapal-kapal tentera Rusia berlabuh di Havana, Cuba.

Walaupun latihan-latihan tentera adalah perkara biasa tetapi perlu ditarik perhatian bahawa terdapat dua latihan tentera di sekitar Lautan Pasifik.

Angkatan tentera laut Rusia mengadakan latihan tentera Pasifik yang tentunya di bahagian utara, tidak jauh dari wilayahnya, yang juga bermaksud sekitar laut-laut Amerika Syarikat, Jepun dan kedua-dua Korea.

Sementara latihan tentera Amerika juga di Lautan Pasifik, di bahagian selatan sedikit, tidak jauh dari Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan China. Tetapi ia membabitkan banyak begara iaitu Jepun, Korea Selatan dan Australia, kesemuanya sekutu Amerika.

Sementara lorong perdamaian ialah usaha pelbagai pihak yang membabitkan draf perjanjian antara Rusia dan Ukraine serta Israel dan Hamas untuk segera menghentikan peperangan di Ukraine dan Gaza.

Lorong perdamaian dan gerbang perang dunia ini kelihatan bercanggah di antara satu sama lain tetapi ia berkaitan. Ini kerana jika usaha perdamaian itu berjaya, ia menjauhkan dunia daripada gerbang lebih besar. Jika tidak, dunia bergerak lebih hampir kepada gerbang peperangan sejagat. Semoga dijauhi manusia daripada malapetaka ini.

Mungkin perkembangan-perkembangan ini hanya merupakan peristiwa-peristiwa kecil yang berlalu tanpa memberi kesan pada sama ada lorong perdamaian ataupun gerbang perang dunia.

Tetapi melihat pada sejarah, peristiwa yang pada mulanya dianggap kecil tetapi rupa-rupanya mengheret dunia kepada kancah peperangan yang besar. Lawatan tengku mahkota Empayar Austria-Hungary iaitu Archduke Franz Ferdinand ke Bosnia-Herzegovina akhirnya membawa dunia ke Perang Besar yang kini dikenali sebagai Perang Dunia Pertama.

Sementara ketika Parti Nazi menang dalam pilihan raya Jerman, tidak ada siapa yang menyangka bahawa ia pendorong kepada tercetusnya Perang Dunia Kedua. Geopolitik bukan saja melibatkan geografi dan politik tetapi juga sejarah. “Negara terpendam” atau “deep state” setiap negara menjadi “terpendam” kerana sejarahnya yang panjang hingga menjangkau zaman pra-moden.

Lawatan Presiden Putin ke Korea Utara boleh jadi perkara biasa tetapi boleh menjadi sesuatu yang dikhuatirkan. Televisyen Jepun, NHK menekankan bahawa lawatan itu adalah pertama sejak 25 tahun. Dalam lawatan yang dahulu. Putin bertemu Mim Jong-il, bapa presiden Korea Utara sekarang Maknanya ia adalah lawatan penting ketika mana Rusia sedang berperang di Ukraine yang disokong oleh dunia Barat bersama sekutu-sekutunya termasuk Jepun. Malah NHK meletakkan laporan itu pada “crawler” (jalur bergerak di bahagian bawah skrin televisyen) berwarna merah dengan menyebutnya sebagai “breaking news” (berita terkini yang penting).

Tetapi lawatan itu dianggap biasa oleh saluran-saluran televisyen lain bila dinyatakan bahawa Presiden Rusia membalas lawatan Presiden Kim Jong-un yang dilakukannya tahun lalu. Lagipun selepas lawatan itu, Putin akan melawat Vietnam pula. Terdahulu Putin telah pun melawat China baru-baru ini. Kesemua perkara ini adalah suatu yang biasa jika ia berlaku dalam perdamaian. Tetapi kini dunia sedang menghadapi pertarungan antara Amerika Syarikat dan Rusia. Juga lebih penting lagi ialah Amerika sedang membekal senjata kepada Israel untuk genosid orang Palestin di Gaza.

Sememangnya Korea Utara dilaporkan akan turut membekalkan senjata kepada Rusia, sebagai ganti bekalan pada makanan yang disalurkannya. Tentu juga timbul persoalan mengapakah Rusia yang begitu besar mendapatkan senjata yang dibuat oleh sebuah negara kecil iaitu Korea Utara.

Tetapi perkara ini dapat difahami bahawa pada satu masa dahulu Rusia adalah sebahagian daripada Soviet Union dan Korea Utara adalah sebahagian daripada blok Soviet. Walaupun Soviet Union sudah tiada dan Rusia telah meninggalkan komunisme tetapi dari segi “deep state,” ketenteraan dan geopolitik, kelihatannya hubungan negara itu dengan Korea Utara masih kekal. Begitu juga hubungan Rusia dengan China dan Cuba. Korea Utara, China, Cuba, Vietnam dan Laos adalah negara-negara komunis yang masih ada di dunia ini.

Tetapi hubungan mereka tiada kaitan dengan ideologi. Ia adalah lebih pada hubungan kepentingan geopolitik masing-masing walaupun sejarah bersama yang mereka lalui tetap diraikan. Angkatan Tentera Persekutuan Rusia yang ditubuhkan selepas kejatuhan Soviet Union tiada hubungan dengan Tentera Merah komunis. Pun begitu, mereka terpaksa mewarisi struktur, sistem dan teknologi Soviet Union yang juga digunakan di China, Korea Utara, Vietnam dan Cuba. Kebanyakannya sudah ketinggalan zaman.

Maka Amerika tidaklah begitu bimbang apabila kapal-kapal perang Rusia berlabuh di Cuba. Kekuatan tentera Rusia tidak dapat menandingi Amerika. Keadaannya tidak sama ketika Perang Dingin sedang berada di puncak apabila Presiden Nikita Khrushchev menghantar kapal perang Soviet pada tahun 1962 yang mengakibatkan dunia berada di ambang perang nuklear.

Tetapi kehadiran kapal perang Rusia di Cuba atas arahan Putin boleh saja menghantar mesej tekanan kepada Amerika untuk menerima cadangan Rusia bagi menghentikan perang di Ukraine. Sebarang misil di Cuba boleh saja dilancarkan ke arah Florida.

Amerika tentunya mahukan perang di Ukraine dihentikan segera tetapi perkara ini perlu kesepakatan dari Eropah dan khususnya Ukraine. Tetapi Rusia lebih-lebih lagi mahu perang ini dihentikan. Moscow telah mengemukakan cadangan iaitu Ukraine berundur dari wilayah-wilayahnya yang pro-Rusia. Ia juga mensyaratkan supaya Ukraine berjanji supaya tidak menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Cadangan itu dianggap oleh Ukraine sebagai menyerah kalah, iaitu melepaskan wilayah-wilayahnya kepada Rusia, dan mengorbankan kedaulatannya dengan berjanji tidak menyertai NATO. Sebagai negara merdeka, Ukraine sewajarnya bebas untuk melakukan apa saja.

Tetapi dalam realiti geopolitik, semua kedaulatan negara dihadkan dengan kepentingan keselamatan negara jiran masing-masing.

Maka Kesatuan Eropah (EU) menganggap cadangan Rusia itu “tidak serius”.Tentulah sebelum ke meja rundingan, Rusia menetapkan suatu cadangan yang tinggi. Maka rundongan akan menyelesaikan banyak perkara. Ia seperti bermain catur. Apabila berlaku checkmate, persetujuan tetpaksa dimeterai. Apa yang penting ialah pergi dahulu ke meja rundingan.

Bagi Amerika, penyelesaian perlu dibuat segera. Perbelanjaan ketenteraan yang berpanjangan akan akhirnya memberi kesan kepada Anetika. Di tambah pula Amerika akan menghadapi pilihan raya presiden pada tahun ini. Joe Biden akan bertanding semula tetapi beliau bukanlah sosok yang boleh dibanggakan. Selain usianya kian lanjut, penampilannya juga tidak menarik pada para pengundi. Sementara lawannya, Donald Trump yang walaupun tersekat dengan kes mahkamah dilihat lebih popular. Bukan saja rakyat Amerika tetapi seluruh dunia akan tertanya: “Tidakkah ada calon lain?”

Suasana perubahan politik juga kini sedang melanda Eropah. Pilihan raya presiden akan turut diadakan di Perancis. Ia diadakan ekoran golongan kanan jauh (far right) meraih banyak kerusi di parlimen Eropah. Sementara itu Britain juga akan adakan pilihan raya dengan Parti Buruh yakin untuk menang. Dalam keadaan ini, polisi Eropah boleh jadi berubah berkaitan dengan Ukraine.

Sementara itu, Putin terus muncul sebagai bukan saja seorang pemimpin yang kuat di negaranya tetapi kebih diyakini oleh masyarakat antarabangsa walaupun beliau yang mengarah pelanggaran ke atas Ukraine. Baru-baru ini dalam Forum Ekonomi Antarabangsa St Petersburg (SPIEF), Putin bersyarah empat jam yang menunjukkan keterampilannya dalam geopolitik.

Terhadap Gaza pula, Amerika juga mahukan penyelesaian segera. Tekanan diberikan pada Israel supaya menghentikan segera pembunuhan ramai rakyat Palestin. Amerika turut bertanggungjawab terhadap genosid yang dilakukan oleh Israel kerana ia pembekal senjata.

Rundingan terus dijalankan antara Israel dan Hamas melalui Qatar. Amerika meminta Hamas menerima cadangan Israel kerana ia dianggap sudah “cukup pemurah “ Tetapi Hamas mahukan penyelesaian Palestin, dan bukan sekadar pertukaran tahanan dan soal Gaza.

Segala pengorbanan yang besar telah ditanggung oleh rakyat Palestin yang tidak boleh dipersia-siakan. Penyelesaiannya ialah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat. Tetapi Israel masih berdegil dan perhatiannya kini adalah terhadap Hizbullah. Maknanya penyelesaian isu Palestin perlu melibatkan Hizbullah dan sekutunya Iran. Pendekatan Iran belum jelas lagi dengan negara itu juga akan mengadakan pilihan raya presiden. Adalah dinyatakan bahawa presiden yang akan dipilih adalah lebih jelas daripada yang dahulu, dan seterusnya akan mencergaskan lagi Hizbullah. Buat masa ini keupayaan nuklear negara itu dirasakan perlu ditingkatkan sebagai persediaan. Sebagai negara di medan depan menghadapi Amerika, Iran boleh dianggap oleh Rusia sebagai “sekutunya” seperti mana Korea Utara.

Maka terpulang kepada semua yang terlibat untuk mencari perdamaian tetapi untuk meneruskan peperangan adalah suatu yang tidak mapan. Jalan yang paling dibimbangi adalah peningkatan perang yang boleh membawa kepada Perang Dunia Ketiga, ditambah pula dengan penggunaan senjata pemusnah besar-besaran.

Mungkin manusia tidaklah sebodoh seperti ketika menjelang peperangan dunia pertana atau kedua. Kini manusia seharusnya lebih cerdik. Peperangan di Ukraine dan Gaza mungkin tidak boleh dihentikan. Apa yang ada hanya berbentuk gencatan senjata. Maka wilayah-wilayah Ukraine pro-Rusia kekal berada dalam kuasa Moscow tedapi kedaulatan terhadap wilayah tetap dituntut oleh Ukraine.

Sementara gencatan senjata di Gaza tidak membawa kepada penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat. Untuk itu, rakyat Palestin dan dunia Islam kena tunggu mungkin 50 hingga 100 tahun akan datang, itupun kalau terjadi. Maka gencatan senjata antara Israel dan Hamas akan menjadi seperti apa yang berlaku antara Korea Utara dan Korea Selatan. Tidak ada perjanjian damai tetapi hanya gencatan senjata.

Oleh itu, Hamas perlu terus wujud bagi perjuangan kemerdekaan Palestin. Akhirnya tunggu siapa yang akan tumbang dulu, sama ada Israel atau Palestin. Apa yang akan berlaku terpulang pada generasi akan datang; mahu perdamaian atau terus berperang, secara panas atau dingin.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS