Paling Popular
Terkini

KOLUM | Snouck Hurgonje menulis tentang kehidupan di Mekah yang sekular dalam bukunya The Acehnese (1906) dan Mekka in the Latter Part of the 19th Century (1888, 1889).

Menurut Fachry Ali, seorang sarjana Indonesia, Hurgonje merupakan orang Eropah yang mula-mula masuk ke kota Jeddah dan Mekah. Pendekatan penulisannya lebih kepada Eurocentric sesuai dengan ideologi imperialisme pada masa itu.

Istilah "sekular" yang digunakan oleh Hurgonje bermaksud "sesuatu kehidupan yang terpisah daripada pengaruh agama". Ia juga membawa makna bahawa walaupun Mekah merupakan tanah suci umat Islam tetapi kehidupan masyarakatnya tidak selari dengan agama tersebut.

Dalam catatannya lagi, Hurgonje menerangkan tentang pasar budak (hamba) di Mekah. Hamba-hamba dijual seperti barang dagangan lain. Kebanyakan hamba itu berasal dari Hindia Belanda dan juga British India. Mereka berasal dari daerah "penyembah berhala".

Hamba-hamba itu juga dihantar ke Mesir dan Turki untuk keperluan pembesar dan guru di sana. Ia seakan gambaran dari filem Tiga Abdul arahan P Ramlee. Atau mungkin juga seniman itu melakukan kritikal sosial secara terbuka tentang ‘pasar budak’ dalam masyarakat Islam.

Hurgonje juga menyatakan penduduk Mekah sama sekali tidak patuh kepada nabi dan perintah Tuhan dalam memastikan kesucian Mekah. Mereka mengeksploitasi jemaah haji yang menjadi tetamu Allah.

Suasana Mekah itu sendiri menciptakan kelas pengguna yang mengarahkan kota suci menjadi pusat perniagaan yang rapuh daripada kawalan agama. Hurgonje juga menulis bahawa wujudnya kelompok pengemis, penipu dan pencuri yang memberi contoh-contoh sudut negatif terhadap Islam.

Tentang ibadah badal haji pula sering diragui tujuan pelaksanaannya. Badal haji adalah pelaksanaan ibadah haji oleh seseorang untuk individu yang telah meninggal dunia.

Menurut Hurgonje, ramai yang menyalahgunakan badal haji demi kepentingan peribadi dan kantung sendiri.

Tidak duduk dalam bilik saja

Namun Hurgonje memuji sifat penduduk Mekah di luar musim haji sebagai "sangat ramah". Banyak juga catatan kejujuran intelektual Hurgonje dalam tulisannya itu.

Mungkin sebahagian kita akan mencemuh Hurgonje sebagai lidah atau pena yang jahat terhadap Islam. Ini ditambah dengan latar belakang dia yang bekerja sebagai pegawai kolonial di Hindia Belanda (Indonesia).

Dalam konteks perekonomian, kelompok pengguna merupakan salah satu unsur dalam pasaran bebas. Meski Hurgonje tidak menggunakan istilah kapitalis tetapi dia dengan jelas menerangkan tingkah laku pasaran dalam meraih keuntungan oleh orang tempatan dan peniaga terhadap pengunjung ke tanah suci.

Kapitalis dari segi istilah bermaksud golongan yang menggunakan modal untuk diniagakan, dilabur atau apa jua yang boleh mendatang keuntungan. Golongan ini meletakkan modalnya pada risiko untuk mendapat keuntungan.

Istilah kapitalis sering dilihat dari kaca mata Karl Marx sebagai pertentangan antara golongan pemodal dengan golongan buruh.

Hurgonje membuat pemerhatian dalam konteks antropologi dan mendapatkan data atau bahan kajian melalui turun ke lapangan kajian. Dia tidak duduk di dalam bilik sahaja menyiapkan disertasinya bagi mengukuhkan hujah dan pandangan.

Apabila kita berada di tanah suci dan memikirkan soal mencari syurga sendiri. Tanpa menyedari bahawa sebenarnya kita memiliki tanggungjawab sosial yang wajar dilaksanakan. Ini adalah soal keadilan, kesejahteraan dan kebahagiaan ummah.

Tatkala imam Masjidil Haram membaca doa tentang hal-hal yang bersangkutan isu Palestin, kita yang menjadi makmum mengaminkan tanpa ragu-ragu meski butiran doa imam itu kurang difahami.

Namun sejurus keluar dari halaman masjid, syarikat-syarikat konglomerat antarabangsa mengaut keuntungan besar dengan membuka perniagaan francais.

Sebahagian besar syarikat tersebut diboikot oleh masyarakat demi menyokong perjuangan Palestin dan menentang rejim Israel Zionis.

Sebaliknya tanpa sedari bahawa kita sebenarnya berada dalam perangkap kapitalis yang menjadikan sebahagian tetamu Tuhan sebagai mangsa kejahatan mereka.

Ayat meruntun jiwa

Kita perlu berlaku jujur tanpa prejudis. Tidak seperti Hurgonje yang mungkin tidak jujur dan sarat dengan prejudis terhadap Islam.

Namun beberapa kritikan Hurgonje terhadap keadaan di tanah suci itu ada asasnya. Ini kerana keadaan yang sama masih terus berlaku.

Terutama dalam bidang penyediaan kemudahan kepada pengunjung tanah suci seperti pengangkutan, penginapan, keperluan asas makan minum dan sebagainya.

Di tanah air, sindiket penipuan umrah haji berlaku hampir saban tahun. Semua sama ada terperangkap atau tertipu dalam liku-liku jalan mencari syurga Tuhan.

Mangsa sindiket penipuan perkhidmatan umrah dan haji tidak sekadar melibatkan golongan tidak berpendidikan ataupun ekonomi yang rendah seperti B40, tetapi juga melibatkan kalangan golongan berpendidikan dan kedudukan ekonomi yang selesa.

Kapitalis akan menggunakan ayat-ayat suci dalam berbicara soal perkhidmatan mereka. Bahasanya adalah bahasa ahli-ahli syurga yang bersalut ayat-ayat yang meruntun jiwa.

Mereka berpakaian sunnah dari hujung rambut hinggalah ke ‘capal nabi’. Kapitalis berwajah suci, tulus dan ikhlas.

Contohnya tambang teksi dua hala ke Tana’im, iaitu miqat terdekat adalah SR50. Ada waktunya, ia menjadi setinggi SR250. Walaupun ada meter, pemandu teksi seperti tidak terikat dengan kadar yang telah ditetapkan.

Oleh itu, pengguna perlu ‘sedikit pertengkaran’ untuk memaksa pemandu mengikut kadar meter atau kadar tambang yang sesuai. Namun itu bukan jaminan mendapat harga yang munasabah. Itu Qarun hanyalah kecil-kecilan.

Atau lebih selamat menggunakan perkhidmatan bas yang mengenakan tambang sebanyak SR4.50 sehala. Jarak Tana’im ke Masjidil Haram hanya lebih kurang 15km atau 15 minit perjalanan dengan bas.

Contoh lain yang sememangnya diketahui umum adalah kadar hotel. Jika semasa Ramadan dan musim haji, kadarnya mencanak seperti Clock Tower yang menjadi mercu tanda baru Mekah.

Ini cerita beberapa tahun kebelakangan ini.

Realitinya adalah sama dengan suasana sewaktu Hurgonje atau Hamzah Fansuri di tanah suci pada awal kurun ke-19 dan kurun ke-16. Apakah ini antara yang mengilhamkan Hamzah Fansuri menulis syair tentang mencari Tuhan di Mekah?


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS