Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya baru saja membaca berita yang menggerunkan. Tajuk Berita Harian 6 Jun 2024: Jangan andaikan Russia tidak akan guna senjata nuklear Putin. Ini berita amat menakutkan.

Sebulan kebelakangan ini saya meneliti rapi berita dari Ukraine dan Rusia. Saya juga meneliti berita tentang Perang Ukraine dari media Amerika. Berita-berita yang saya baca semuanya menakutkan.

Daripada apa yang saya baca, saya yakin Perang Dunia Ke-3 sedang dirancang. Apa yang lebih menakutkan ialah bom nuklear adalah sebahagian daripada perancangan.

Malah anggapan saya tentang Perang Dunia Ke-3 sedang dirancang mungkin dianggap naif. Ini kerana telah ada pemerhati militer dan pakar geopolitik seperti Scott Ritter yang menganggap perang dunia telah bermula di Ukraine dan Gaza.

Saya masih menyimpan harapan ledakan bom nuklear ini tidak akan terjadi. Ini harapan. Dalam realiti geopolitik dan perang, ledakan ini boleh berlaku bila-bila masa saja. Harapan tinggal harapan.

Malah lebih memeranjatkan ada laporan berita dari Barat yang memberi tarikh 18 Julai 2024 sebagai hari Perang Dunia Ke-3 akan pecah.

Tukang tilik bernama Kushai Kumar, yang menggelarkan dirinya sebagai 'Nostradamus baru', mendakwa dia mempunyai sejarah meramal konflik dengan betul. Sebelum ini Kumar membayangkan ketegangan antara Israel dan Hamas, Korea Utara dan Selatan, China dan Taiwan serta Rusia dan Ukraine .

Ini ramalan tukang tilik yang boleh kita abaikan tapi cuba perhatikan tajuk-tajuk berita di akhbar arus perdana baru-baru ini.

Akhbar The Telegraph London pada 23 Mei 2024: This may be the last election before the next world war – PRU akhir untuk UK sebelum perang dunia.

Sky News pada 16 April 2024: Are we heading for world war three? - Apakah kita sedang menuju ke perang dunia ketiga?

Amat jelas di sini ada persekongkolan yang intim antara media dan industri perang. Media arus perdana bukan cuba menghalang perang. Tidak. Mereka sedang mengolah persetujuan agar kita semua bersedia menerima perang.

Media arus perdana di Barat kini menjadi tokan perang.

Media arus perdana di Barat sedang menyediakan psikologi kita semua untuk menerima perang sebagai satu yang normal – satu kebiasaan.

Dari pungutan suara terbaru, didapati 61 peratus warga Amerika percaya perang dunia akan sampai.

Ketika tulisan ini dilakar, kempen PRU sedang berjalan di United Kingdom. Kempen Parti Konservatif telah melaungkan: Parti Konservatif lebih bersedia daripada Parti Buruh untuk menghadapi perang.

Rishi Sunak

Sebagai bukti - kerajaan Sunak telah memulakan kembali dasar Khidmat Negara. Dasar ini memastikan lelaki dan perempuan yang berumur 18 tahun ke atas akan diwajibkan menjadi askar.

German, Denmark dan Sweden juga telah memulakan dasar Khidmat Negara. Dasar rakyat dipaksa jadi soldadu ini telah dimansuh satelah tamat Perang Dunia Kedua.

Pada tahun 2024, negara-negara ini telah kembali memaksa rakyat untuk menjadi soldadu. Jelas dasar baru ini adalah persediaan menghadapi perang dunia.

Malah di German sendiri, seperti di Jepun satelah tamat Perang Dunia Kedua, dua negara pencetus perang ini telah dilarang mendirikan bala tentera. Jepun dan German hanya ada pasukan keselamatan seperti Rela.

Kini semuanya berubah. Jepun dan German kembali membina bala tentera.

Di UK agenda perang dunia ini dilihat amat serius. Dalam portal rasmi kerajaan telah ada saranan agar warga menyimpan lilin dan bahan makanan dalam tin.

Untuk mengafdalkan saranan ini, Timbalan Perdana Menteri UK Oliver Dowden telah membuat kenyataan yang seirama.

Seorang YB dari Parti Buruh, Andrew Bridgen telah berkata "...perang dunia dah bermula... hanya tidak diumumkan...’

Di Amerika naratif perang dunia akan meletus juga sedang tersebar meluas.

Joe Biden

Ketika ini kempen ke Rumah Putih sedang berjalan. Isu perang menjadi agenda kempen. Pendatang haram yang menceroboh masuk ke Amerika seramai lebih 2,000 orang sehari dibaca sebagai soldadu luar yang akan menyerang Amerika dari dalam. Ini tema kempen Parti Republikan.

Tidak cukup dengan ini, pada 9 Mei 2024 media melaporkan Trump telah menuduh Biden membawa dunia ke kancah perang.

Menurut Trump, dalam masa lima bulan lagi perang dunia akan meledak. Menurut Trump perang dunia berlaku kerana Biden lembik dan tidak tahu mengurus kuasa dunia yang dimiliki oleh Amerika.

Ini isi dan nada kempen Trump untuk sekali lagi dipilih sebagai presiden Amerika.

Trump dengan bangga berkata jika dia masih presiden, perang di Ukraine dan Gaza tiak akan berlaku.

Ketika tulisan ini digarap, dua perang – Ukraine dan Gaza - sedang berjalan. Saya memberi penekanan kepada perang Ukraine. Telah 10 tahun jika dikira perang bermula dari 27 Februari 2014. Operasi khas Putin sudah masuk tahun ketiga.

Perang masih berjalan. Rusia menang dan Ukraine kalah. Hakikat ini amat payah hendak diterima oleh Nato dan sekutunya.

Saya tidak perlu jadi pakar perang dan geopolitik untuk memahami hakikat Ukraine telah kalah. Lebih 600,000 soldadu Ukraine telah gugur. Hampir sejuta cedera. Berjuta warga Ukraine melarikan diri - menjadi pelarian perang.

Hari ini wanita hamil pun ditangkap di pasar raya untuk dipaksa menjadi soldadu. Anak-anak muda malah lelaki pencen pun semua dipaksa menjadi soldadu.

Mereka yang dicekup oleh polis militer diberi latihan dua minggu dan terus dihantar ke medan tempur. Perkara ini saya pungut berasaskan klip TikTok seorang anak muda yang minta maaf kepada bondanya kerana mungkin mereka tidak akan bertemu lagi. Sedih.

Presiden Perancis Emmanuel Macron kini dilihat sebagai kepala perang dari Nato. Macron bersedia menghantar soldadu untuk memberi sokongan teknikal kepada tentera Ukraine.

Bila berita ini tersebar, Rusia memberi jawapan bahawa soldadu Rusia berhak menembak mati soldadu Perancis walaupun sebagai penasihat.

Dalam suasana tegang ini Putin memberi arahan kepada pasukan senjata nuklear Rusia untuk memulakan latihan persediaan.

Pada 5 Mac 2024, The Guardian London melaporkan satu kontinjen soldadu dari UK sedang membantu soldadu Ukraine menggunakan misil jarak jauh Storm Shadow yang diberi oleh UK.

Maklumat ini terbocor daripada panggilan sulit tentera German. Semua ini menegangkan lagi keadaan.

Apa yang lebih memarakkan keadaan ialah perubahan dasar Amerika dan Nato. Kini Ukraine telah diberi peluru dan senjata jarak jauh. Di awal perang, senjata Nato hanya senjata jarak dekat untuk digunakan dalam wilayah Ukraine. Kini senjata jarak jauh berupaya menembak ke dalam wilayah Rusia.

Setiausaha Nato Jens Stoltenberg mengalu-alukan dasar baru Presiden Biden ini. Melonggarkan dasar penggunaan senjata ini ditafsir akan memenangkan Ukraine.

Jawapan Putin kepada Biden cukup jelas. Rusia boleh juga menyerang mana-mana negara Nato yang ditafsir sebagai musuh kepada Rusia.

Putin memberi ingatan – lebih tepat lagi amaran - bahawa jika wujudiah Rusia terancam, Rusia akan menggunakan apa saja senjata untuk bertahan diri.

Amaran Putin ini dibuktikan dengan laporan ABC News pada 6 Jun 2024: Kapal perang laut dan pesawat udara Rusia dijangka tiba di Caribbean untuk latihan ketenteraan dalam beberapa minggu akan datang.

Kapal-kapal perang itu juga dijangka akan membuat panggilan pelabuhan di Venezuela dan Cuba.

Vladimir Putin

Langkah dari Putin ini jelas. Jika Amerika dan Nato boleh hantar bala tentera ke sempadan Rusia, maka Rusia juga boleh menghantar bala tentera ke sempadan Amerika.

Saya tidak menyangkal atau memperlekeh jawapan Putin. Ini jawapan tepat. Tetapi untuk umat manusia keadaan ini amat-amat mencemaskan.

Kapal perang Rusia itu mungkin ada membawa senjata nuklear. Jika Presiden Biden ditekan apa pula jawapan Amerika?

Bulan November ini akan ada pemilihan presiden Amerika. Biden tidak mahu dilihat lembik oleh para pengundi. Jika Trump terus memperlekeh Biden sebagai ‘lembik ‘ maka Biden akan bertindak.

Apa tindakan Biden bila kapal perang Rusia ini sampai ke Cuba dan mengadakan latihan perang?

Seyogia diberi ingatan berkenaan Cuban Missiles Crisis dari 16 ke 28 Oktober 1962. Selama dua minggu dunia paling hampir akan meledak dengan senjata nuklear.

Ini berlaku bila mana Rusia di bawah pimpinan Nikita Khrushchev (1894-1971) memasang senjata nuklear di Cuba yang jaraknya hanya 90 kilometer dari Amerika. Presiden John F Kennedy (1917-1963) wajib bertindak tegas. Akibatnya, dua minggu warga dunia dalam ketakutan.

Hari ini dari pandangan pesimis saya Perang Dunia Ke-3 pasti akan sampai. Suasana geopolitik dan keadaan ekonomi hari ini menunjukkan kepada saya para peniaga senjata di Amerika sedang merancang perang melalui politikus yang mereka taja.

Kemelut zaman ekonomi meleset tahun 1930-an diselamatkan dengan Perang Dunia Ke-2. Apakah krisis ekonomi sekarang akan diselamatkan dengan Perang Dunia Ke-3?

Perang dulu dan perang sekarang jauh bezanya. Dulu hanya Amerika ada bom Atom. Monopoli itu telah tamat.

Lalu persoalan timbul - apakah kita umat manusia dapat menghalang ledakan bom nuklear ini? Amin.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS