Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Menghargai budayawan, memartabat kebudayaan

KOLUM | Pemergian Pyanhabib Rahman disusuli keluhan terhadap cara kerajaan Madani melayan seniman. Ketidakpuasan itu tercetus kerana sumbangan - malah pengorbanan - sesetengah seniman, budayawan dan sasterawan sepanjang era Reformasi kelihatan seolah-olah tidak dihargai apabila politikus yang menunggang gelombang berkenaan dilambung ke puncak kuasa.

Perbincangan sedemikian wajar dibingkai dan dirungkai secara teliti kerana mudah disalah faham, malah diputar belit sebagai kegelojohan budayawan untuk menuntut ghanimah selepas parti politik yang disokongnya menang dalam pergulatan kuasa.

Sedangkan kebanyakan tokoh budayawan yang berjiwa merdeka tidak mahu perjuangan mereka ditafsir secara sempit, seakan-akan untuk memenuhi kepentingan parti politik tertentu.

Namun demikian, ini tidak bermaksud kerajaan boleh berpeluk tubuh atau berlepas tangan begitu saja. Pengiktirafan tertinggi terhadap budayawan tidak lain tidak bukan adalah dengan memartabatkan kebudayaan.

Dan sesungguhnya, mengangkat martabat kebudayaan bukan sekadar peruntukan untuk membina bangunan muzium dan balai seni, atau melengkapi pentas persembahan dengan sistem siar raya dan pencahayaan yang canggih, bahkah pengisiannya di atas mahupun di bawah pentas.

Dengan kata lain, pemupukan sikap masyarakat untuk memandang berat kebudayaan adalah penting. “Kebudayaan” yang dimaksudkan bukan sahaja terjelma sebagai bangunan muzium, tarian dan makanan yang berwarna-warni, tetapi juga didasari pemahaman kita terhadap diri sendiri, insan lain, juga alam sekitar.

Fahaman dan sikap itu kemudiannya diterjemahkan kepada amalan hidup harian yang saling berinteraksi secara dinamik di celah-celah hutan konkrit yang kaku dan dingin.

Kebudayaan itu cara hidup

Jika dilanjutkan, kebudayaan bukan hanya lukisan yang terpaku dalam balai seni berhawa dingin, tetapi juga kesedaran pelawat untuk tidak mengusap karya pameran dengan jari tangannya.

Kebudayaan bukan sekadar persembahan muzik yang menenangkan jiwa, tetapi juga tiada usikan deringan telefon pintar tatkala pertunjukan berlangsung.

Kebudayaan bukan sekadar hidangan makanan yang beraneka ragam, tetapi juga hadirinnya yang berhenti berborak ketika tuan rumah berucap, dan tetamu kehormat tiba tepat pada masanya sebagai tanda hormat kepada semua.

Perkara sebegini - biarpun nampak titik bengik - namun ia memperlihatkan pandangan dan sikap seseorang terhadap insan lain.

Sama ada seseorang itu menganggap dirinya lebih penting sehingga insan lain terpaksa membunuh masa sendiri untuk menunggunya, atau panggilan telefonnya lebih penting sehingga telinga-telinga seluruh dewan perlu dipaksa suaranya menjawab panggilan.

Sama ada seseorang itu menghargai karya seni, atau saja dia copy and paste karya orang lain tanpa memohon keizinan mahupun menyatakan sumber asal?

Bagaimana kita boleh mengangkat martabat seniman, budayawan, sasterawan dan cendekiawan jika kita menitikbengikkan perkara hak cipta?

Di luar dewan budaya dan balai seni, kita bergelut dengan soal sama ada pokok berusia 100 tahun harus ditebang untuk memberi laluan kepada ruang letak kereta, atau ia harus dikekalkan.

Atau apakah rumah tradisional harus dipulihara sebagai tapak warisan sejarah berbanding perlu dirobohkan untuk membina pusat beli belah berhawa dingin lantaran lokasinya di tengah-tengah bandar yang bukan main tinggi harga tanahnya.

Bukan sahaja “kebudayaan” itu memperlihatkan sikap kita terhadap alam sekitar, tetapi juga terhadap insan di sekitar kita. Seseorang itu mungkin terserlah aura budaya bangsanya yang lemah lembut, tetapi bersuara keras terhadap pembantunya di rumah.

Seorang seniman yang jiwanya memberontak mungkin melaungkan slogan “Make love, not war” tetapi tanpa rasa bersalah menghembuskan asap rokok yang berkepul-kepul di tengah kelompok manusia termasuk wanita hamil, budak kecil dan warga emas.

Penerangan dalam sekeping iklan

Maka inilah yang terjadi andainya ayat kitab agama dan falsafah dipetik untuk ditanam di tepi bibir supaya kelihatan beriman dan berbudaya.

“Kebudayaan” itu kalau bukan bangunan, maka ia pertunjukan. Kedua-duanya untuk ditunjuk-tunjukkan. “Kebudayaan” itu tidak lagi dihayati dan diselami sehingga diterapkan ke dalam kehidupan harian.

Itu sebabnya “kebudayaan” semakin kontang dan lesu, cetek dan kaku sungguhpun kita memiliki pentas kelas pertama untuk pertunjukan budaya yang berseri-seri.

Fenomena sebegini telah wujud sekian lama. Tidak kurang juga pengkritik budaya yang menyindir kedangkalan kerajaan ketika mengendalikan hal kebudayaan.

Antara buktinya, “kebudayaan” digabungkan dengan kementerian pelancongan yang memberi gambaran “kebudayaan” itu tidak lebih sebagai tarikan pelancongan.

Untuk mereka yang masih belum memahami pertimbangan di sebalik percaturan ini, kerajaan pernah memberi penerangan melalui sekeping gambar iklan “Cuti-Cuti Malaysia” yang dilukis – rakyat pelbagai kaum menari dengan pakaian tradisional masing-masing.

Ketiga-tiga unsur seni, budaya dan pelancongan, digabungkan dalam satu kementerian.

Tiada yang pelik jika Mahathir Mohamad membentuk kabinetnya sebegini kerana sememangnya seorang doktor yang lebih suka berjinak-jinak dengan projek mega seperti industri automotif, Menara Kembar KLCC, KLIA, Putrajaya dan sebagainya ini, kurang arif dalam hal kebudayaan.

Cuma kita sedikit terkejut - jika pun bukan terkilan - apabila Anwar Ibrahim yang biasa memetik karya sastera agung William Shakespeare dari Barat, hinggalah puisi penyair serantau WS Rendra, mewarisi kedangkalan Mahathir dalam hal ini.

Sedangkan perdana menteri kelima, Abdullah Ahmad Badawi, pernah memisahkan “Kesenian dan Kebudayaan” dari Kementerian Pelancongan, untuk dibentuk satu kementerian baru yang berasingan pada 2004.

Barangkali keutamaan Anwar pada ketika itu ialah mengurangkan saiz jemaah menteri, atau mungkin tiada calon menteri kebudayaan dan kesenian yang sesuai.

Maklumlah, Malaysia sebuah masyarakat majmuk dengan kepelbagaian budaya, selain kaum, agama, bahasa dan sebagainya.

Selesa di bawah tempurung

Jikalau diwujudkan Kementerian Kebudayaan dan Kesenian, hampir pasti jawatan menterinya antara yang paling mencabar untuk disandang, bakal diasak dari kiri dan kanan, selepas menteri pendidikan.

Cuma “kebudayaan” akan terus bergolak untuk mencari rupa bentuknya, dengan atau tanpa kementerian tersendiri ditubuhkan.

Isunya bukan menggubal undang-undang untuk membingkai batasan “kebudayaan”, tetapi pengisian identiti bangsa.

Budaya  bukannya sesuatu yang boleh dipaksa, tetapi dipupuk. Kerajaan wajar melakar hala tuju yang jelas dengan restu yang diolah daripada masyarakat majmuk ini.

Apapun, kita perlu menjawab soalan di mana kita meletak diri kita di atas peta dunia pada hari ini.

Apakah bangsa ini yakin dengan identiti dirinya, berani berdepan dengan kepelbagaian dunia di luar sana tanpa rasa terancam?

Atau bangsa ini lebih selesa dengan tempurung yang dihuni, malah yakin bahawa tempurung ini mampu melindungi dirinya daripada segala ancaman luar, atau yang lain dan yang asing (the other)?

Dan apakah kuasa yang ada dalam tangan digunakan untuk membela komuniti minoriti tertindas, atau mempertahankan keangkuhan penindas dan kerakusan perasuah?

Selagi persoalan tersebut tidak terungkai, kita berhutang dan bersalah kepada seniman, budayawan dan sasterawan yang berjiwa melawan.

Andainya kita gagal memerah sedetik keberanian daripada ratusan dan ribuan karya yang dihasilkan untuk melakukan perubahan, sia-sia kita menghadam kalimat sajak yang puitis tulisan mereka.

Maka patutlah lu sama gua malu sama dia.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS