Saya tidak takut jika Kuala Lumpur meledak kerana bom nuklear. Saya tidak gentar jika bom nuklear meledak di Bangsar, di Taman Seputeh atau di Brickfeilds.
Malah kalau flet saya di Le Chateau jadi sasaran bom nuklear saya amat senang hati lagi bersyukur.
Jika bom nuklear meledak di Brickfeilds saya hangus terbakar menjadi debu dalam sekelip mata. Khalas. Tamat. Khatam kogia kata warga Pakistan. Tidak ada dakwa dakwi. Semua beres.
Pemimpin Soviet Union Nikita Khrushev (1894-1971) pernah berkata "after nuclear war the survivors will envy the death" (sesudah perang nuklear yang selamat mencemburui yang dah mati). Ini dikutip dari buku Nuclear War a Scenario oleh Annie Jacobsen.
Sayangnya Kuala Lumpur bukan sasaran bom nuklear dari Amerika, China, Rusia, India, Israel, Korea Utara, Pakistan, United Kingdom atau Perancis. Malaysia bukan musuh kepada sembilan buah negara yang memiliki senjata ini.
Kenapa saya tidak gentar dan risau jika bom nuklear meledak depan flet saya? Ada sebabnya.
Pada tahun 1983 saya berpeluang menonton filem The Day After. Ketika ini saya siswa belajar di Universiti Katolik Leuvan La Neuve Belgium.
Filem TV keluaran ABC ini telah ditonton lebih dari 100 juta penonton di Amerika sebelum masuk panggung di Belgium. Hampir setengah penduduk Amerika menonton filem ini.
Kesahnya begini, pada pertengahan 1980-an, Amerika berada di ambang perang nuklear. Bayangan ini menyelubungi penduduk sebuah bandar kecil di Kansas sambil mereka meneruskan kehidupan seharian mereka.
Dr Russell Oakes (lakonan Jason Robards) mengekalkan jadual sibuknya di hospital, Denise Dahlberg bersedia untuk perkahwinannya yang akan datang dan Stephen Klein (Steve Guttenberg) mendalami pengajian siswazahnya.
Apabila perkara yang tidak dapat difikirkan berlaku dan bom jatuh, penduduk bandar kecil ini terdorong ke dalam kengerian musim sejuk nuklear.
The Day After menyertakan penafian penamat sejurus sebelum penghujung kredit, menyatakan bahawa filem itu adalah fiksyen. Bahawa perang nuklear sebenar akan menjadi lebih buruk daripada peristiwa yang digambarkan di layar perak.
Bergelap lapan tahun
Selesai menonton saya teringat akan ledakan gunung berapi Karakatoa yang berlaku pada tahun 1883.
Daripada apa yang saya baca ledakan gunung di sebelah Sumatera ini boleh didengar di Singapura, di Perth Australia dan sampai ke Mauritus, pulau di Lautan Hindi sebelah benua Afrika.
Debu Karakatoa menutup cahaya matahari selama enam bulan. Aduh! Bayangkan kita tanpa cahaya matahari selama enam bulan.
Ketika jerebu melanggar kita beberapa tahun dahulu saya merasa risau. Cahaya matahari ada tapi kelam. Saya merasa cemas. Bayangkan jika kita tanpa cahaya matahari selama beberapa minggu.
The Day After – sehari sesudah ledakan berlaku - kita warga dunia akan berhadapan dengan musim dingin nuklear. Bukan enam bulan bukan enam tahun mungkin lebih dari lapan tahun.
Pada tahun 1983 – ketika Perang Dingin antara Amerika dan Soviet Union sedang menghebat dua saintis Profesor Brian Toon dan Carl Sagan telah mengutarakan teori Nuclear Winter – Musim Sejuk Nuklear.
Inilah yang digambarkan dalam filem The Day After.
Pada saat bom nuklear meledak kemusnahan akan berlaku dalam kawasan pusat gempa seluas sembilan batu persegi. Hancur lebur semuanya. Api akan merebak dibantu oleh angin ribut dengan jarak 100 ke 200 batu.
Maknanya jika bom meledak di Kuala Lumpur kebakaran akan sampai ke Ipoh dan Penang. Seremban dan Melaka hangus terbakar. Bangunan cair kerana hangat yang maha hangat.
Jika bom nuklear meledak di Washington DC atau di London atau di Paris atau Moscow - Eropah dan Amerika terbakar. Kota-kota di Eropah dan Amerika hancur lebur.
Berdasarkan teori kita di Malaysia yang jauh dari pusat gempa selamat. Selamat daripada mati.
Kita yang selamat akan berhadapan dengan dunia yang baru. Matahari akan hilang.
Pupus, mati dan toksik
Debu racun radioaktif dan toksik hasil ledakan nuklear mungkin sampai kepada kita.
Penyakit merebak. Semua jalinan sosial hancur. Manusia kembali menjadi binatang – nak selamatkan diri sendiri. Kerajaan tidak wujud. Siapa kuat dia dapat.
Bila matahari tidak muncul tumbuhan mati. Binatang mati. Makanan pupus. Laut toksik. Ikan semua mati.
Pada ketika itu ada yang akan teringat pada tulisan Hishamuddin Rais ini. Tapi paling tepat ialah ingatan kita kepada kata-kata Khrushev, "kita yang hidup akan cemburu pada semua yang mati."
Saya menulis tulisan ini kerana saya risau dan resah. Saya tidak bertujuan untuk menjaja ketakutan. Saya bukan Ustaz YouTube – menjual ketakutan. Saya hanya ingin memberi pencerahan dan berkongsi maklumat daripada apa yang saya baca.
Apa yang saya baca menunjukkan bom nuklear akan meledak jika apa yang sedang berlaku sekarang tidak menemui noktah. Amin.
Geopolitik hari ini memberi saya kesedaran bahawa bom nuklear akan digunakan. Ledakan nuklear ini berpunca dari dua perang yang sedang berjalan di hadapan mata kita semua – perang Gaza dan perang Ukraine.
Jumlah senjata nuklear aktif tertinggi sebanyak 70,300. Ini pada tahun 1986. Tahun 2024 terdapat kira-kira 3,880 kepala peledak nuklear aktif dan 12,119 jumlah kepala peledak nuklear di dunia.
Rusia memiliki 5,580 bom nuklear, Amerika 5,044, UK 225, Perancis 290, China 500, India 170, Pakistan 170, Korea Utara 50 dan Israel 80.
Dunia kita berselirat dengan bom nuklear. Ini termasuk bom nuklear yang dibawa bergerak oleh kapal selam dari lautan ke lautan. Semua siap siaga untuk meledak.
Perang Ukraine yang sudah masuk ke tahun ke dua memperlihatkan satu keadaan baru. Keadaan baru inilah pada hemat saya yang akan menjemput ledakan bom nuklear.
Ukraine telah kalah dalam perang ini. Ia hakikat walaupun para politikus di Amerika dan di Eropah masih menutup mata dan memekakkan telinga untuk menerima hakikat ini.
Dari awal lagi memang diketahui umum bahawa mustahil Ukraine akan mengalahkan Rusia. Bantuan dana dan senjata dari Amerika dan Nato hanya meramaikan kematian warga Ukraine. Rusia tidak akan kalah. Amin.
Laporan risikan intel dengan jelas menggambarkan kekalahan bala tentera Ukraine. Malah berita terbaru melaporkan ada percubaan untuk membunuh Presiden Zelensky.
Ketua risikan Ukraine telah dua kali bertukar tangan. Para jeneral resah gelisah kerana ramai soldadu mula menyerah diri pada Rusia untuk tidak mati.
Rekrut baru amat-amat susah untuk didapati. Lelaki muda dan tua kini melarikan diri. Bantuan senjata dari Amerika, dari UK dan dari Nato tidak memberi apa-apa impak.
Ini kerana senapang dan peluru melambak-lambak tapi tidak ada soldadu untuk menembak.
Justeru Macron dari Perancis bercadang untuk menghantar soldadu ke pentas perang. Jika ini berlaku maka Perang Ukraine telah menjadi Nato lawan Rusia.
Ini bukan bermakna hari ini tidak ada soldadu luar di Ukraine. Soldadu Amerika, soldadu British ada di Ukraine. Mereka bukan di medan tempur.
Mereka beroperasi memberi nasihat dan tunjuk ajar bagaimana senjata yang mereka bekalkan boleh digunakan.
Rusia tahu hal ini. Tapi Rusia tutup sebelah mata.
Semua ini berubah apabila Macron dari Paris mahu menghantar soldadu ke medan tempur.
Wajib diberitahu Rusia telah tidak lagi berpaksikan doktrin – tidak akan menggunakan bom nuklear jika tidak diserang senjata nuklear.
Tidak tanduk Nato dan Macron dan juga Perdana Menteri United Kingdom (UK) Sunak telah menjemput Putin untuk bersuara.
Suara Putin inilah yang menjadikan saya resah. Apa yang diucapkan oleh Putin menjemput saya untuk menggarap tulisan ini.
Putin yang baru dinobatkan untuk kali kelima sebagai presiden Rusia telah memberi amaran kepada Amerika Syarikat, United Kingdom dan Nato.
Ucapan semasa penabalan Putin cukup jelas. Rusia akan menggunakan segala kekuatan jika Rusia diserang.
Amaran Putin: Siap siaga
Jika wujudiah Rusia terancam maka Putin tidak teragak-agak untuk membalas. Tidak disebutkan senjata apa yang akan digunakan untuk membalas ancaman ini.
Apa yang meresahkan diri saya setelah ucapan Putin ini adalah arahan presiden agar semua sistem senjata nuklear – on alert – bersiap sedia.
"We will get you at Downing Street." (Kami akan cari kamu di Jalan Downing - kediaman dan pejabat PM UK)
Ini amaran Putin kepada Sunak.
Bila ucapan ini dilapor media sosok pertama yang memasang telinga ialah Macron (gambar atas).
Presiden Perancis ini berkata yang dia memikirkan sekali lagi tentang niat untuk menghantar soldadu ke Ukraine. Amin.
Ertinya projek soldadu Perancis datang berperang sama di Ukraine ditangguhkan.
Presiden Biden dan Perdana Menteri Sunak tidak bersuara. Apakah mereka pekak tidak mendengar amaran Putin atau tidak percaya dan melihat ucapan Putin ini sebagai omong kosong?
Amat jelas kita sedang menghampiri perang nuklear. Jika Perang Ukraine dan Perang Gaza berlanjutan kita akan menuju ke arah perang nuklear.
Tahun 1983 filem The Day After terbit. Ketika ini presiden Amerika Syarikat Ronald Reagan amat pro senjata nuklear.
Penasihat presiden memberi nasihat kepada Reagan agar jangan menonton filem ini. Presiden Reagan berdegil. Dia menonton The Day After.
Filem ini memberi impak yang mendalam kepada presiden Reagan. Dia menelefon Gorbachev. Dua pemimpin dunia ini bertemu di Reykjavik.
Sidang Kemuncak Reykjavík ialah mesyuarat puncak antara presiden AS Ronald Reagan dan setiausaha agung Parti Komunis Kesatuan Soviet Mikhail Gorbachev, yang diadakan di Reykjavík, Iceland, pada 11–12 Oktober 1986.
Reagan dan Gorbachev bersetuju untuk mengukuhkan tradisi tidak menggunakan senjata nuklear.
Sidang di Reykjavik membawa kepada penandatanganan perjanjian Amerika Syarikat-Soviet mengenai pengharaman pasukan nuklear jarak pertengahan dan kepada draf perjanjian untuk mengurangkan strategik daya nuklear jarak jauh.
Ketegangan perang nuklear mengendur ketika itu.
Tahun 2024 kita tidak ada pemimpin dunia seperti Ronald Reagan dan Mikhail Gorbachev yang sedar akan bahaya perang nuklear.
Justeru saya menjadi risau dan menggarap tulisan ini.
Untuk pembaca sila tonton filem The Day After dalam YouTube. Lihat filem yang telah mempengaruhi presiden Amerika untuk membuat perjanjian damai.
Alangkah baik jika Presiden Biden, Presiden Putin, Presiden Zelensky dan para Jeneral Nato menonton filem Sehari Selepas Bom Nuklear Meledak. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.