Baru
Perhimpunan dan pemilihan Parti Keadilan Nasional yang dilangsungkan pada Nov 9-11 lalu di Kemaman, Terengganu, banyak mendapat liputan media. Ulasan dan huraian liputan itu ditumpukan terutamanya kepada penolakan beberapa orang pemimpin parti itu dari dicalonkan semula.Liputan seterusnya termasuk masalah 'pengAbiman', persaingan sengit dalam pemilihan, dan ancaman perpecahan setelah ketewasan puak ( faction ) Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia) dalam pemilihan.
Insiden seperti pengunduran pemimpin Keadilan terutamanya oleh bekas Timbalan Presiden Dr Chandra Muzaffar dan Naib Presiden Zainur Zakaria, penarikan DAP daripada pakatan BA, serangan keatas Amerika Syarikat pada Sept 11, dan pengumuman Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam, boleh diumpamakan sebagai 'sudah jatuh ditimpa tangga'.
Pengunduran pemimpin berwibawa seperti Chandra dan Zainur sudah tentu menghampakan harapan penyokong BA.
Namun perlu diingati bahawa sebelum berkecimpung dalam politik mereka adalah ahli akademik dan profesional. Mungkin sukar bagi mereka menyesuaikan diri dalam percaturan politik yang penuh dengan hipokrasi dan tipu helah.
Mereka mungkin dapat memberi sumbangan yang lebih berkesan dalam bidang akademik dan profesional masing-masing. Yang penting mereka masih ahli Keadilan, dan akan terus memberi sokongan kepada parti.
Isu pengAbiman
Tentang 'pengAbiman' Keadilan, Presiden Abim Ahmad Azam Abdul Rahman telah menjelaskan bahawa dasar Abim tidak membenarkan politik kepartian dicampuraduk dengan pergerakan dakwah. Oleh itu Abim tidak berhasrat untuk menguasai mana-mana parti politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang.
Pendirian yang dijelaskan oleh Presiden Abim ini adalah tepat dan patut dialu-alukan. Memang tidak bijak sekiranya ada pihak yang ingin 'mengAbimkan' Keadilan, kerana Abim dan Keadilan adalah dua badan yang berasingan dengan peranan dan fungsi yang berlainan.
Kewujudan puak Abim padahal hanya merupakan suatu gabungan untuk menguasai Keadilan melalui pemilihan parti. Ia digelar sebagai puak Abim kerana ia diketuai oleh beberapa orang bekas pemimpin Abim seperti Dr Muhammad Nur Manuty dan Anuar Tahir. Ini tidak bererti ia mewakili semua ahli Abim dalam Keadilan atau menerima arahan dari Abim secara langsung.
Sungguhpun beberapa orang pemimpin puak Abim telah tewas, tidak bermakna semua calon bekas pemimpin Abim telah disingkirkan. Mengikut Ahli Parlimen Kemaman , YB Abdul Rahman Yusof, antara 20 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang terpilih, lapan adalah pemimpin yang berkaitan dengan Abim. Mereka adalah Dr Mohd Nor Nawawi, Mohd Mustafa, Hamzah Zain, Rosli Ibrahim, Yahya Saari, Sheikh Azmi dan Abdul Rahman Othman.
Ini membuktikan kematangan perwakilan Keadilan memilih mereka yang dianggap aktif, cekap dan dapat memberi sumbangan yang berkesan kepada parti tanpa mengira latar belakangnya dan bangsanya. Beberapa orang pemimpin Cina dan India telah terpilih dengan undi yang agak tinggi, membuktikan dasar berbilang kaum telah mulai bertapak dalam parti itu.
Setelah tertewas dalam pemilihan, bekas Presiden Abim, Dr Muhammad Nur membuat ulasan melalui media bahawa kegagalan puak Abim merupakan suatu kerugian kepada parti, kerana menyukarkan usaha membawa gerakan Islam yang progresif dalam parti itu.
Ulasan ini menimbulkan tanda-tanya dalam benak penulis: Sekiranya puak Abim berjaya menguasai parti Keadilan, adakah parti itu akan ditukarkan menjadi sebuah parti Islam seperti yang dianjurkan oleh Dr Muhammad Nur?
Reaksi presiden Abim
Dari segi ini, perwakilan Keadilan sekali lagi membuktikan kematangan mereka dalam menembusi kepompong perkauman dan keagamaan, demi politik baru yang berteraskan demokrasi, keadilan, hak asasi manusia, dan keserataan kaum dan jantina.
Namun presiden Abim dalam wawancaranya yang diterbitkan Utusan Malaysia pada Nov 19, telah menyatakan rasa kesalahannya mengenai proses dan kesudahan pemilihan Keadilan kali ini.
Menurut Ahmad, gerakan lobi-melobi, label-melabel, dan meletakkan orang tertentu dalam kelompok tertentu ini menyebabkan ramai ahli Abim kalah kerana mereka diletakkan dalam satu kelompok menentang kelompok yang pelbagai - Abim vs ahli Keadilan. Akhirnya sebahagian besar pemimpin Abim yang berjasa kepada Keadilan telah ditolak oleh perwakilan yang terkeliru oleh strategi tersebut. Akibatnya nama Abim terpalit, imejnya digambarkan sebagai kabilah, konservatif, tidak mampu berinteraksi dengan golongan bukan Islam, gila dan tamak kuasa, dan mahu menguasai parti.
Sebagai orang luar (dari segi organisasi), reaksi presiden Abim yang begitu sentimental dan berat sebelah tanpa sebarang reservasi, membayangkan kemungkinan beliau terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam proses pemilihan Keadilan. Beliau mungkin tahu sangat tentang gerakan lobi-melobi dan label-melabel, sehingga tersinggung oleh ketidakadilan yang berlaku ke atas sebahagian besar pemimpin Abim yang ditolak oleh perwakilan Keadilan.
Tentang strategi, kenapa boleh terbentuk persepsi Abim vs ahli Keadilan, dan bukan Umno vs ahli Keadilan, atau bekas Abim vs bekas Umno seperti yang dihuraikan oleh setengah media? Mengapakah begitu tonjol sekali puak Abim dengan agenda gerakan Islam progresifnya? Dan sekiranya puak Abim tidak ingin menguasai parti Keadilan (ini tidak salah mengikut lunas demokrasi), mengapakah puak Abim meletakkan begitu banyak calon untuk bertanding?
Kepentingan parti
Sebaliknya calon yang bertanding dengan puak Abim lebih seimbang dan inklusif dari segi puak, oleh itu, ia berjaya memberikan gambaran kepelbagaian kelompok seperti yang diakui oleh Ahmad sendiri.
Malah Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Wan Ismail telah melantik empat pemimpin Abim yang tewas dalam pemilihan untuk mengimbangkan perwakilan puak Abim dalam MPT. Namun pelantikan berkenaan telah ditolak oleh keempat-empat pemimpin Abim yang berkaitan. Dengan apa alasan sekali pun, penolakan tersebut sudah tentu tidak dapat membaiki imej Abim yang sudah terjejas.
Sekiranya kewujudan puak adalah sesuatu yang sukar dielakkan dalam parti setahun jagung seperti Keadilan, fahaman berpuak-puak ( factionalism ) hendaklah diatasi, kerana kepentingan parti adalah lebih mustahak daripada kepentingan sesuatu puak. Oleh itu, puak Abim setelah tenang kembali, patut menggembleng tenaga dengan seluruh ahli Keadilan, dan terus berjuang di bawah pimpinan MPT.