Paling Popular
Terkini
story images
story images

Dari ingatan saya, pada tahun 1989, ada beberapa ustaz PAS membuat bantahan kepada sidang editorial Harakah kerana meletakkan iklan kasut di atas penjuru kiri muka depan bersebelahan dengan nama akhbar

Nama akhbar di muka depan atau “masthead”, pernah dipanggil “kepala akhbar” bukan saja merupakan lambang bagi pemasaran tetapi maruah penerbitan itu. Malah untuk menukarnya dulu, perlu dimaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Meletakkan gambar kasut di atas sekali pada muka surat akhbar seolah-olah menghina ulama”, kata mereka merujuk adanya gambar-gambar pemimpin parti di situ. Selalunya presiden, timbalan presiden, naib presiden, ketua ulama dan ketua muslimat.

Pada masa itu saya adalah editor Harakah. Harakah pada masa itu diterbitkan pada hari Jumaat. Pada hari Isnin, Ketua Penerangan PAS merangkap Ketua Pengarang ketika itu memanggil saya. Pejabat beliau di tingkat satu, dan saya di tingkat dua di bangunan sama di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur.

Beliau meminta saya mengubah iklan itu ke bahagian baawah muka surat. Saya memberitahu beliau bahawa saya tidak menyangka bahawa meletakkan gambar kasut di atas itu menyentuh sensitiviti pembaca.

Katanya, kalau iklan kopiah atau topi tidak mengapa. Dalam budaya Arab yang merupakan asas kepada budaya Islam, bahagian atas manusia dianggap suatu yang mulia berbanding dengan bahagian bawah. Maknanya kepala dianggap lebih mulia daripada kaki. Begitu juga dengan kopiah atau tudung, ia lebih mulia daripada stokin atau kasut.

Bagi saya, ia hanya perspektif fikiran manusia kerana semua bahagian tubuh adalah penting, baik kepala mahupun kaki. Tetapi di kepalalah letaknya otak. Kalau otak tidak waras, seseorang tidak diwajibkan solat. Kalau lumpuh, seseorang masih perlu bersolat. Adalah dianggao tidak sopan kalau seseorang duduk di atas kopiah. Tetapi tidak mengapa kalau duduk di atas kasut atau selipar. Manusia menganggap kedudukan tinggi itu lebih mulia dan daripada apa yang berada di bawah. Sebab itu Al-Quran mesti diletakkan di tempat paling atas daripada buku-buku lain.

Saya pun memindahkan iklan kasut itu dari atas muka surat itu ke bahagian bawah. Maka Harakah terpaksa memberi banyak diskaun kepada pengiklan berkenaan kerana perubahan tempat itu. Iklan itu kecil saja; dan ia memaparkan sebuah kasut lelaki hitam berkilat.

Pada masa itu, adalah sukar untuk mendapatkan iklan untuk akhbar Harakah. Ini kerana edaran akhbar itu secara rasminya hanya boueh dijual pada ahli-ahlinya saja. Dari masa ke nasa kerajaan merampas akhbar itu apabila didapati dijual kepada orang ramai. Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada masa itu keras dan tidak toleran. Kini, kebanyakan orang sudah lupa suasana pada zaman itu.

Para peniaga juga, dari pencetak, pengedar dan pengiklan tentu difahami enggan mengaitkan diri dengan parti pembangkang, lebih-lebih lagi parti yang dilabel ekstremis dan melawan.

Ditambah pula produk apa yang boleh dijual pada penyokong-penyokong PAS ketika itu? Pada awal tahun 1980-an, umumnya penyokong-penyokong PAS adalah mereka yang bukan saja terdiri daripada golongan kurang mampu, tetapi mereka yang mampu pun banyak menjalani kehidupan “zuhud”, iaitu todak bermewah. Banyak daripada mereka memakai selipar daripada kasut.

Pada masa itu tidak ada pencetak Melayu yang sanggup mencetak Harakah. Umumnya ahli perniagaan Melayu termasuk para pencetak cenderung pada UMNO kerana dari parti itu nereka boleh dapat projek dan bantuan kerajaan. Bersikap cenderung pada parti pembangkang hanya menyukarkan perniagaan. Maka hanya sebuah pencetak di Petaling Jaya yang dimiliki seorang Cina berani mencetak Harakah dengan syarat, dia dibayar tunai sebelum jentera percetakan dimulakan. Kami membawa wang tunai bersama filem akhbar untuk diserahkan pada pengurusnya, di setiap hari Khamis, selalunya lewat malam untuk selesai dicetak pada awal pagi Jumaat. Begitulah keadaannya senasa saya beradaa di sana dan Harakah tidak pernah berhutang dengan pencetak.

Maka dalam hal iklan begitu juga. Pada satu hari, seorang ejen pencari iklan untuk penerbitan dapat iklan kasut untuk Harakah. Ejen itu adalah seorang Cina dan penjual kasut itu tentunya juga Cina. Mereka tidak mempeduli akhbar pembangkang atau kerajaan. Apa yang penting ialah iklan produk mereka dapat disebarkan dengan meluas. Ini zaman media cetak. Untuk pemasaran, akhbar dan majalah masih media popular. Internet belum ada lagi.

Tetapi pengiklan itu mahukan supaya iklan dengan gambar kasutnya diletakkan di muka depan dan di atas sekali. Ini bermakna; ia membayar harga paling mahal. Pegawai pemasaran meminta persetujuan saya. Kontrak dibuat untuk beberapa bulan. Saya bersetuju dan tidak berasa salahnya. Akhbar perlukan iklan untuk hidup. Untuk mengharapkan jualan saja tidak mencukupi. Harakah perlu untung bukan saja untuk membiayai operasinya tetapi menyumbang juga kepada aktiviti-aktiviti parti termasuk pilihan raya. Ia juga pada masa itu turut menyumbang pada perjalanan pemimpin parti keluar negara bagi memenuhi undangan persidangan-persidangan antarabangsa.

Persetujuan saya kepada iklan itu tidak bertujuan merendah-rendahkan ulama. Saya berada dalam PAS ketika itu adalah di atas gelombang kempen perjuangan “Kepimpinan Ulama”. Pada masa itu, saya langsung tidak sedar tentang sensitiviti ustaz-ustaz bahawa kasut tidak boleh diletakkan di atas.

Sebenarnya hanya pengalaman yang mengajar perkara-perkara seumpama itu. Semua pemberita dan petugas ketika itu baru tahu mengenai perkara itu. Perkara-perkara budaya seumpana itu tidak diajar di universiti atau di kursus-kursus kewartawanan atau pemasaran.

Kebanyakan ustaz belajar di Mesir yang merupakan sebahagian daripada dunia Arab. Maka tidak hairanlah mereka berasa sensitif terhadap perkara kedudukan kasut ini. Orang Islam melepaskan kasut ketika masuk ke rumah dan masjid bukan saja kerana kebersihan. Tanah dianggap kotor dan sebab itu kasut dan selipar dipandang rendah serta perlu dilepaskan untuk menjaga kebersihan rumah dan masjid.

Dari segi apa jua budaya, bumi dianggap rendah dan langit dianggap suci dan mulia. Walaupun hakikatnya semua bahagian alam adalah sama saja dan mempunyai peranan masing-masing. Cumanya, tentulah pada tanah ada virus dan bakteria yang perlu dihalang daripada masuk ke rumah dan masjid. Sebelum kedatangan pedagang Parsi memperkenalkan capal, orang Melayu berkaki ayam. Orang Inggeris yang memperkenalkan stoking.

Kopiah lambang capal

Dalam budaya Arab, membaling kasut ke atas kepala seseorang merupakan penghinaan terbesar. Itulah yang berlaku pada satu masa apabila seorang warga Iraq membaling kasut kepada kepala Presiden George Bush di Baghdad. Itu sebagai pernyataan penghinaan terbesar orang Arab kepada seseorang. Tetapi orang Barat tentu tidak merasakan penghinaan yang besar. Ini kerana dalam budaya mereka, perkara itu tidak timbul.

Saya pernah tinggal beberapa bulan di Kaherah pada tahun 1986. Sungguhpun begitu, saya tidak mengetahui mengenai kedudukan kasut dalam budaya Arab. Setiap Jumaat saya bersolat di masjid-masjid sekitar kediaman saya di Zamalek. Antara kejutan budaya atau culture shock ialah melihat orang membawa kasut dan selipar ke dalam masjid.

Setelah membuka kasut di pintu masjid, mereka melibaskannya untuk membuang pasir dan debu, lalu membawa kasut itu ke dalam dan meletakkannya dengan bahagian bawahnya ditemukan di antara satu sama lain supaya ia tidak mengotorkan hamparan masjid.

Ia diletakkan di tepi-tepi dinding, tidak jauh daripada pemiliknya. Tetapi kalau di luar masjid, ada yang meletakkan kasut di sebelahnya tetapi ada juga yang meletakkan di depannya iaitu berhampiran kepalanya ketika sujud. Ini kerana mereka bimbang kasut itu hilang atau kena curi. Kecurian dan kehilangan kasut juga kadang kala berlaku di masjid dan surau Malaysia. Tetapi orang sini selalunya memasukkan kasut ke dalam beg atau hanya menggunakan selipar murah dan meninggalkan kasut di kereta.

Pada tahun 1990-an, saya terkejut apabila melihat ada kopiah yang meletakkan lambang capal pada kopiah. Capal itu dikatakan mempunyai reka bentuk capal yang digunakan oleh Rasulullah s a w. Tetapi perkara ini tidak dapat dibuktikan secara sejarah.

Pertama kali saya melihat rupa bentuk capal itu adalah dari majalah Arabia pada tahun 1980-an. Reka bentuk itu dipaparkan dalam gambar-gambar kumpulan tarekat di Afrika Utara dan Habsyah.

Ia kemudian diperkenalkan di Nusantara. Malah ada orang menjual capal dan selipar yang mempunyai reka bentuk itu. Ia dijual di kedai atau gerai yang menjual kitab dan buku-buku agama serta alat-alat solat seperti kopiah, tasbih dan sejadah. Namun kini saya jarang melihatnya. Sebaliknya simbol capal itu diletakkan pada kopiah, satu perbuatan yang tidak kena menurut adab Arab. Lebih-lebih lagi ia diletakkan dengan perkataan Muhammad.

Apa pun sensitiviti keagamaan atau kebudayaan hanya diketahui melalui pengalaman ketika berhubung niaga atau bermuamalat dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Kehidupan masyarakat majmuk menuntut bukan saja memelihara sensitiviti tetapi juga bersikap toleransi.

Sesuatu kaum hanya tahu sesuatu sensitiviti apabila ia menghadap masalah berkaitan. Pengetahuan tidak boleh datang dengan sendirinya. Toleransi bukan saja kepada kepercayaan dan amalan agama orang lain tetapi juga toleran terhadap kesilapan dan kejahilan orang lain terhadap kepercayaan kita. Prejudis dan kebencian hanya akan merobek tenunan masyarakat majmuk.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS