KOLUM | Jangan lupakan sejarah. Ingat kembali tiga ratus tahun sebelum Nabi Isa wujud, sosok bernama Iskandar Zulkarnain putera Raja Macedon dari Greek. Ketika ini empayar Greek berpusat di Laut Tengah. Iskandar meluaskan tanah jajahan hingga ke benua India.
Iskandar menawan dan membakar Persepolis, ibu kota kerajaan Parsi. Menawan dan meninggal dunia di Babylon. Akhirnya empayar Greek tinggal dalam ingatan sejarah.
Jangan lupa dengan empayar Rom yang menguasai tanah besar Eropah hingga ke England. Di pulau itu satu tempat diberi nama Londinium hingga ke hari ini menjadi London.
Ingati kembali Empayar Mongol yang wujud pada abad ke-13 dan ke-14. Ini adalah empayar terbesar dalam sejarah. Berasal dari Mongolia di Asia Timur. Empayar Mongol kuasanya menjalar dari Laut Jepun ke bahagian Eropah Timur, memanjang ke utara ke bahagian Artik. Sampai ke India, ke Iran hingga mencakupi Syria.
Hari ini tinggal sejarah
Ingat kembali empayar Napoleon. Ingat kembali empayar Belanda, Sepanyol dan Portugis. Ingat kembali empayar Ottoman dari Turki dan empayar Inggeris dari England.
Jangan lupa empayar Jepun dan Hitler dengan kekuatan militer dan mendominasi dunia untuk hanya beberapa tahun dalam Perang Dunia Kedua.
Kita juga di Tanah Melayu jangan lupa empayar Melaka. Empayar ini meluas dari Selat Melaka ke utara Semenanjung Tanah Melayu ke Sumatera. Kini hanya tinggal dalam ingatan sejarah.
Semua empayar ini melalui tiga babak. Babak pertama dari kuasa kecil kian membesar dan memiliki bala tentera yang ramai. Babak ke dua bilamana ramai tentera maka kuasa meluas berkembang dan menjajah dan menjadi kota kaya. Babak ketiga pelbagai masalah muncul akhirnya runtuh.
Hukum dan syarat wujudiah empayar ini dibantu oleh pelbagai sebab. Keruntuhan juga ada pelbagai sebab. Satu persamaan yang hakiki dalam semua empayar ini ialah tujuan mendirikan empayar untuk mencari dan mengaut harta kekayaan.
Hegemoni empayar berpaksikan dan dipasak oleh kekuatan bala tentera. Di belakang kekuatan tentera ini ialah kekuasaan ekonomi. Meluaskan tanah jajahan bertujuan untuk meluas dan mengaut punca-punca ekonomi.
Dalam usaha mengaut harta kekayaan ini memerlukan kuasa dominasi. Dominasi ialah penindasan. Penindasan ini akhirnya melahirkan perlawanan. Perlawanan membawa perang. Perang membawa keruntuhan empayar.
Perang melawan empayar adalah perang adil. Perang anak tanah jajahan melawan empayar yang menjajah pasti mencapai kemenangan.
Empayar Rom runtuh. Empayar Ottoman terbarai. Empayar Inggeris tinggal sejarah.
Tahun 2024 empayar Amerika - Pax Americana – sedang memperlihatkan kepada dunia bahawa betapa kukuh pun hegemoni satu-satu empayar akhirnya akan runtuh.
Amerika kalah di Vietnam. Amerika kalah di Iran. Amerika kalah di Iraq. Amerika kalah di Afghanistan. Hegemoni Pax Americana terburai di sana sini.
Pax Americana ialah istilah yang digunakan untuk konsep keamanan relatif di Hemisfera Barat. Selepas tamat Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, apabila Amerika Syarikat menjadi kuasa ekonomi, budaya dan ketenteraan yang dominan di dunia.
Hukum dialektik – sebanyak mana ada penindasan sebanyak itu juga akan menimbulkan perlawanan - tidak berubah.
Jangan lupa sebelum Amerika muncul mendominasi dunia kuasa dunia adalah milik Inggeris. Kuasa kolonial Inggeris menjajah tiga par empat bumi manusia. Hari ini ada 56 buah negara bekas tanah jajahan Inggeris dalam Kesatuan Commonwealth.
Jangan terperanjat walau empayar British telah runtuh masih ada lagi negara yang masih tunduk kepada Baginda Raja Charles. Negara seperti Kanada, Australia dan New Zealand masih menyembah Raja Inggeris.
Amerika muncul sesudah Perang Dunia Kedua. Kerana berperang kuasa hegemoni Inggeris terbarai. Perang melumpuhkan ekonomi Inggeris. Dalam masa yang sama setelah perang tamat anak tanah jajahan menuntut merdeka – termasuk kita di Tanah Melayu.
Muncul Amerika dengan kekuatan senjata bersama bom atom. Amerika mengambil alih peranan British. Pax Britannica diganti oleh Pax Americana.
Selepas Perang dunia Kedua wujud dua blok. Blok kapitalis - Eropah Barat di bawah payung Amerika. Eropah Timur - Blok Sosialis Soviet Union di bawah pimpinan Rusia.
Bila Soviet Union dan Tembok Berlin runtuh pada tahun 1989 yang tinggal solo hanyalah kuasa Amerika. Dunia pasca Tembok Berlin jatuh ke bawah hegemoni Pax Americana.
Tapi hukum alam terus berubah. Hari ini semakin jelas perubahan sedang berlaku. Dunia uni polar – satu kuasa hegemoni Pax Americana sedang dilawan.
Pada 12 Februari 2024 Vladimir Putin telah di temu bual oleh bekas wartawan Fox Newss Tucker Carlson. Antara lain Putin telah berkata ‘...... you have 34 trilion dollars debts..... you have nothing esle to do..... (Amerika ada hutang 34 trilion dolar.... tak da kerja lain nak dibuat ... hanya mencari gaduh .....’)
Kata-kata Putin ini menggambarkan apa yang sedang berlaku ke atas Amerika sekarang. Dengan hutang negara yang begitu banyak Amerika masih membuka medan perang di sana sini.
Ketika tulisan ini digarap Amerika sendang terlibat dalam dua kancah perang – di Ukraine dan di Gaza.
Semenjak perang Ukraine bermula tahun 2022 Amerika telah memberi bantuan berjumlah AS$74 bilion kepada Ukraine.
Manakala Amerika saban tahun memberi dana sebanyak AS$3 bilion kepada Israel. Semenjak medan perang Gaza berlaku Biden telah memberi dana tambahan AS$14 bilion kepada Zionis Israel.
Pada awal tahun ini Presiden Biden telah meminta Kongres meluluskan AS$95.34 bilion untuk Ukraine, Israel dan Taiwan. Sebanyak AS$62 bilion dari jumlah ini khusus untuk Ukraine. Ketika tulisan ini digarap dana untuk Ukraine masih belum diluluskan oleh Kongres.
Apa yang menjadi perbualan dunia ialah dalam keadaan hutang, dalam suasana ekonomi Amerika sendiri menguncup, dalam masalah rakyat tanpa kerja, dalam masalah ramai rakyat Amerika tidur di tepi jalan – Presiden Biden masih keluar dana untuk berperang.
Dari data statistik 2023 terdapat 653,104 warga Amerika yang tidur di jalanan.
Justeru tidak masuk akal dana berbilion bilion di hantar ke Ukraine. Dana yang sama boleh menyelesaikan masalah warga tanpa rumah di seluruh Amerika berulang kali.
Ini betul seperti kata Bani Melayu: Kera di hutan disusukan. Anak di rumah mati kelaparan.
Apabila kita membaca fakta belanjawan dan hutang Amerika ini kita merasa Biden bodoh dan kita bijak. Biden dilihat membuat kerja yang tak masuk akal.
Sebenarnya Biden bukan bodoh. Apa yang sedang berlaku di Amerika ada sebab musabab. Ada latar dan ada pemangkin. Semua berjalan mengikut hukum dialektik dalam sistem ekonomi kapitalis.
Amerika kini sebuah empayar - negara imperialis. Imperialis ada tahap paling tinggi dalam sistem ekonomi kapitalis. Empayar Rom, empayar Ottoman, empayar Mongol – semuanya melalui tahap ini. Yang membezakan antara empayar Mongol dengan empayar Amerika hanya bentuk moden dan teknologi moden yang membalut Amerika.
Pembalut utama dalam empayar Amerika ialah sistem elektoral - pemilihan sapa akan duduk di Rumah Putih. Sistem undi dan mencari pengaruh untuk diundi adalah virus utama yang membawa runtuh empayar Amerika.
Untuk bertanding menjadi Presiden Amerika memerlukan dan yang banyak dan ligat. Calon Presiden tahun 2016 Hillary Clinton membelanjakan AS$1.4 bilion untuk berkempen. Trump membelanjakan AS$957.6 juta. Tahun 2020 Biden membelanjakan AS$1.6 bilion.
Dari mana duit ini datang?
Duit belanja kempen untuk jadi Presiden datang dari industri senjata. Syarikat dan kilang senjata seperti Lockheed Martin Corps, Boeing, Raytheon, General Dynamic dan Northrop akan memberi derma.
Apa pulangan untuk syarikat yang telah memberi derma ini? Menderma ialah melabur. Syarikat dan kilang senjata melabur untuk mempengaruhi dasar dalam negara dan dasar luar Amerika.
Selain dari syarikat kilang senjata ini mungkin ada kumpulan lobi yang memberi derma untuk mempengaruhi dasar Rumah Putih
Kumpulan pelobi pro-Israel terbesar ialah Christians United for Israel dengan lebih tujuh juta ahli. Juga AIPAC Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Israel Amerika. Ada yang menuduh kumpulan Yahudi pro Israel - AIPAC - ini adalah punca kuasa dalam politik Amerika.
Hari ini selain dari produk Hollywood eksport terbesar yang menjana ekonomi Amerika ialah senjata. Justeru untuk Amerika perang adalah perniagaan.
Kalau Malaysia pengeksport terbesar minyak sawit dalam dunia. Amerika pula pengeksport senjata terbesar dalam dunia.
Dana yang dikeluarkan untuk Ukraine dan Israel ini akan di agihkan kepada kilang pembuat senjata. Ukraine atau Israel dijadikan penyalur dalam sistem ekonomi perang.
Sistem politik dan ekonomi Amerika yang wujud sekarang terus menerus memerlukan perang. Tanpa perang ekonomi Amerika akan terhenti.
Pemerhati politik dan pakar militer kini telah menyuarakan bahawa Ukraine akan kalah. Rusia akan menang.
Akhbar arus perdana di Amerika seperti Washington Post dan The New York Times telah mula melaporkan berita yang dianggap negatif terhadap Ukraine. Ini petanda awal yang Amerika akan cuci tangan di Ukraine seperti Amerika cuci tangan di Vietnam dan Afghanistan.
Empayar Rom berhadapan dengan Barbarian yang mengepong pintu kota Rom. Akhirnya empayar Rom runtuh dimusnahkan oleh Barbarian.
Amerika juga sedang dikepung. Sapa Barbarian yang sedang mengepung Amerika? Tunggu minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.