KOLUM | Artikel ini adalah suatu upaya kecil dalam memahami kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tanah airnya sendiri.
Sememangnya telah ada peruntukan khas dalam Perlembagaan Persekutuan tentang kedudukan bahasa Melayu. Artikel ini tidak mengemukakan data, gambar rajah atau angka untuk memperkukuhkan pandangan.
Ini bukan perbahasan mencari pemenang dan siapa yang tewas, siapa benar dan siapa yang salah. Ia sekadar renungan buat kita semua sebagai warga di negara merdeka ini.
Di penghujung tulisan ini, saya mempunyai harapan agar setiap patah kata yang tertulis mampu memercikkan api perjuangan selepas ia malap di muara kemerdekaan.
Tatkala bahasa mengalir di muara merdeka adalah inti pati artikel ini. Ia merujuk kepada cabaran bahasa Melayu ketika kemerdekaan berada pada tahap penghujung.
Mengapa saya katakan ‘penghujung’? Apakah perlu kemerdekaan kali kedua dan seterusnya?
Muara merdeka adalah suatu perlambangan. Muara adalah satu daerah atau lembangan di peringkat akhir sesebuah sungai. Apabila kita melihat muara, ia adalah tempat pertemuan air sungai dengan air laut.
Semarakkan makna merdeka
Ia adalah tempat pertembungan antara aliran sungai dengan ombak laut. Bahkan pasang surut laut akan mempengaruhi kadar kandungan air sungai.
Muara akan membawa fikiran dan khayalan kita kepada realiti tentang rupa wajah bahasa pada hari ini. Alirannya lesu kerana membawa bebanan yang sangat berat dan pasrah bertembung dengan ombak yang datang.
Ketika melihat muara, itulah keadaan merdeka kita pada hari ini. Lesu, tidak bermaya dan pasrah kepada sebarang kemungkinan.
Kita terus setia meraikan ulang tahun kemerdekaan yang kini lebih dikenali sebagai hari kebangsaan saban tahun. Ia menjadi satu ritual nasional untuk diraikan melalui acara yang pelbagai.
Namun yang lebih penting untuk dihayati ialah soal pengisian merdeka yang benar-benar memberi makna besar dalam kehidupan bermasyarakat.
Jika tidak perlu kemerdekaan kedua, maka sekurang-kurang kita harus semarakkan makna kemerdekaan dalam sanubari rakyat sekuat-kuatnya.
Pada karangan ini, fikrah yang dilontarkan adalah daripada himpunan cebisan perjuangan ‘bahasa jiwa bangsa’ sepanjang perjalanan pembinaan negara bangsa. Ia bukan semata-mata dari kotak fikiran saya sahaja.
Saya hanya mengatur bicara yang lepas dan menyusun kembali sebagai sebuah karangan untuk dikongsi sama.
Seorang pemikir dari Algeria, Malik Bennabi, menyebutkan tentang masyarakat yang bertamadun. Katanya terdapat dua jenis masyarakat sejarah.
Satu, yang lahir daripada tindak balas kepada cabaran yang timbul dalam suasana tabii sehingga mewujudkan sebuah masyarakat baru.
Jenis kedua ialah masyarakat yang lahir dari kesan tuntutan sesuatu ideologi.
Masyarakat Malaysia bolehlah dianggap sebagai masyarakat yang lahir dari perubahan demografi dan geografi kemanusiaan. Paling ketara terutama semasa era penjajahan Inggeris pada kurun ke-19 apabila buruh asing dibawa masuk bagi memenuhi keperluan ekonomi.
Memugar kedaulatan bahasa
Masyarakat Malaysia tidak dibentuk oleh mana-mana ideologi seperti AS atau Soviet Union. Ia terbentuk melalui proses asimilasi dan akomodasi dalam masyarakat secara berperingkat-peringkat.
Meski tanah air kita sudah mempunyai pengalaman sejarah dengan masyarakat luar sejak ribuan tahun, namun era penjajahan Inggeris memiliki signifikan kuat dalam proses pembentukan sebuah rupa bentuk masyarakat majmuk yang ada pada hari ini.
Pada peringkat awal Inggeris di tanah air kita, para pegawai dan kakitangan mereka mempelajari bahasa Melayu dan cuba menguasai budaya dan bahasa tempatan.
Bahkan mereka menulis buku-buku mengenai kesusasteraan Melayu dan menyusun kamus seperti yang dilakukan oleh Wilkinson, RO Winsted, Frank Swettenham dan lain-lain.
Sepanjang negara berada di bawah pentadbiran Inggeris, mereka berusaha menguasai dan memugar kedaulatan bahasa Melayu itu sendiri.
Melalui penerokaan dan penguasaan bahasa Melayu, para pegawai Inggeris sebenarnya memahami psikologi dan sosiologi masyarakat yang mereka jajah. Mereka menguasai bahasa Melayu tetapi akar keinggerisannya kekal dalam pemikiran.
Inilah kualiti masyarakat yang bertamadun Barat. Mereka maju, menguasai dan membina sistem untuk ia terus digunakan oleh bekas jajahan sehingga beratus-ratus tahun selepas tanah itu ditinggalkan.
Sebelum Inggeris meninggalkan tanah air kita, mereka mempersiapkan satu perlembagaan yang menjadi asas kepada pembinaan negara bangsa yang baru merdeka.
Lalu dari aspek bahasa, telah dijadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan tersebut juga tidak menghalang mana-mana bahasa lain digunakan atau diajar.
Kini sudah lebih enam dekad kita merdeka. Apakah kita harus terus menyalahkan penjajah? Atau kita masih lagi menjadi hamba kepada penjajah mental dan jiwa?
MUHAIMIN SULAM ialah ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.