Sememangnya dari aspek eksistensial tujuan kehidupan, masalah orang agama terutamanya Islam sudah pun selesai dan terjawab. Orang Islam sudah tahu kita akan ke mana selepas ini, apa soalan-soalan yang akan ditanya di dalam kubur, apa pula akan dilalui selepas kubur dan seterusnya.
Tetapi masalah umat manusia zaman berzaman, bukan hanya persoalan selepas ini, tetapi juga persoalan ketika ini. Apa yang harus dilakukan ketika ini. Bukan hanya selepas ini.
Perkara berkaitan selepas ini digolongkan dalam ilmu spiritual-metafizikal. Sementara persoalan ketika ini selalu digolongkan dalam hal keduniaan-empirikal. Perkara berkaitan selepas ini dalam bahasa kita disebut sebagai ilmu agama, alam ghaib dan akhirat.
Dalam Bahasa Inggeris disebut hereafter. Sementara persoalan ketika ini selalu disebut sebagai ilmu sains dan ilmu ekonomi. Dalam bahasa yang selalu dijelik-jelikkan oleh para penentangnya, disebut sebagai sekular, dengan nada benci.
Tanpa menafikan persoalan-persoalan eksistensial yang dikatakan telah dijelaskan dengan baik oleh agama, kita tidak boleh hidup hanyasanya dengan ilmu selepas ini sahaja. Ilmu-ilmu ketika ini juga perlu dipelajari, dan dikuasai.
Umat Islam hari ini, bukan lagi hidup di era Al-Ma’mun, Putera Harun Aminurrashid yang beraliran Muktazilah. Era umat Islam pada hari itu yang ditandai dengan Baitul Hikmah ialah era umat Islam memandu dunia. Dan era itu telah pun berlalu.
Sementara era hari ini, jika kita tidak dipandu oleh Amerika, kita dipandu oleh China. Dua kuasa besar ini yang sedang memandu kita. Puluhan tahun sebelum itu juga, ialah Amerika, yang ditandingi bukan oleh kuasa besar Islam, tetapi oleh Kesatuan Soviet, yang fahamannya sama dengan China hari ini. Sementara umat Islam, kekal obsesif pada isu-isu berkaitan dajal.
Obsesif pada dajal
Nampaknya umat Islam di Baghdad era Ma’mun, Ibn Firnas, Ibn Khaldun, Al-Kindi, Al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Rusyd, Al-Khawarizmi, Al-Biruni, seperti tidak pernah mendengar hadith-hadith akhir zaman. Mereka kekal dan cekal dalam membangunkan dunia dengan keilmuan.
Hadith-hadith akhir zaman seperti tidak pernah didengari ataupun belum selesai dikumpul. Di kala itu Islam sedang menang dengan akal, dan wahyu dilihat tidak bercanggahan dengan akal. Di kala itu Ustaz Auni belum dilahirkan lagi.
Tetapi pada hari ini, buku-buku tentang dajal, teori konspirasi, Illuminati, begitu berleluasa, dicetak sebanyak-banyaknya dan bermaharajalela di rak-rak kedai buku juga rak-rak di rumah orang Melayu-Islam. Pesta-pesta buku penuh dengan buku-buku jenis itu.
Kilang-kilang keilmuan Islam menghasilkan puluhan ribu graduan Islam baik di Timur Tengah mahupun di Malaysia. Kebanjiran jumlah mereka harus difikirkan. Adakah ia mendatangkan faedah atau jadi liabiliti?
Yang pasti, kita lebih banyak melahirkan agamawan dari saintis. Maka masa hadapan kita akan menuju ke mana?
Kerana itu bila Coldplay datang ke Malaysia, dan dalam satu nyanyian mereka ada yang menyarung kepala alien bermata satu, terus gegak gempita di dunia maya bahawa itu adalah simbol dajal.
Sedangkan dalam hadith sendiri, bab mata dajal sendiri pun masih belum selesai. Ada hadith mengatakan dajal buta mata kirinya. Ada hadith lain mengatakan dajal buta mata kanannya.
Orang agama atau yang terlalu obsesif seperti tidak boleh menerima kenyataan bahawa selain agama untuk memuaskan pertanyaan-pertanyaan eksistensial, masyarakat juga perlukan hiburan.
Dan hiburan yang dipersembahkan oleh Coldplay juga membawa bukan sedikit pulangan ekonomi. Tetapi ini pastinya akan dibaca secara simbolik bahawa ketika dajal datang, dajal menawarkan syurga atau kesenangan buat para pengikutnya dan neraka buat yang menentangnya.
Jadi persoalan duniawi ditafsirkan dengan sebegitu enteng.
Jika dajal itu ditafsirkan sebagai hiburan konsert, bagaimana pula dengan hiburan-hiburan di kaca TV? Adakah itu juga tidak dajal?
Atau adakah konsert itu dajal besar, sementara hiburan-hiburan lain seperti Gegar Vaganza, itu dajal kecil?
Industri hiburan memberi pulangan ekonomi bukan sedikit. Jika ini dikatakan dajal dan ditutup, orang agama harus berfikir dan sediakan alternatif apa ekonomi atau mata pencarian untuk puluhan ribu manusia yang cari makan dengan industri hiburan.
Pemikiran futuristik tidak ada
Selain dajal yang jadi obsesif utama kita, tak lain tak bukan ialah Imam Mahdi. Malah ada orang Malaysia mengaku sebagai Mahdi. Ternyata fikiran akhir zaman bahawa dunia ini akan berakhir disalah tanggap dengan kelesuan pemikiran, bukan dengan kebangkitan atau penciptaan sesuatu.
Hadith-hadith akhir zaman dibacakan oleh para agamawan dengan nada pasif, pesimis, eskapis dan fatalis.
Sementara Elon Musk hendak meneroka angkasa, kita masih teraba-raba. Pada masa yang sama juga China tengah pesat membangunkan syurga di bumi, dengan mewujudkan sebanyak mungkin kereta api laju, umat Islam masih kekal buntu.
Iran yang meskipun fahaman mendasar mereka ialah fundamentalisme versi Syiah, sekurang-kurangnya dari sudut hegemoni di Timur Tengah, nuklear juga persenjataan, mereka lebih ke depan dalam naratif masa hadapan.
Jika Imam Mahdi muncul di tengah-tengah masyarakat Sunni, tidakkah Imam Mahdi itu akan terkebil-kebil apabila melihat persiapan masyarakat Sunni itu sendiri?
Kita seperti biasa akibat menelan begitu banyak racun-racun sektarian daripada Timur Tengah, menyebabkan kita tidak boleh berkawan dengan Iran dan berfikiran paranoia bahawa Iran juga musuh seperti Yahudi.
Akhirnya umat Islam, terutama Melayu-Islam di Malaysia, tidak membangunkan apa-apa. Teknologi hendak pergi haji pun dibangunkan oleh orang bukan Islam. Jadi bagaimana?
Kesimpulan
Pastilah ini bukan kerja orang perseorangan. Pastilah ia adalah usaha kerajaan. Tetapi dari peringkat individu itu pun tetap ada peranan yang boleh dilakukan.
Sekurang-kurangnya kita harus sedar, bahawa fikiran tentang akhir zaman tanpa persiapan, hanya berharap kemenangan adalah fantasi lucah semata-mata. Paling kurang, kurangkan sebanyak yang boleh buku-buku teori konspirasi yang melekakan dan menipu.
Dan bila lebih ramai bilangan manusia yang pro kepada sains, maka dari sudut demokrasinya, kerajaan akan lebih banyak dasar-dasarnya ke arah itu.
Waze yang orang Islam gunakan seharian untuk memandu pun dibuat oleh syarikat Israel. Tidakkah ini menunjukkan kelemahan kita yang paling fatal bila musuh sendiri tahu kita nak ke mana, membeli apa, membawa siapa, tinggal di mana dan sebagainya lagi?
Sepatutnya hadith yang bernada optimis sebegini yang dibacakan dan disyarahkan serta dikembangkan penafsirannya:
Rasulullah SAW bersabda:
“Sekiranya di tangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku kiamat, maka hendaklah kamu menanam dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut.” - Hadith Riwayat Imam Ahmad.
BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.