Cecil Rajendra adalah seorang peguam hak asasi manusia dan penyajak terkenal dari Pulau Pinang. 'Kingdom of Purplaya' (Kerajaan Purplaya), puisi terbaru beliau telah mencetuskan kontroversi.
Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dalam kenyataan bersama mereka mendakwa puisi itu berunsur hasutan untuk menimbulkan kebencian dan menghina kedudukan orang Melayu .
Ketua Satu Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) menyifatkan puisi itu sebagai perkauman dan tidak patriotik. Selain itu, ada beberapa pihak pula mengecam karya kreatif itu sebagai menghina orang Melayu, provokatif dan boleh mencetuskan ketegangan kaum.
Dr Hassan Ahmad dalam ulasannya yang berjudul 'Puisi hina kaum Melayu' ( Utusan Malaysia , 11 April) dengan panjang lebar cuba membuktikan kesalahan warisan penjajah yang menganggap Melayu bukan penduduk asal Semenanjung, dan puisi itu dikatakan berdasarkan kesilapan warisan pemikiran tersebut dan menghina Melayu.
Ruangan pendapat dalam akhbar yang sama (16 April) menyiarkan tulisan Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail yang bertajuk 'Maruah Melayu dicabar lagi.' Antara lain, beliau telah menterjemahkan rangkap-rangkap puisi berkenaan yang dianggap 'sangat sinis bunyinya' dalam bahasa Melayu seperti berikut:
Kerajaan Purplaya
terletak di Asia
di utara sedikit dari Khatulistiwa
Penduduknya terdiri dari asal-usul bercampur;
sesetengahnya orang Indonesia, sesetengahnya Cina,
sesetengahnya India, sesetengahnya Portugis
Kebanyakan orang Purplaya adalah pendatang
dari negara-negara yang berjiran;
hanya sedikit sahaja penduduk asal tulen
Untuk memastikan hak istimewa mereka diabadikan
kelompok ungu yang berpura-pura ini
menggariskan satu perlembagaan yang lucu
yang menentukan Raja dan Presiden
akan sentiasa berada di tangan mereka
Mereka melaksanakan sistem kuota
untuk menempah tempat bagi anak-anak mereka
di sekolah, kolej dan universiti.
Puisi umum
Berasaskan rangkap-rangkap tersebut, Dr Ku Abd Rahman merumuskan empat perkara seperti berikut: Puisi itu mempersoalkan kedudukan Melayu sebagai penduduk asal, mempersendakan perlembagaan negara, mempertikaikan hak istimewa orang Melayu; dan cuba menafikan sejarah negara.
Menurut Rajendra, puisi tersebut bersifat umum dan menyeluruh, membabitkan golongan elit di seluruh dunia. Ia boleh dikaitkan dengan Palestin, Zimbabwe, Fiji, Singapura, dan tidak ada kena-mengena dengan kedudukan orang Melayu di Malaysia.
Namun, penyajak itu tidak menafikan bahawa puisi tersebut mungkin ditafsirkan berbeza oleh pembaca berbeza. Tambahnya, dalam puisi itu tiada perkataan 'Melayu', 'Malaysia' atau 'Islam' digunakan. Beliau malah menganggap mereka yang berfikiran chauvinist sengaja mengaitkan puisi tersebut dengan Melayu dan Islam.
Bagaimanapun tidak dapat dinafikan bahawa puisi umum itu juga boleh dirujuk kepada keadaan negara kita daripada aspek-aspek tertentu, kalaupun tidak semestinya daripada perspektif perkauman, yakni sebagai provokasi terhadap sesuatu kaum.
Jika puisi itu diteliti daripada perspektif hak asasi manusia dan hak sama rata setiap kaum secara menyeluruh, iaitu prinsip yang turut diperjuangkan oleh penyajak itu selama ini, 'Kerajaan Purplaya' lebih merupakan puisi yang antikumpulan elit politik yang korup, autokratik dan racist , tanpa mengira bangsa apapun.
Cuba halusi rangkap-rangkap puisi itu (terjemahan saya) seperti berikut:
Undang-undang digubal agar sesiapa pertikaikan
tentang kuasa dan kedudukan istimewa mereka
akan didakwa sebagai pengkhianat
'Rakyat ungu' gelaran untuk diri sendiri
kini mennikmati lesen-lesen yang tidak terhad
kerana mereka sajalah yang bebas berbuat apa saja
untuk menfitnah musuh di dada-dada akhbar mereka
membakar patung di sudut-sudut jalanan
sedangkan warganegara biasa
menghadapi seksaan dan kurungan
andainya mereka mengkritik kerajaan
atau menganjurkan apa-apa perhimpunan
Namun, autokrasi apartheid ini
- sebagai benteng terakhir amalan perkauman yang berinstitusi di dunia ini -
masih membuat lakonan luar biasa
dan masih mendakwa negara itu
satu-satunya demokrasi tulen yang masih wujud!
Kerana maruah tercabar
Sayang sekali rangkap-rangkap tersebut telah diabaikan sama sekali oleh pengkritik-pengkritik puisi tersebut. Mungkin kerana kandungannya tidak dapat diterima oleh rangka pemikiran mereka yang serong!
Setelah hampir setengah abad negara kita mencapai kemerdekaan berkat perjuangan semua kaum di negara kita, dan setelah negara tercinta ini diteroka dan dibina bersama-sama oleh rakyat berbilang kaum, rakyat masih tidak dipandang dan dilayan sebagai manusia yang setaraf, tetapi masih dibahagi-bahagikan antara 'penduduk asal' dan 'kaum pendatang,' 'Bumiputera' dan bukan Bumiputera,' kaum majoriti dan kaum minoriti, yang dominan dan yang dipinggirkan, tidakkah keadaan ini lebih menyedihkan daripada soal kononnya maruah sesuatu kaum telah dicabar?
Dari segi akademik atau pendekatan sejarah, sama ada sesuatu kaum itu penduduk asal atau kaum pendatang, ia memang boleh didebatkan berasaskan kajian yang dibuat, ia tidak semestinya bertujuan untuk menghina atau sebaliknya mengagungkan mana-mana kaum.
Umpamanya kaum Cina dan India, hingga sekarang mereka masih sering dipandang sebagai kaum pendatang, tidakkah ia juga merupakan suatu penghinaan terhadap kaum-kaum tersebut? Pada hemat saya, sekiranya ia hanya merujuk kepada fakta sejarah, ia adalah sesuatu yang objektif. Namun, jika ada pihak yang ingin menuntut hak-hak sama rata mereka sebagai rakyat Malaysia, maka tuntutan itu didakwa penghinaan dan diskriminasi !
Dari satu sisi lain, Orang Asli di negara kita memang diakui sebagai penduduk asal, tetapi adakah pengakuan ini saja dapat mengubah nasib mereka yang daif dan terpinggir itu? Mengapakah kaum yang lain harus merasa maruahnya tercabar jika Rajendra cuba membela nasib orang asal di negara kita? Dalam aspek ini, beliau sepatutnya tidak dianggap sebagai buta sejarah, atau bersikap provokatif dan tidak patriotik.
Jika puisi 'Kerajaan Purplaya' benar-benar berunsur perkauman dan boleh dianggap anti-Melayu dan anti-Islam seperti yang dituduh, maka manusia yang bernama Rajendralah yang patut bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sajaknya itu, bukan kaumnya atau kaum-kaum bukan Melayu yang lain.
Demikian juga halnya dengan pengkritik-pengkritik puisi tersebut. Ada baiknya Rajendra hanya dianggap mewakili dirinya. Jika boleh, janganlah diheret bersama maruah sesuatu kaum secara beremosi, sehingga mempengaruhi hubungan kaum yang baik dan sihat yang sewajarnya dipupuk dan dipertahankan.
Negara kita mengamalkan sistem demokrasi, kebebasan bersuara merupakan hak asasi rakyat yang harus dihormati. Pengkritik-pengkritik kita juga harus berlapang dada dan berfikiran terbuka. Proses bertukar-tukar fikiran hendaklah secara matang, menggunakan teknik-teknik dan prinsip-prinsip kritik, kritik balas, dan kritik diri supaya ia tidak terpesong menjadi ancaman, tindasan malah keganasan golongan yang berkuasa, yang dominan dan yang kuat terhadap kaum atau kumpulan yang tidak berkuasa, lemah dan terpinggir.
Sudah barang tentu tidak bijak. Hanya kerana sebuah puisi dianggap kontroversi, seluruh kaum bukan Melayu yang dipersoalkan - sampai bila mereka ingin terus mengusik dan memprovokasi orang Melayu. Sementara seluruh kaum Melayu pula ditanya lagi - sampai bila mereka boleh bersabar dan bertolak-ansur atas nama perpaduan dan kestabilan politik?
Sebagai karyawan dan pengkritik, kita harus mempercayai kekuatan pena, bukan senjata. Kekuatan pena datangnya daripada kekuatan kebenaran, bukan kekuatan lain.