Maka berakhirlah sudah pilihan raya negeri yang dinanti-nantikan selama ini. Dalam enam negeri yang dipertandingkan, keputusannya seri jika diikut secara pemenang negeri.
Tetapi jika dihalusi dan dicermati, Perikatan Nasional (PN) atau PAS menggondol bukan sedikit kerusi, diikuti DAP dan diakhiri oleh Umno.
Amanah tiada kesan yang signifikan sementara Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Utama Rakyat (PUR) dan Bebas berjaya dikalahkan Umno.
Dari sudut parti-parti baru, Umno masih nampak bergigi.
Undi-undi yang diperoleh Umno masih banyak jika dibandingkan dengan parti-parti baru, baik Muda ataupun PSM yang hanya mendapat 6,257 undi jika dikumpul dan diletakkan dalam satu bakul.
Tetapi jika dibandingkan dengan musuh utama yang sezaman dengannya, iaitu PAS, Umno sudah jauh ketinggalan. Umno seperti hilang harapan meskipun bersama dalam Pakatan Harapan (PH).
Selain kekalahan secara besar-besaran pada Umno, tidak dilupakan juga ialah kekalahan yang menimpa perdana menteri kesepuluh kita, iaitu Anwar Ibrahim dan seluruh jentera politiknya yang ditalakan kepada Kedah.
Musuh terbarunya kali ini iaitu Sanusi Md Nor tidak dapat ditumpaskan, malahan ditabalkan menjadi menteri besar sekali lagi. Tempoh paling lewat untuk Sanusi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ialah pada 2028. Dan adakah Anwar mampu bertahan melepasi musuh barunya itu?
Selain Kedah, negeri-negeri lain juga tidak mencatatkan pencapaian yang besar buat PH yang kali ini bersekongkol dengan BN membentuk Kerajaan Perpaduan.
Terengganu mencatatkan sifar pembangkang dan Selangor kehilangan peguasaan dua pertiga dalam DUN. Ternyata ini sememangnya suatu referendum yang kelat dan terpaksa ditelan oleh Anwar.
Dari retorika reformasi ke retorika kuku besi?
Sudah mula desas-desus Anwar akan menjadi seperti Mahathir Mohamad yang tidak pernah dapat menawan Kelantan semenjak kehilangan negeri itu pada tahun 1990, ketika Nik Aziz Nik Mat menjadi menteri besar.
Negeri PAS itu berterusan menentang pusat dan tidak dapat ditawan Mahathir sehingga hari terakhirnya sebagai perdana menteri. Begitu juga dengan perdana-perdana menteri selepas Mahathir.
Harus diakui Kelantan sudah menjadi kubu kuat PAS yang tidak boleh dinafikan lagi. Bukan sahaja Amanah yang dirancang awalnya untuk mengambil posisi PAS, Umno yang sudah hidup lama di sana pun tidak mampu menyingkirkan PAS.
Malah pembesar Umno seperti Tengku Razalaeigh Hamzah atau Ku Li sendiri kalah dengan PAS dan Annuar Musa pun akhirnya menyertai PAS.
Kerana kekalahan demi kekalahan yang diterima oleh rejim Anwar, sudah semakin banyak suara-suara pendukungnya yang mahukan Anwar supaya bertindak lebih keras.
“Anwar tidak harus memberi muka kepada pembangkang. Jika mereka tidak mahu undi PH-BN, biarkan sahaja mereka. Bangunkan sahaja negeri-negeri yang telah mengundi PH-BN.”
Logika ini ada kebenarannya. Bukan tidak ada kebenaran langsung. Jika PH-BN membantu PN, sementara PN berterusan memburuk-burukkan PH-BN, maka apakah faedahnya?
Tetapi bukankah ini juga yang diamalkan pembangkang -yang hari ini menjadi kerajaan- sebelum ini? Nik Aziz sendiri pernah berkata:
“Bagi pitih (duit) ambil. Bagi gula kacau. Bagi kain pakai. Bagi kertas undi, pangkah bulan.”
Jadi budaya tidak mengenang budi ini bukanlah baru diamalkan semalam atau pada musim PRN yang baru sahaja berlalu. Tetapi sudah menjadi tradisi politik yang dibenarkan zaman berzaman.
Dan ia tidak pernah dipermasalahkan oleh Anwar dan klik-klik pembangkangnya ketika itu.Tetapi apabila kalah dalam PRN, ura-ura itu sudah mulai bergentayangan di mana-mana.
Bahkan jika dihalusi, ia bukan bersifat ura-ura, tetapi sudah memperlihatkan betapa tidak profesionalnya Anwar dalam mentadbir.
Beliau sendiri mengatakan tidak ingin berjumpa dengan Sanusi, yang mulutnya celupar kepadanya selaku perdana menteri.
Seyogia diingatkan, bahawa mulut Anwar juga bukanlah terlalu baik dengan musuh-musuh politiknya yang menjawat jawatan perdana menteri.
Mulut ayam sabung PH seperti Mat Sabu adalah dua kali lima dengan Sanusi sahaja. Pada era internet ini, Youtube telah menyimpan arkib rekod ceramah politikus-politikus yang ada.
Hari ini kita boleh lihat sendiri bagaimana ceramah-ceramah politik lima ke enam belas tahun lalu.
Sekat peruntukan pasti kalah
Rekod politik menunjukkan rakyat Kelantan memilih PAS lebih 33 tahun, dan akan menuju ke 38 tahun.
Jika rejim PH-BN tidak belajar dari sejarah, kata George Santayana, pasti akan mengulanginya.Kerana Mahathir telah gagal di Kelantan dengan menyekat peruntukan untuk Kelantan, mengulangi tindak dan tanduk itu, selain tindakan yang tidak popular, pasti akan menjerumuskan PH-BN ke pertempuran yang sia-sia.
Ibarat Amerika lawan Afghanistan, jika negeri itu sudah kental pilihannya, biarkan sahaja.
Pilihan rakyat Kelantan pada PAS itu, sememangnya hanya menyebabkan PAS merasa selesa dan tidak mahu berubah. Itu harus dihormati dan dibiarkan sahaja.
PH-BN tidak perlu menyekat peruntukan untuk Kelantan. Tetapi harus dilayan sama dengan negeri-negeri lain. Tidak harus ada kelebihan untuk Kelantan.
Beri peruntukan yang wajar, yang selayaknya dapat atau yang sepatutnya dapat seperti negeri-negeri yang bernaung bawah Persekutuan Malaysia.
Jika pimpinan PAS Kelantan sudah mendapat peruntukan yang wajar, tetapi mereka menaikkan gaji exco mereka dan membeli Mercedes, itu adalah masalah rakyat Kelantan sendiri. Bukan salah PH-BN lagi.
Jika Sanusi ingin bangunkan negeri sendiri?
Kenapakah usaha Sanusi untuk membangunkan KXP dihalang-halang? Rancangan KXP itu menurutnya diluluskan oleh Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) pada 2014 lagi, yang ketika itu menteri besar bukannya Sanusi.
Jika ada penduduk-penduduk negeri PAS yang lain, yang tidak mahukan pada pembangunan atau mahu mengekalkan stesen bas utama atas alasan nostalgia, tidak mahu membangunkan negeri mereka sendiri dan mahu kekal menghantar anak-anak mereka ke luar, migrasi mencari rezeki, itu hak mereka.
Mereka telah pun memilih sedemikian. Tetapi Kedah bawah Sanusi yang dilihat bercita-cita tinggi hendak mewujudkan The Greater Kedah, mengapa itu cuba dihalang-halang pusat?
Kedah mahu keluar dari kemiskinan yang melarat meskipun perdana menteri sudah dua orang daripada Kedah. Retorika Sanusi tentang Pulau Pinang yang dilihat mengaut segalanya, dibuat terutamanya kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang berada di Pulau Pinang.
Apabila PH-BN dilihat melambat-lambatkan usaha Sanusi dalam memajukan negerinya, senjata yang digunakan terhadap Sanusi mulai makan tuan.
Rakyat Kedah melihat PH-BN dikuasai DAP dan takut pada DAP yang tidak membenarkan Kedah bawah Sanusi dari PAS menjadi sebuah negeri maju.
PH-BN harus atas semangat federalism membenarkan dan membiarkan projek pembangunan yang hendak dibuat oleh Sanusi.
Jika terbukti Sanusi gagal, rakyat Kedah akan menolaknya dalam pilihan raya negeri akan datang.
Prinsip yang sama juga harus PN terapkan, iaitu biarkan Anwar hingga habis penggal untuk lihat sejauh mana PMX mentadbir negara.
BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.