Manoharan Veerasamy ada mempertanyakan, “was reformasi just an empty slogan to win elections?” (Adalah reformasi hanya slogan kosong untuk menang pilihan raya?).
Pertanyaan ini wajar sahaja ditanyakan kepada Pakatan Harapan (PH), yang menjadi kerajaan pada hari ini. Kerajaan PH hari ini telahpun diketuai Anwar Ibrahim, yang jika Pak Lah (bekas perdana menteri Abdullah Badawi) mempunyai terma ‘Islam Hadhari’, Anwar pula muncul dengan ‘madani’, selain ‘reformasi’.
Jika persoalan ini ditanyakan pada era 22 bulan pentadbiran PH dulu, ketika buat pertama kalinya mereka memerintah, pasti penyokong setia reformasi dan penyokong Anwar akan menyangkal dan menempelak dengan mengatakan bahawa itu adalah kerajaan Dr Mahathir Mohamad. Maka tutup kes, jika hujahannya begitu.
Tetapi apabila Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor ditangkap pada jam 3 pagi, 18 Julai lalu, di bawah Akta Hasutan, kita harusnya bertanya, adakah rejim Anwar ini benar-benar serius dengan agenda reformasi? Atau hanya indah khabar daripada rupa atau jauh panggang dari api?
Ada yang mengatakan Sanusi ini bermulut celupar atau capoi dalam istilah Kedah. Jika kita kaji dengan cermat, mulut pemimpin PH juga tidaklah lebih baik. Bukan sahaja pemimpin PH biasa, bahkan dalam banyak majlis, mulut Anwar pun boleh tahan juga.
Maki sana sini juga. Bukanlah ciri khas pemimpin PN sahaja, bahkan juga menjadi ciri-ciri ahli politik termasuk daripada kalangan PH juga. Caci memaki, menghina tubuh badan fizikal lawan politik, adalah ciri tipikal biasa ahli politik kita. Tidak ada yang kudus di sini. Makin dicaci, makin dihina, makin banyak tepuk yang diterima. Inilah bentuk dan rupa paras politik kita.
Jadi menggunakan Akta Hasutan terhadap musuh politik mereka adalah suatu lagi yang ironi dari sekian banyak ironi yang dibuat oleh PH ketika memerintah untuk kali keduanya.
Memang para penyokong PH boleh beralasan bahawa bukanlah mereka yang mengadukan atau lapor kes tersebut di bawah Akta Hasutan, tetapi selaku pemerintah dan juga pernah terlibat dalam siri demonstrasi menentang akta-akta drakonian, jawapan sedemikian hanyalah menggambarkan betapa tidak efisyennya PH dalam mengendalikan suara-suara bangkangan terhadap mereka.
Apatah lagi jika dikirakan dengan cermat kenyataan-kenyataan negatif tentang monarki ini, pihak mana yang lebih banyak mengeluarkan kenyataan-kenyataan negatif tentang monarki, pastilah jika akal kita masih waras, sihat dan boleh berfungsi dengan baik, sebelum kita ke pergi perenggan seterusnya kita boleh menjawab siapa atau kem mana yang lebih banyak kenyataan negatif tentang monarki ini.
Baik PH dan BN memang terkenal dengan sikap mereka terhadap monarki. Malangnya itu tidak konsisten. Dan kritikan mereka kepada monarki hanyalah apabila monarki tidak sejalan dengan kepentingan mereka. Sebaliknya apabila monarki memihak kepada mereka, merekalah yang akan menjadi penjilat nombor wahid. Betapa hipokrit dan tidak konsistennya PH dalam hal ini. Ada yang menghina sultan, ada yang nak menghapuskan sultan, ada yang nak memohon derhaka dan sebagainya lagi.
Selain isu sikap terhadap monarki ini juga ialah isu antara federalism dan pusat, yang kerap ditimbulkan dan menjadi polemik antara PH-BN dan PN. Sikap Anwar selaku perdana menteri menampakkan tidak jauh beza dengan pendahulunya seperti Mahathir, yang mahu memaksa dan menekan negeri-negeri yang berbeza ideologi dengannya agar tunduk sepenuhnya padanya.
Dek kerana Sanusi itu begitu lantang kerana mengkritiknya, PM seolah-olah hendak menjauhinya dan tidak mahu berjumpa dengannya, menampakkan ciri tidak professional seorang perdana menteri yang bukan sahaja berkhidmat untuk partinya dan negeri-negeri pemerintahannya tetapi juga untuk negeri-negeri pimpinan musuhnya. Ini sesuatu yang tidak profesional dan tidak menghormati semangat persekutuan.
Kenikmatan PH dalam menghenyak kekuasaan
Akhirnya barulah PH menyedari betapa nikmat dan sedapnya kekuasaan ini. Setelah lama berhempas pulas di jalanan sebagai pembangkang puluhan tahun, akhirnya setelah mendapatnya, ia ibarat seorang lelaki yang tidak pernah menggomol seorang perempuan, sebaik sahaja didapatkan maka tidak mahu dilepaskan.
Barulah aparat-aparat PH merasakan kesedapan dan kenikmatan dan mula mengetahui mengapa BN begitu sukar sekali hendak melepaskan kekuasaannya selama ini, yang memaksa BN menggempur para penentangnya baik di jalan raya mahupun di pilihan raya, dengan FRU, dengan Black Maria, dengan gas pemedih mata, dan dengan segala tipu daya dan muslihat.
Akhirnya segala apa yang dinistakan dan dicacimakikan kepada BN yang memerintah selama ini, akhirnya mereka mula lakukan satu persatu dan sedikit demi sedikit. Antaranya membenarkan Akta Hasutan ini.
Menurut Syed Saddiq, dalam kenyataannya bersama antara Muda dan PSM menyebutkan bahawa UK sendiri telah memansuhkan akta ini di negara mereka sejak tahun 70-an. Jadi apa yang progresifnya, reformasinya atau madaninya PH-BN ini apabila masih mengekalkan akta lapuk yang dibuat oleh penjajah British?
Tidak banyak akta atau tidak ada akta yang dikatakan drakonian selama ini telah dicabut atau digugurkan oleh PH-BN. Baik Sosma, juga Akta Hasutan. Sedangkan kedua-dua ini tidaklah memerlukan duit yang banyak untuk melupuskannya. Berbanding nak diharapkan kepada idea ekonomi atau pembangunan daripada Anwar, adalah lebih murah dan mudah untuk menghapuskan segala akta yang dianggap kuku besi.
Jika menghapuskan PTPTN dan menurunkan harga tidak boleh ditunaikan, maka buatlah benda-benda yang lebih murah. Bukankah PH-BN sekarang sudah punyai dua pertiga di Parlimen? Dalam hal ini ternyata Muda dan PSM boleh difikirkan sebagai alternatif apabila masih lagi bersuara dan kritis terhadap penggunaan Akta Hasutan.
Masalah kepada pemikiran politik PH-BN terutamanya yang diterajui oleh PKR, mereka menyangka dan mendoktrinkan dalam kepala otak para pengikutnya sejenis doktrin, iaitu keadilan itu ialah Parti Keadilan Rakyat. Apa yang dimaksudkan dengan keadilan itu ialah Parti Keadilan Rakyat. Bukan tentang keadilan yang patut didapatkan dan dimanfaatkan oleh semua orang.
Begitu juga dengan perkataan reformasi. Reformasi yang mereka pekik dan jeritkan setiap kali demonstrasi, itu ialah hanya jeritan bernama rrre-for-ma-si. Bukan tentang perubahan sistem secara menyeluruh, tetapi tentang politik personaliti, politik batang tubuh. Reformasi yang dijeritkan sampai sakit tekak itu didoktrinkan ialah tentang mereka, dan hanya untuk mereka.
Ini yang mewujudkan suatu fenomena kebebalan apabila mahkamah hanya dianggap adil jika memenangkan mereka, dan mahkamah zalim apabila mereka kalah dan dipenjarakan. Apabila mereka ditahan, mereka akan kepung balai dan penjara, tetapi apabila musuh mereka ditahan, itu tidak apa.
Anwar mungkin tidak akan diingati sebagai bapa kepada apa, kerana tidak jelas atau begitu kabur apa yang hendak dilakukannya sebaik menjadi PM kesepuluh. Tetapi sekurang-kurangnya memadailah jika Anwar dikenali sebagai Bapa Reformasi, dengan sungguh-sungguh mereformasikan sistem sedia ada, atau menghapuskan akta-akta yang bersifat drakonian.
Cukuplah itu sahaja yang kita harapkan daripada Anwar, jika selain daripada itu begitu besar untuk dicapainya.
BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.