Paling Popular
Terkini

Filem Anwar baru sahaja selesai ditayangkan hujung bulan lepas. Rekod kutipannya tidaklah begitu memberangsangkan seperti mana keinginan pembikinan serta peminatnya, apatah lagi ketika Anwar Ibrahim sedang di tampuk kuasa, filem ini nampak gagal untuk memukau massa.

Seterusnya filem biopic yang ditunggu-tunggu ramai, iaitu Buya Hamka akan tiba ke pawagam sedikit hari lagi. 

Filem ini mengangkat sosok yang bukan biasa. 

Dan Indonesia dalam pengalamannya menghasilkan filem biopic jarang mengecewakan (mungkin pengecualian harus diberikan kepada filem Anwar, meski produksinya dari Indonesia, tetapi tokoh yang hendak diangkat itu orang Malaysia). 

Filem Guru Bangsa: Tjokroaminoto, Soekarno, Sang Pencerah, Kartini, Rudy Habibie antara filem biopic yang cukup hebat.

Hamka

Buya Hamka atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka) itu meski berasal dari Indonesia, pada suatu masa dahulu kerap kali hadir ke Malaysia. 

Kerana itu Hamka agak popular di Malaysia. 

Buku-buku Hamka diterbitkan bahkan hingga kini, antaranya oleh PTS dan Jejak Tarbiah.

Bahkan beliau ketika masih hidup sempat menghasilkan buku yang berisi kritikan terhadap mufti di Malaysia, iaitu Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor

Dek kerana kritikan tersebut, nama Hamka masih panas di negeri tersebut. 

Dibandingkan dengan Gusdur dan lain-lain lagi nama ulama Indonesia, atau Quraish Shihab misalnya, Hamka masih dan lebih popular. 

Tafsir Hamka, iaitu Tafsir Al-Azhar selalunya berada di setiap rumah kebanyakan orang Islam di Malaysia, bahkan juga menjadi antara rujukan tafsir rasmi negara iaitu Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

Dan lebihnya Hamka, ulama keturunan Minang ini, bukan sekadar menulis berbobot karya-karya religius, bahkan juga kerana kerajinan menukang karya-karya roman percintaan, antaranya yang terkenal pastilah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Di sinilah lebihnya Hamka berbanding ulama-ulama lain Nusantara, baik di Indonesia mahupun di Malaysia. 

Gaya dakwah Muhammadiyah 

Mungkin sahaja ini gaya atau bentuk golongan Muhammadiyah dalam berdakwah atau mempamerkan perbezaan mereka berbanding Nahdatul Ulama. 

Kerana Kiai Ahmad Dahlan, yang mengasaskan Muhammadiyah juga bermain biola (penampakan ini muncul dalam filem Imam, seorang ustaz dengan anak-anak muda bermain alat muzik). 

Ahmad Dahlan

Hamka pernah berada bawah panji Muhammadiyah dan selalu terpilih sebagai pimpinan pusat Muhammadiyah. 

Dan pastinya, gaya mereka yang agak lunak dengan hiburan dan kesenian langsung tidak ada pada ulama di Malaysia yang nampaknya sangat antihiburan dan kesenian. 

Yang paling hampir atau pernah ada di Malaysia, pastilah Al-Arqam. Tetapi itu pun jua telah disesatkan. Maka apa lagi yang tinggal?

PAS juga tidak terkecuali dalam hal ini. 

Hatta Sudirman ketika mengadakan konsert di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga pernah dibantah oleh anak-anak muda PAS. 

Tetapi ironinya, atau anomalinya, tidak sedikit para penghibur, artis dan seniman yang sangat berminat dengan PAS. 

Beberapa nama seperti Siti Nurhaliza, Amy Search antara artis dan penghibur yang minat dengan PAS dan imej Tok Guru Nik Aziz. 

Bahkan Bob Lokman dari seorang pengacara dan pelawak, juga penulis lirik sanggup meninggalkan kariernya dan menyertai PAS hingga akhir hayat.

Dalam hal ini peranan Nik Aziz tidak dapat diabaikan–cara, taktik dan strategi politik dalam menyikapi apa yang anak muda dan orang ramai minati. 

Nik Aziz pastinya sering dinilai dan ditanggapi sebagai ulama.

Tetapi sisi lain Nik Aziz juga ialah seorang ahli politik, atau bahasa yang digunakan hari ini, politikus. 

Nik Aziz juga seorang politikus. Politikus bukanlah jadi hodoh kerana ada perkataan tikus di hujungnya. 

Ia adalah terjemahan lain pada perkataan politician

Paling hampir dengan Hamka, siapa?

Jadi orang PAS tidak perlu cepat mengamuk dan berdemo bila dikatakan Nik Aziz juga adalah seorang politikus. 

Beliau politikus, kerana beliau bertanding dalam pilihan raya. 

Menang menjadi wakil rakyat dan seterusnya menjadi menteri besar, melalui sistem politik parlimen, kerana itu beliau juga ialah politikus.

Dalam menanggapi isu hiburan dan kesenian yang sangat digemari anak muda, Nik Aziz ketika Akademi Fantasia tengah rancak, beliau memanggil Mawi untuk mengadakan konsert di Kelantan. 

Ketika itu Mawi nampak lebih bersih dan cocok dengan imej Islam yang diperjuangkan PAS. 

Itu antara taktik dan strategi politik Nik Aziz, pada eranya, yang mungkin hanya relevan pada situasi ketika itu, kerana pada hari ini, Mawi bukanlah kegilaan besar anak muda kini yang terdedah dengan pelbagai hiburan. 

Pastinya PAS tidak akan memanggil Blackpink untuk membuat konsert di Kelantan semata-mata anak muda meminati mereka. Itu sudah pasti. 

Yang paling hampir dengan Hamka, siapa?

Jadi yang sebanding dengan Hamka di Malaysia ini, yang paling hampir hampir pastilah bukan Haji Hadi Awang. 

Dari sudut kegarangan dan keseriusan, Haji Hadi agak jauh dengan Hamka. Tetapi dari sudut prolifik berkarya, Haji Hadi hampir menyamai Hamka. 

Dikatakan hampir, kerana hingga kini belum ada kitab tafsir al-Quran yang lengkap dari Haji Hadi. 

Dan tidak ada sebarang karya roman dari beliau, berbanding dengan Hamka. Nik Aziz pun sama juga. 

Tetapi dari sudut raut wajah dan ketika pemerintahannya agak lunak dengan kesenian, yang itu ada persamaan dengan Hamka. 

Meskipun jika kita bandingkan Hamka dengan dua ulama politik PAS, Hamka tidaklah pernah memerintah mana-mana negeri. 

Di sini ada lebihnya pula Nik Aziz dan Haji Hadi dibandingkan dengan Hamka. 

Tetapi adalah malang seribu kali malang apabila baru-baru ini apabila Nik Aziz mahu diberikan anugerah Tan Sri, cucunya pula yang berkiblatkan PAS mempamerkan sikap tidak puas hati.

Katanya mereka dicanangkan Nik Aziz akan diberikan Tun, bukan Tan Sri. 

Tan Sri menurutnya agak lekeh. Dan menyamai Lim Kit Siang, yang menurutnya adalah musuh sejati datuknya itu. 

Segala pangkat, pingat dan gelar ini tidak ada apa-apa faedah pun, apatah lagi kepada pejuang yang mukhlisin, apatah lagi yang telah meninggal dunia. 

Ternyata sikap cucunya ini sesuatu yang agak memalukan, mengenangkan Nik Aziz bukan nama yang calang-calang.

Ini mengingatkan kita pada tidak berapa lama dahulu, Amanah hendak disaman oleh keluarga Nik Aziz kerana hendak mengadakan seminar pemikiran Nik Aziz. 

Alangkah lucunya mereka ini. 

Betapa kecil dan kerdilnya jiwa mereka yang hendak memasung Nik Aziz hanya untuk tinggal dan bernesan dalam keluarga dan parti mereka sahaja. 

Kerana itu kita tidak boleh menjadi bangsa berjiwa besar jika kita bersikap begitu. 

Ayahku yang tokoh besar, hanya milikku, keluargaku, partiku atau jemaahku sahaja. 

Yang lain tidak dibenarkan memperkatakan apa-apa atau membincangkan apa-apa tentang ayahku. Apatah lagi hendak memfilemkan? 

Biarkan ayahku mati tidak dikenali bangsaku itu lebih baik berbanding ayahku disanjung orang/jemaah lain.

Agaknya mungkinkah ini yang menghalang ulama atau tokoh-tokoh kita dikenal orang luar?


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS