Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Mampukah Anwar menangkis gelombang hijau?

KOLUM | Dari segi strateginya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim agak tepat untuk memilih isu air ketika menyantuni pengundi Kelantan, dalam majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani baru-baru ini.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, kemiskinan, pembangunan yang terbantut, infrastruktur yang serba kurang dan sebagainya, menjadi masalah yang membelenggu Kelantan buat sekian lama.

Malah jelajah ke Kelantan ini disempurnakan dengan sentuhan Anwar untuk ‘mendamaikan’ Nik Omar dan Nik Abduh, dua orang anak bekas menteri besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz. Kedua-dua mereka kelihatan berselisih lantaran perbezaan politik sejak tahun-tahun kebelakangan.

Usaha yang didedahkan pihak ketiga (orang tengah, Wan Ji) ini memperlihatkan inisiatif Anwar untuk mencantumkan keluarga yang dicarik-carikkan mereka yang beretorik untuk menyatukan bangsa.

Barangkali inilah madani tanpa disebut madani – di sebalik pembangunan kebendaan, diangkat juga nilai kekeluargaan, persaudaraan dan kemanusiaan. Persoalannya, apakah langkah dan sentuhan ini memadai untuk “kerajaan madani” pimpinan Anwar menawan hati pengundi Kelantan, lantas menangkis “Gelombang Hijau” yang mengombak sejak PRU15 pada 19 November 2022?

Balik undi PAS di Kelantan

Tidak kurang netizen yang menyindir perantau Kelantan, kononnya menikmati segala kemudahan asas di Lembah Klang, mengamalkan gaya hidup moden, tetapi balik mengundi untuk mengekalkan PAS sebagai kerajaan negeri Kelantan – sedangkan realiti bahawa perantau terpaksa mencari rezeki di luar Kelantan dengan sendirinya membuktikan kegagalan kerajaan negeri PAS untuk mengurus tadbir dan membangunkan Kelantan.

Namun sindiran sedemikian tidak mencetuskan perubahan, sebaliknya mengasingkan kita antara satu sama lain. Anak Kelantan semakin terpanggil untuk mengekalkan negerinya sedemikian rupa, yang tidak “tercemar” dengan kepesatan pembangunan seperti kota di negeri lain.

Biar dunianya kalut dengan air paip yang selut, asalkan akhiratnya tenang dengan jiwa yang jernih.

Lantas sukar untuk Pakatan Harapan (PH) mahupun Umno-Barisan Nasional menembusi Kelantan dengan sekadar membedil peluru bergelar “pembangunan”. Minda masyarakat tempatan menjadi benteng paling kukuh untuk mempertahankan kuasa PAS di Kelantan.

Pembentukan persepsi dan cara pemikiran masyarakat tidak berlaku dalam tempoh sebulan atau setahun, lantas mustahil ia diubah dalam tempoh enam bulan “kerajaan madani” memerintah (di peringkat persekutuan), atau enam minggu sebelum pilihan raya negeri.

Dalam makalah berjudul Explaining PAS’s Dominance In Kelantan yang dibentangkan Dr Azmil Tayeb sebelum PRU15, kita diperlihatkan bagaimana PAS menggunakan mekanisme dan jentera dalam kerajaan negeri untuk memperluaskan pengaruhnya.

Misalnya Bahagian Dakwah Halaqat di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, dengan 540 orang pegawai, menawarkan imam, ustaz dan ustazah, pendakwah dan mubaligh untuk setiap kawasan parlimen di Kelantan. Bayangkan kesannya apabila pemimpin-pemimpin agama ini menyampaikan mesej melalui khutbah Jumaat, kuliah tafsir, kuliah subuh dan kuliah maghrib dan sebagainya sepanjang masa, di bumi yang mana tokoh agama memiliki kewibawaan yang tersendiri.

Tidak cukup dengan itu, PAS sedar betapa pentingnya untuk membina jaringan hubungan di peringkat akar umbi. Antara 833 orang penghulu di Kelantan, yang dikatakan memainkan peranan sebagai “mata telinga” untuk PAS di peringkat akar umbi, 14 orang Penghulu Seranta dipertanggungjawabkan untuk menjalin hubungan dengan perantau di luar negeri.

Pertemuan diadakan dari semasa ke semasa untuk mendengar rintihan dan aspirasi anak Kelantan yang merantau ke luar negeri, di samping Penghulu Seranta berkongsi agenda perjuangan PAS.

Sementara itu, PAS terus memintas dengan mendampingi golongan anak muda berumur 18 tahun, tatkala PH terbuai dengan andaian optimis bahawa situasi akan memihak kepada PH jikalau umur kelayakan pengundi diturunkan dari 21 ke 18 tahun.

PAS menerokai Tik Tok, menubuhkan “Alternative Riding Club” (ARC) yang berkonvoi dengan motosikal – aktiviti yang amat popular dalam kalangan anak muda. Interaksi di alam maya mahupun pertemuan secara fizikal dalam realiti menyentuh hati anak muda, tidak kira di mana mereka berada.

Generasi PAS

Itupun belum diambil kira satu generasi yang disemai benihnya sejak tahun 1980-an, dan kini dituai hasilnya selepas 40 tahun. Sekilas pandang dari statistik laman rasminya (https://pemudapas.org.my/pasti/), Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) mula beroperasi sejak tahun 1980, kini mencecah sejumlah 2,497 buah PASTI di seluruh negara.

Seramai 9,539 orang guru, dan seramai 125,065 orang murid berumur empat, lima dan enam pada tahun 2022. Bilangan pelajar PASTI menunjukkan peningkatan, iaitu 3.17% berbanding tahun 2021.

Malah PAS meneruskan cita-citanya untuk mewujudkan aliran pendidikan alternatif, dengan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam Al-Furqan (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI). Didaftarkan pada tahun 2016, SRITI memiliki 146 buah sekolah di seluruh negara pada tahun 2020; sementara tujuh buah SMITI mula beroperasi pada tahun 2020.

Sesungguhnya sistem pendidikan alternatif ini belum dilengkapi dengan institusi pengajian tinggi kelolaan PAS, namun, ia menjadi rahsia terbuka bahawa Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) di setiap menara gading tempatan, yang membentuk Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) di peringkat pusat, mempunyai hubungan dengan PAS. Tanpa pertikaian, GAMIS menjadi kuasa politik dalam kampus yang pengaruhnya tidak boleh dipandang remeh.

Dengan jaringan sebegini, kita tidak perlu terkejut seperti Najib Razak ketika mendapati RM42 juta masuk ke akaunnya, apabila gelombang hijau mengombak. PAS cuma menuai hasilnya setelah berdekad-dekad membanting tulang untuk membina kekuatan akar umbinya. Formula, model, atau mekanisme yang digunakan PAS di Kelantan, sudah pasti akan dicedok rakan seperjuangannya setelah mengambil alih kuasa di negeri Terengganu, Kedah dan Perlis. Dan jikalau berjaya, kekuatan PAS hanya akan terus berkembang.

Pengaruh PAS tidak akan menyusut

Suka atau tidak, pengaruh PAS tidak akan menyusut dalam jangka masa terdekat. Harus juga kita mengakui satu realiti bahawa politik tidak selalunya rasional. Ada kalanya, malah kebanyakan masanya, hujah tidak mampu menyanggah sentimen, fakta gagal mengalahkan auta, bukti terus tenggelam ketika berdepan dengan fitnah.

Manusia mempercayai apa yang mahu dipercayainya, dan siapa yang dipercayainya. Di sini strategi PAS kena pada tempatnya. Dengan jaringan hubungan yang terbina, PAS mempunyai sentuhan tersendiri untuk menawan hati penyokongnya.

Namun ini tidak bermakna mustahil Kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim melakukan perubahan, cuma mereka perlu lebih pragmatik ketika mencaturkan strategi. Mustahil PH-BN menawan kubu PAS di Kelantan hanya dengan menganjurkan satu majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri. Mustahil Anwar mengolah restu satu generasi muda dengan konsep Madani-nya, sedangkan cendekiawan yang mampu mengolah konsep Madani, boleh jadi tidak lebih daripada bilangan jarinya.

Malah menggalaskan misi menangkis Gelombang Hijau di atas bahu sosok yang bernama Anwar Ibrahim sendiri antara punca masyarakat Malaysia ditenggelami Gelombang Hijau. Ia bukan sekadar sama ada Anwar mempertahankan prinsipnya, atau istiqamah dengan idealismenya, tetapi susunan gerak kerja yang teratur untuk mengolah persetujuan daripada masyarakat. Jelas, ia menuntut keringat satu pasukan untuk menyempurnakan misi ini, juga titisan peluh kesemua pendukung idealisme ini.

Andainya sebaran berita palsu, hujah berbaur kebencian, prejudis dalam group WhatsApp keluarga, atau saudara-mara pun gagal kita putuskan rantaiannya, jangan sesekali kita bermimpi bahawa Anwar mampu menangkis Gelombang Hijau.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Artikel ini pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS