KOLUM | Sudah hampir setengah tahun perseteruan di antara PH dengan Umno mengendur, malah ia berada dalam mod menjadi sahabat yang akrab demi kelangsungan kuasa.
Secara peribadi juga, sudah beberapa kali saya bermesyuarat dan bersama kedua-dua pihak itu dalam majlis rasmi. Terbaru saya terlibat dalam jamuan hari raya anjuran Umno Perak di Lenggong.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, menjadi tetamu utamanya.
Persahabatan dengan Umno bukan soal peribadi tetapi tentang parti politik. Persoalan itu lebih kompleks kerana di situlah berhimpunnya pelbagai jiwa manusia yang mempunyai cita rasa sama pada nikmat kuasa.
Bukanlah mudah untuk duduk semeja sebagai sebuah gabungan baru parti politik dalam kerajaan. Duduk semeja untuk makan memang senang, tapi bersama di meja berbincang tentang kuasa - itu sukar.
Sekarang adalah tempoh penyesesuaian dan mencari keserasian bekerja. Hal itu kerana masing-masing memiliki tradisi, nilai dan falsafah tersendiri.
Dalam situasi demokrasi rapuh, kerajaan yang mendapat majoriti tipis sentiasa terdedah kepada banyak risiko, termasuk ditebuk rumahnya dari mana-mana arah pun seperti yang pernah berlaku beberapa tahun lalu.
Di atas kertas, persahabatan politik disandarkan atas kepentingan negara bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong. Pun begitu oleh kerana jalannya bersimpang siur dan berselirat, sandaran itu rapuh.
Benar, banyak usaha digiatkan oleh Anwar Ibrahim bagi memperkukuhkan kerajaan. Ahmad Zahid pula tiada banyak pilihan selain mendukungnya.
Pada masa yang sama PN tanpa lelah mencari peluang untuk menjatuhkan PH. sememangnya itulah sifat demokrasi. Pemenang bukan bermakna memiliki kekuatan mutlak, tetapi ruang berhadapan lawan yang berpecah adalah satu kelebihan.
Jiwa sesebuah parti
Pada PRU ke-15 lalu Umno mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarahnya. Prestasi terburuk itu yang wajar menginsafkan Umno dan ia membolehkan parti berkenaan mengenal wajah sebenar siapa sahabat dan siapa musibat sebenar.
Persahabatan biasanya diuji pada waktu susah, getir, perit dan pahit.
Sepanjang tempoh lima atau enam bulan yang lalu, belum ada insiden yang benar-benar menguji persahabatan di antara PH dan Umno. Mungkin isu pengampunan Najib Razak yang disentuh oleh Khalid Samad sedikit menguji.
Kemanisan bersahabat akan terasa mendalam, terkesan dan berpanjangan selepas berjaya menempuh lautan duri dan api. Selaku Ketua Komunikasi Amanah, kenyataan Khalid itu mempunyai implikasi yang pelbagai.
Jadam Khalid itu memang pahit tetapi mungkin pahit yang membawa ubat.
Dalam buku Falsafah Hidup, Hamka membincangkan persahabatan dengan cukup menarik dan indah. Katanya, persahabatan ialah "untuk sama-sama memperhalus tujuan hidup, memperdekatkan antara satu jiwa dengan jiwa yang lain yang telah terdapat kecocokan di dalam satu perkara, sehingga dapat didamaikan di dalam perkara yang belum cocok."
Sesebuah parti wujud berserta falsafah, idea dan perjuangannya. Itulah jiwa sesebuah parti. Jika jiwa parti terletak pada harta, pangkat dan kesenangan peribadi, akhirnya matlamat itulah yang dikejar untuk diperolehi.
Namun perlu diingat bahawa jiwa yang hanya mahu membahagiakan diri dan kelompok sendiri adalah jiwa miskin. Umno memang sudah lama hidup dengan dunia puji-pujian.
Dalam dunai sebenar, parti-parti politik memang sukar dijadikan wadah bagi menenun tali persahabatan. Oleh itu, kita perlu akur bahawa tidak ada gunanya menjadi terlalu idealis bersahabat dalam berpolitik.
Sebaliknya, kita jangan pula meragui sangat untuk bersahabat dengan pihak lain.
Bagi memperkukuhkan persahabatan, ia seharusnya bebas daripada kekangan hierarki, darjat atau taraf. Semua wajar berada pada kedudukan yang sama. Tapi itulah kesukarannya.
Kita sudah lazim dipisah-pisahkan oleh jumlah undi, status ahli biasa, pemimpin, Adun atau menteri.
Menyesuaikan dua kutub berbeza
Ia menjadi semakin mencabar apabila melibatkan perhubungan di antara PH dengan Umno yang masih pada tahap awal penyesuaian. Luka di badan masih terasa, apa lagi sakit di dalam.
Hubungan kedua-dua parti ketika ini seperti masih dibayangi keraguan, kecurigaan dan kecemburuan Pun begitu, ia adalah ujian dalam bersahabat dengan bekas seteru.
Cemburu tanda sayang, curiga adalah isyarat kurang perhatian.
PH juga perlu faham makna bersahabat dengan Umno. Umno memiliki sejarah dan pengalaman sebagai parti berkuasa. Parti-parti dalam PH tentu hadam benar erti kesabaran dan sakitnya mengapai kuasa.
Berkongsi kuasa tidak sama dengan berkongsi derita menjadi pembangkang. Bahkan ia ibarat kedudukan yang membezakan kutub timur dan barat. Cabarannya adalah membawa dua kutub itu untuk berada pada landasan persefahaman yang sama.
Sejarah Umno menjadi pembangkang hanya sejengkal jari. Sejarah panjang Umno adalah tentang menggenggam kuasa.
Pun begitu Umno kini perlu memikul bebanan hitamnya. Meski ada antaranya bersifat peribadi tetapi wajah parti juga tercalit arangnya. Ia tidak boleh diserahkan kepada PH. Bukan tugas PH menyucikan dosa-dosa Umno.
PH pun bukanlah maksum.
Umno perlu menguruskan isu dihadapinya dengan tradisi, jalan dan semangat baru. Jalan yang terbaik buat parti itu ialah jangan cuba mempertahankan keterlanjuran silam.
PH pula usah ghairah tak tentu hala dengan nikmat berkuasa yang baru sejengkal itu. Mungkin ada ombak besar yang perlu dihadap di hadapan.
Pengalaman 22 bulan sepatutnya memadai untuk PH mengenal siapa musang yang berbaju bulu ayam atau si pandir yang berlagak bijak. Ia perlu memiliki kepekaan lebih tajam berbanding sebelum ini.
Benar, di sebalik keperluan itu PH juga tidak mungkin boleh memusnahkan parasit yang ada di sekitar mereka. Itu lumrah alam.
Begitu juga dengan Umno. Di mana ada gula, di situ ada semut. Sang pembodek dan penjilat akan terus menabur pujian kata. Kerja mereka menghimpit pimpinan dengan bersulamkan adu domba.
Dalam konteks perkongsian kuasa PH-BN (atau lebih tepatnya Umno), kunci kelestarian persahabatan baru ini ialah sikap tolak ansur, jiwa besar dan berfikiran jauh. Tiga syarat ini, umumnya semua parti tahu.
Masalahnya adalah pada pelaksanaan.
Contohnya dari segi pembahagian jawatan politik, peluang, pengaruh, proses membuat dasar dan sebagainya. Ia memerlukan keanjalan sepanjang masa dan di semua tempat. Ia tidak boleh terikat dengan angka semata-mata atau terlalu objektif sifatnya.
Oleh sebab itu, persahabatan ini memerlukan kebijaksanaan pemimpin, kesetiaan pendukung dan kesediaan masyarakat. Pada saat begini, yang kita perlukan adalah gabungan faktor-faktor berkenaan bagi merealisasikan hakikat persahabatan.
Jika tidak, masyarakat madani akan menjadi sebuah utopia.
Usahlah terlalu idealis pada persahabatan dalam politik. Memadai untuk tempoh dua atau tiga dekad, atau empat hingga lapan kali PRU. Akan sampai waktunya persahabatan politik itu terlerai kerana faktor perubahan masa, pemikiran dan sosiobudaya masyarakat.
Selamat hari raya, maaf zahir batin.
MUHAIMIN SULAM ialah ahli Majlis Perundingan PH-BN Perak merangkap koordinator bersama Komunikasi PH-BN negeri itu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.