Selepas Machap, pengundi Ijok pula akan membuang undi pada 28 April 2007 untuk memilih wakil mereka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Guthrie Bhd. atau K Parthiban setiausaha MIC Kuala Selangor.
Pilihanraya kecil Ijok amat dipandang berat oleh pihak-pihak terbabit kerana ia merupakan pilihanraya kecil terakhir menjelang pilihanraya umum ke-12. Bagaimanapun, kepentingan pilihanraya kecil Ijok juga tidak wajar diperbesar-besarkan secara keterlaluan dalam perkaitan yang salah.
Tidak dapat dinafikan kemenangan atau sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti calon Barisan Nasional (BN) amatlah perlu untuk menyemarakkan semangat juang pembangkang amnya dan PKR khasnya, kerana Ijok merupakan pilihanraya kecil kali kelima dan terakhir selepas pilihanraya umum 2004, dan BN telahpun membolot kesemua kerusi yang ditandingnya sebelum ini.