Nama band XPDC bukannya asing dalam pemikiran dan emosi anak muda pada pengunjung 1980-an. Ia adalah kumpulan muzik rock tanah air yang setaraf Search, Wings dan BPR.
Malam Jumaat lalu, penyanyi utamanya Mael - atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim - dijemput ke alam baru oleh malaikat Izrail. Dia meninggal pada hari mulia di bulan yang tiba bagi meraikan kemenangan menghadapi cabaran nafsu,
Semoga pemergian Mael itu membawa kejayaan kembali kepada fitrahnya.
Ini adalah sebuah belasungkawa untuk arwah, selain sekelumit kenangan sewaktu saya berada dalam PAS. Nama Mael mungkin tidak pernah termasuk dalam dalam pemikiran agamawan atau politikus yang ghairah menggunakan agama sebagai modal politik hari ini.
Sumbangan Mael untuk memaparkan warna-warni kehidupan manusia seharian tidak boleh dinafikan. Lagu-lagu yang didendangkannya memang mengesankan.
Lagu-lagunya istemewa pertamanya kerana kekuatan liriknya, dan kedua kerana ia sangat melankolik dalam kerasnya irama rock itu. Ketiga, kerana identiti rock metalnya sangat hampir dengan golongan anak muda yang melawan, marhean dan kampungan.
Lazimnya sesebuah lagu yang ‘sedap’ disandarkan kepada kekuatan penyanyi dan kumpulannya, kemudian baru kepada pengubah lagu dan penulis lirik. Ada juga lagu-lagu yang ditulis sendiri oleh Mael tetapi agak kurang popular.
Mahu kelihatan terbuka
Antara pengubah lagu dan penulis lirik yang pernah menyumbangkan karya mereka untuk XPDC ialah JS Kevin dan Loloq. Kekuatan sebuah kumpulan muzik adalah kombinasi sesama anggotanya dan kalobrasi dengan pemain industri muzik lain seperti penulis lirik, pengubah lagu dan pemuzik.
XPDC dan Mael juga tidak terlepas daripada menghadapi kontroversi sesama mereka dan juga peribadi. Itu adalah asam kehidupan manusia biasa, apatah lagi dalam dunia hiburan yang penuh glamour.
Mereka memang sering menjadi tumpuan. Namun titik-titik hitam yang ada tidak boleh memadamkan warna kehidupan yang indah.
Dalam konteks politik pop, muzik pernah dijadikan usaha menarik sokongan anak muda kepada PAS. Itulah kenangan tahun-tahun penghujung 1990an hingga awal 2000. Semasa itu, PAS cuba mempamerkan imej keterbukaan (liberal) kepada orang awam.
Langkah itu juga diambil bagi mengikis persepsi bahawa parti itu antihiburan, dan pada masa sama mengangkat tema PAS for all (PAS untuk semua).
Lagu-lagu XPDC mulai memasuki lingkaran PAS melalui anggota lain kumpulan itu seperti Zua dan Ali. Mereka kerap dijemput membuat persembahan dalam program-program PAS atau parti pembangkang ketika itu.
Mereka membuat persembahan bukanlah atas nama XPDC tetapi atas kapasiti. Oleh kerana imej kumpulan itu sukar dipisahkan dari diri anggotanya, maka nama XPDC akan dibawa juga secara tidak langsung.
Biasanya mereka akan menyanyikan lagu-lagu XPDC yang didendangkan oleh Mael.
Ia termasuklah Hijau Bumi Tuhan, Semangat Yang Hilang dan lain-lain. Lagu-lagu itu dipersembahkan dalam program awam, justeru biasanya bernada sentimental rock bukan heavy metal seperti biasa.
Meyakinkan diri sendiri
Hijau Bumi Tuhan antara lagu yang paling kerap dimainkan dalam program PAS. Hal itu kerana ia dianggap bersinonim dengan warna PAS (walaupun sebenarnya lagu tersebut tiada kena-mengena dengan parti itu).
Di dalam lagu itu, Mael mendendangkan dengan bait-bait seperti berikut:
Keindahan ciptaan Tuhan
Hijau yang terbentangan
Makhluk Tuhan bermesra-mesra
Kita belalah bersama-sama
Kita jagalah harmoninya
Lagu dan lirik daripada JS Kevin itu menganjurkan kehidupan saling hormat-menghormati. Tidakkah itu sebuah lagu mengajak ke arah kebaikan yang dianjurkan oleh agama?
Ia bukan sekadar penyedap halwa telinga dan siulan yang menghiburkan. Ada mesej yang ingin disampaikan.
Semangat Yang Hilang pula adalah sebuah lagu untuk membangunkan kembali perjuangan yang berada pada tahap lemah. Ia sebuah lagu motivasi dan nasihat untuk meyakinkan diri sendiri.
Dalam konteks perjuangan, lagu itu seperti satu taujihad yang disampaikan oleh Idris Ahmad dalam siri Kuliah Dhuhanya. Perhalusi lirik lagu tersebut:
Semangat yang hilang
Kita cari pulang
Semarak impian, segunung harap di pulang
Usahlah diragukan, keupayaan sendiri
Api yang membara, mengikutkan kata-kata
Jawapannya di sini, semangat kita hilang
Lagu JS Kevin itu juga memang sesuai didendangkan selepas mendengar keputusan PRU pada era 1980-an hingga 1990-an. Ia adalah zaman PAS berjuang dengan keyakinan "kalah dah dalam tangan, menang belum tentu".
Mael tidak berkopiah, berjanggut atau berjubah menyampaikan mesej dengan lagu-lagunya. Sosok tubuhnya kurus, cuma berseluar jeans, berbaju T dan berambut gondrong. Namun banyak juga lagu dan liriknya sangat mendidik.
Tema-tema lagu XPDC lebih kepada suara anak muda yang ranggi, lelaki, keras dan asli. Ia bersesuaian identiti sebagai kumpulan rock metal.
Kebanyakan artis terutamanya penyanyi memang jarang menyatakan pendirian politik mereka secara terbuka.
Hanya segelintir artis yang terlibat langsung dengan politik pembangkang seperti Aisyah, Dayangku Intan, dan Aqil Hayy.
Namun kebanyakan artis atau penghibur lebih selesa mengambil pendekatan memberi sumbangan secara tidak langsung.
Anugerah buat semua
Mael juga tidak melibatkan dirinya dengan sebarang parti politik atau program keagamaan yang tipikal. Dia lebih memfokuskan masanya dalam lingkungan dunia muzik sahaja.
Jika penyair meninggalkan kata-kata puitis, penyanyi pula meninggalkan kenangan dengan lagu dan lirik. Ia membangun bersama kenangan pendengar atau peminatnya.
Lagu yang bermakna adalah lagu yang menginspirasikan, menginsafkan di samping menghiburkan.
Sebuah lagu ciptaan JS Kevin yang dinyanyikan XPDC berjudul Sedekah berbunyi:
Ada lagi yang kau tinggalkan
Ada lagi yang aku simpan
Kenangan berlalu mana mungkin lupakan
Aduhai saudara
Di sebalik kehebatan lagu-lagu Mael, ada dua nama besar yang terlebih awal mendahulinya iaitu JS Kevin atau Zul Adnan Mohd Razali, dan Loloq (Rosli Khamis).
Mereka adalah antara anugerah buat industri seni tanah air dan kita semua.
Mari kita sedekahkan al-Fatihah buat mereka, semoga dicucuri roh insan seni itu akan rahmat-Nya. Amin.
MUHAIMIN SULAM ialah pengasas dan bekas pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesedian dan Sukan (DACS) Pemuda PAS Pusat dan kini pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.