Desas-desus “jatuhkan kerajaan perpaduan Anwar melalui pilihan raya kecil” tidak lebih daripada khabar angin seandainya Langkah Sheraton tidak berlaku pada tahun 2020.
Namun setelah menyaksikan bagaimana konspirasi politik itu menjadi realiti, ramai tidak lagi berani memandang remeh terhadap spekulasi sedemikian. Apatah lagi, tiada “mustahil” dalam politik. Kita tetap meneliti secara terperinci kemungkinannya berlaku, sungguhpun kelihatan agak tidak masuk akal.
Secara ringkasnya, formula “Langkah Sheraton”, iaitu mendapatkan sokongan majoriti mudah melalui tandatangan Surat Akuan Bersumpah (SD) daripada ahli Dewan Rakyat, lebih sukar untuk diulangi setelah lulusnya Akta Anti Lompat Parti pada tahun 2022.
Kesemua ahli dewan yang berparti tidak boleh lagi bertindak secara individu, sebaliknya terikat dengan keputusan partinya.
Setakat ini, tiada bibit-bibit yang menunjukkan bahawa pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhasrat untuk menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
Justeru itu, andainya Perikatan Nasional (PN) terdesak untuk menebuk atap kerajaan Anwar, maka mungkin ini sahaja kaedah yang tinggal untuk merampas kuasa, iaitu ahli Dewan Rakyat BN yang berkiblatkan PN meletak jawatan, memberi laluan agar pilihan raya kecil (PRK) diadakan, dan kembali ke Dewan Rakyat atas tiket PN.
PN perlukan 38 kerusi lagi
Dari segi matematik, PN kini menguasai 74 kerusi dalam Dewan Rakyat, memerlukan 38 kerusi lagi untuk mencecah paras 112 kerusi, iaitu majoriti mudah daripada jumlah 222 kerusi. Menurut khabar angin yang disebarkan, sekurang-kurangnya sedozen wakil rakyat BN yang hatinya ditambat bersama PN.
Dengan kata lain, jikapun kesemua 12 PRK ini dimenangi semula mereka atas logo berbentuk aksara Perikatan Nasional, PN masih memerlukan 26 kerusi lagi untuk membentuk kerajaan baru. Maka, tanpa restu GPS yang memiliki 23 kerusi, komplot menebuk atap ini gagal disempurnakan.
Justeru itu, secara logiknya PN perlu menawarkan sesuatu yang lebih lumayan kepada parti dari Malaysia Timur terutamanya GPS, berbanding tawaran Anwar sedia ada. Sabah dan Sarawak memiliki tujuh menteri dan sembilan timbalan menteri dalam kerajaan Anwar buat masa kini, malah Fadillah Yusof dari GPS tampil sebagai timbalan perdana menteri pertama dari Malaysia Timur dalam sejarah.
Mungkin ramai yang pernah mendengar desas-desus bahawa PN sanggup menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada Fadillah Yusof, asalkan kerajaan Anwar ditumbangkan.
Ketepikan isu sama ada khabar angin ini sahih. Pertama, Pengerusi GPS yang memberi kata dua dalam rundingan pembentukan kerajaan ialah Abang Johari Openg. Sudah tentu GPS berdepan dengan tekanan daripada penyokongnya jikalau meninggalkan kerajaan Anwar, yang imejnya lebih terbuka untuk meraikan kepelbagaian berbanding PN, terutamanya PAS yang lebih keras dalam hal agama.
Apakah Abang Johari Openg selaku Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) sanggup mengambil risiko ini, sedangkan yang menuai hasilnya ialah Naib Presiden PBB, Fadillah Yusof, dengan jawatan Perdana Menteri Malaysia yang sudah tentu jauh lebih tinggi berbanding Premier Sarawak?
Kedua, PN memiliki calon PM yang lebih ramai berbanding gandingan PH-BN. Muhyiddin Yasin selaku Presiden BERSATU, Hamzah Zainuddin selaku Ketua Pembangkang Parlimen;
Ismail Sabri selaku bekas perdana menteri yang paling pendek tempoh perkhidmatannya, dan juga Hishammuddin Hussein yang dikehendaki mempertaruhkan nasibnya di Sembrong – kesemua melihat dirinya layak untuk menerajui tampuk kuasa tertinggi jikalau misi ini berjaya. Itu pun belum lagi PAS yang menguasai 43 kerusi dalam genggamannya, sebagai parti politik terbesar dalam Dewan Rakyat.
Ketiga, dengan senario sedemikian, jikapun PAS tidak menuntut jawatan PM, mereka tetap akan menuntut nisbah perwakilan yang lebih tinggi dalam kabinet, atau setidak-tidaknya, dasar kerajaan hendaklah digubal sejajar dengan agenda yang diperjuangkan PAS.
Bayangkan, bagaimana Fadillah Yusof mengawal dan mengimbangi tuntutan dan keperluan kabilah yang berlainan dalam kerajaan baru ini?
Yakin menang 100%?
Sekadar membayangkan kecelaruan yang bakal timbul pun sudah cukup merunsingkan. Ia bermaksud Malaysia bakal mengharungi segala ketidaktentuan yang berkocak semula, setelah ia cuba diredakan dan distabilkan melalui PRU15 lalu.
Justeru itu, sedozen ahli dewan rakyat BN yang kononnya sedang dipujuk untuk beralih harus menilai, sejauh manakah dirinya yakin bahawa majoriti rakyat bersama mereka, atau PN untuk menjatuhkan “kerajaan perpaduan” Anwar Ibrahim? Di sini risikonya.
Mereka perlu memastikan bahawa peratusan untuk menang dalam PRK adalah 100% sebelum mengorak langkah untuk memulakan “penjajaran semula politik”. Andainya mereka kecundang, bukan sahaja mereka akan dilabel sebagai “pengkhianat yang menjejaskan kestabilan politik Malaysia”, malah talian hayat politik mereka boleh dinoktahkan begitu sahaja.
Namun, bagaimana mereka menilai risikonya? Atau, apakah kayu ukur yang digunakan untuk menghitung kebarangkalian dirinya bakal menang semula jikalau PRK diadakan?
Ia bergantung kepada sejauh manakah masyarakat Malaysia, terutamanya Melayu/Muslim menilai kerajaan Anwar. Selagi masyarakat Melayu menganggap berbaloi untuk Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar diberi peluang memerintah sehingga tamat tempoh perkhidmatan sepenggal, maka sebarang usaha untuk mengubah status quo akan ditolak.
Namun, seandainya masyarakat Melayu berasa terdesak untuk menumpaskan kerajaan Anwar, tidak boleh menunggu walaupun sehari, maka di sini PN menangguk air keruhnya.
Bagaimana kita mengukur “keterdesakan” ini? Enam pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung selepas Jun 2023. Enam PRN ini diumpamakan PRK Tanjung Piai sebelum jatuhnya kerajaan PH1.0. Kemenangan besar calon MCA-BN pada ketika itu mencetuskan kegusaran Muhyiddin Yassin dan BERSATU, sehingga menarik diri dari kerajaan PH pimpinan Mahathir.
Maka sudah tentu PN mahu menjadikan enam PRN ini sebagai PRK Tanjung Piai 2.0.
Congakannya, andainya PAS-PN berjaya menyapu semua kerusi DUN di ketiga-tiga negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah, disusuli dengan kemenangan besar PN di negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, maka mereka akan mendakwa bahawa PH-BN hilang keabsahan untuk terus memerintah, terutamanya dalam masyarakat Melayu.
Senario sedemikian akan memacu semangat dan keyakinan diri dalam kalangan ahli dewan rakyat BN untuk meninggalkan kerajaan perpaduan.
Tetapi, seandainya keputusan enam PRN ini tidak memperlihatkan momentum besar daripada PN, sebaliknya PH-BN memperlihatkan lonjakan, biarpun sedikit, atau berjaya mengekalkan status quo, maka wakil rakyat yang jiwa PN-nya terkurung dalam jasad BN, akan menjadi ragu-ragu dan teragak-agak ketika mencaturkan langkah seterusnya.
Ini kerana risikonya tinggi, malah impaknya berat. MCA misalnya, andainya ditenggelamkan kedua-dua ahli dewannya dalam PRK yang sengaja diadakan, boleh menjurus kepada kepupusan MCA di bumi ini. Sedangkan, andainya MCA cuba mengambil hati penyokong, tidak melakukan apa-apa untuk mencetuskan kemarahan pengundi, ia masih mampu mengekalkan kedudukannya di satu tahap yang lebih baik berbanding GERAKAN, sekurang- kurangnya.
Bak pepatah Cina, “Selagi bukit ada, usah takut tiada kayu untuk dibakar.” Wee Ka Siong sudah pasti memahami maksud di sebalik pepatah ini. Persoalannya, apakah Wee sempat memahamkan rakan seperjuangannya yang kini terumbang-ambing memikirkan masa depan politik mereka?.
LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).
Artikel ini pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.