Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

Netizen Malaysia riuh rendah apabila isteri pelakon terkenal, yang juga seorang pelakon, Diana Danielle memfailkan permohonan cerai pada Farid Kamil. 

Alasannya selain tiada persefahaman juga kerana shiqaq, iaitu perbalahan berpanjangan.

Sebelum itu juga, Puteri Sarah, seorang pelakon filem dan drama meminta cerai pada suaminya yang juga pelakon dan pengarah tersohor, Syamsul Yusof, juga kerana shiqaq.

Dan paling terbaru, isteri VIP, Musa Hassan meminta cerai dari suaminya, juga kerana shiqaq

Elly Afizahwati ketika memfailkan permohonan cerai terhadap Musa Hassan di Shah Alam

Sebelum daripada itu ada klip video yang tersebar merata tentang pertengkaran dan perbalahan antara dia dan isterinya.

Umumnya di Malaysia, kita justeru menanggapi perceraian adalah sesuatu yang tercela, bukan sahaja di sisi agama, tetapi juga di sisi budaya masyarakatnya. 

Dan yang menerima impak negatif hasil sudut pandang ini tidak lain dan tidak bukan ialah perempuan itu sendiri. 

Terma “janda” pada perempuan itu seringkali diungkapkan atau disebutkan dalam konotasi negatif.

Ahli falsafah eksistensialis terkenal Jean-Paul Sartre pernah mengatakan:

A free individual shouldn’t lock him or herself down in a relationship that may grow to be an uncomfortable cage. Throw away the key, and you throw away your freedom. 

“To be free is to have the possibility to change course, redefine yourself, and overturn others’ images of what you should be.”

Beliau dan pasangannya, feminis yang terkenal, Simone de Beauvoir hidup bersama tanpa perkahwinan kerana menganggap perkahwinan itu sebagai sesuatu yang borjuis, yang mengikat dan tidak bebas.

Jika kita tidak setuju pada pandangan ahli falsafah ini, dan merasa hendak membuktikan bahawa pandangan dan perspektifnya salah, maka perspektif kita terhadap perceraian haruslah diubah. 

Keberanian Diana Danielle dan Puteri Sarah

Bila melihatkan keberanian Diana Danielle dan Puteri Sarah meminta cerai pada lelakinya, ini adalah sesuatu yang layak dipuji. 

Bukanlah kita berharapkan mereka bercerai, apatah lagi ketiga-tiga kes di atas semuanya mempunyai anak. 

Tetapi jika perkahwinan itu tidak membahagiakan, maka patutlah diusahakan cara untuk melepaskan dengan sebaiknya. Bukannya dibiarkan gantung tak bertali.

Apatah lagi kedua sosok ini ialah artis yang popular di dunia maya, maka gerak geri dan tindakan mereka pasti dicontohi oleh para pengikut setia mereka. 

Diana Danielle dan suaminya Farid Kamil

Jika mereka juga dilanda musibah yang sama, dan mendapat pasangan yang musibat, maka mereka boleh mencontohi contoh yang telah tersedia ada.

Berbeza dengan para ustazah yang mengajarkan dan mengajak pada ketaatan dan kesetiaan yang fatal, maka apa yang Diana Danielle dan Puteri Sarah lakukan ialah lebih baik. 

Jadi artis perempuan di luar dari tipikal klise drama-drama kebiasaan lakonan, mereka sendiri menjadi contoh, mengajar apa yang perlu dilakukan jika mereka sendiri dihempap permasalahan itu.

Di sini artis menjadi role model yang benar, bukan sekadar menjadi model produk konsumerisme.

Perkahwinan sememangnya mempunyai beban untuk ditanggung. Ia bukanlah suatu perkara yang indah-indah dan manis-manis belaka seperti hari kenduri yang kedua mempelai menjadi raja dan ratu Sehari. 

Perkahwinan melibatkan tanggungjawab dan tekanan. Perkahwinan tidak cukup sekadar paras rupa. Nama lain bagi perkahwinan ialah tanggungjawab.

Tetapi jika kedua-dua pasangan sudah tidak mahu sehidup semati, apa masalahnya dengan perceraian?

Poligami boleh, perceraian tidak boleh

Ketika Syamsul menuduh isterinya nusyuz dan mempunyai skandal, Syamsul juga mempunyai skandalnya. 

Tetapi sementara Syamsul boleh menikahi skandalnya, sekali gus menghalalkan skandalnya dari status haram ke status halal, hal yang sama tidak boleh dilakukan oleh isterinya. 

Syamsul menghalalkan skandalnya tanpa keizinan isterinya. Sementara isterinya yang tidak dapat privilege itu pula menuntut supaya diceraikan. Tetapi hal ini tidak dibenarkan Syamsul.

Syamsul dan isteri keduanya Ira Kazar

Ini membenarkan lagi hujah mereka yang mengingkari perkahwinan, bahawa perkahwinan itu membebankan, memberatkan dan mengikat – sebelah pihak.

Hanya sebelah pihak sahaja yang terikat. Sementara sebelah pihak lagi bebas berkelakuan liar dan berkeliaran dan berpeleseran di mana-mana.

Jika poligami itu didirikan atas suka sama suka–ketiga-tiga pihak–tidak patut ada pihak lain yang membangkangnya. 

Jika tidak ada unsur penipuan dan masing-masing rela, suka dan bahagia dengan poligami, tidak ada masalah dengan poligami sepatutnya. 

Jika ada pihak yang mencela mereka yang melakukan poligami atas suka sama suka, persoalan yang harus ditanyakan, kenapa mencela sedangkan pasangan itu suka sama suka?

Tetapi yang jadi masalah pada poligami (dalam kes ini Syamsul), dia tidak berlaku jujur pada pasangannya. Dia menipu pasangannya. 

Dan apabila pasangannya meminta cerai, hal itu tidak mahu dilakukannya. Dia masih tetap hendak mengikat dan membelenggu isterinya yang sudah tidak rela itu. 

Ini yang membenarkan hujah bahawa perkahwinan itu ibarat pemenjaraan, yang hanya menguntungkan sebelah pihak – di Malaysia, selalunya lelaki.

Sementara lelaki boleh menikah dengan pasangan kedua (sehingga empat) tanpa pengetahuan dan keizinan isterinya, hanya perlu pergi ke Thailand sahaja, atas alasan syarak membenarkan, perempuan tidak pula dibenarkan berbuat demikian. 

Hanya disuruh patuh, taat, jika tidak mahu dikutuk nusyuz.

Cerai sebagai jalan keluar

Tulis Rumi:

Bumi memupuk apa yang telah dijatuhkan oleh langit.

Apabila Bumi kekurangan panas, maka Langit mengirimkannya; apabila ia kehilangan kesegaran dan embun,

Langit memperbaruinya.

Langit berkeliling, bagaikan seorang suami mencari nafkah ke sana ke mari demi isterinya;

Dan Bumi sibuk dengan urusan rumah tangga: ia melahirkan dan menyusui apa yang dilahirkan.

Anggaplah Bumi dan Langit sebagai yang terkurniai dengan kecerdasan, kerana mereka melakukan pekerjaan makhluk yang memiliki kecerdasan.

Andaikan pasangan ini tidak mengecap kenikmatan dari satu sama lain, mengapa mereka melangkah bersama bagaikan sepasang kekasih? 

(Terjemahan dari tulisan Yudi Latif, dalam buku Mencari Islam)

Kierkegaard, bapa eksistensialis ada menyebutkan: “Kahwin dan kau akan menyesalinya. Tidak kahwin, dan kau pun akan menyesalinya.” 

Jadi tidak ada satu jaminan kepastian bahawa perkahwinan semestinya membahagiakan. Perkahwinan bukan lampu aladin untuk mencuci dosa atau happy ending

Perkahwinan akan menjadi satu beban seumur hidup yang tragis dan sadis apabila mendapat pasangan yang teruk dan tidak mahu berubah, dan tidak dibenarkan perceraian. 

Atau dianggap perceraian itu sesuatu yang tidak elok. 

Perkahwinan juga seperti permainan

Mungkin tajuk kecil penutup ini dilihat aneh. Tetapi seperti dalam apa-apa jua permainan, bukankah pemain kena serius dan bersiap dalam permainan itu? 

Pemain itu tidak boleh sambil lewa dan tidak menyiapkan diri. Pemain harus melatih diri, menyediakan ilmu, bekalan dan stamina yang cukup. 

Jika mahu menang dan berjaya dalam sesebuah permainan.

Apabila perkahwinan dilihat sebagai penutup atau kesudahan atau kekekalan, dan tidak perlu serius dan tidak ada persiapan–bukan sahaja sebelum kahwin–tetapi juga selepas kahwin dan hidup bersama, itu yang menjadikan perkahwinan itu hambar, kebosanan dan berakhir dengan kegagalan. 

Jika kesudahan atau kekekalan itu baik seperti nikmat syurga tiada masalah. 

Tetapi jika kesudahan dan kekekalan itu seperti neraka, bagaimana? Jika dianggap seperti permainan, maka pemain-pemainnya akan lebih serius, bertanggungjawab dan cuba menjaga sejauh yang boleh agar tidak terkeluar dari gelanggang permainan itu. 

Jika tidak boleh meneruskan permainan itu juga, maka keluar adalah alternatif yang tidak patut dicela.


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS