KOLUM | Antara hikmah kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh pada Feb 2020 ialah saya mempunyai masa menulis biografi arwah bapa. Perintah kawalan pergerakan (PKP) ibarat sesi uzlah yang panjang.
Alhamdulillah, kini buku tersebut berada di peringkat akhir sebelum masuk ke pasaran. Gerak Budaya selaku penerbit telah memberi beberapa pilihan reka bentuk kulit depan buku.
Ini merupakan buku kedua yang ditulis semasa era kekacauan politik paling korup dalam sejarah negara.
Buku pertama ialah ‘Menang dan Terbuang: Demokrasi, ‘Deep State’ dan Darurat’ yang membedah anatomi politik curang serta pergulatan kuasa. Buku itu diterbitkan oleh Ilham Books pada 2021.
Memang adat penulis, semakin ditekan semakin menggunung ilham tulisan. Sesekali terpancut lahar panas dari muncung kemuncaknya.
Buku biografi arwah bapa ini pula lahir daripada kerinduan mendalam padanya yang telah tiada sejak lebih sedekad. Saat-saat dikurung PKP, kenangan bersama arwah bapa adalah kekuatan untuk saya menulis.
Banyak kenangan bersama yang dirakam dalam buku itu. Antaranya kenangan membangunkan madrasah di tapak bendang milik bapa seluas tiga ekar. Maahad al-Islah ditubuhkan pada penghujung 1988.
Ia adalah sebuah sekolah menengah agama rakyat yang berdaftar dengan pihak berkuasa negeri.
Membangun integriti bapa
Setahun selepas Maahad al-Islah ditubuhkan, barulah saya menyertai sekolah agama rakyat itu. Ia sebuah sekolah yang dibangunkan oleh bapa bersama guru-guru agama di sekitar kampung kami.
Bapa meminta saya berkhidmat dengannya di sekolah itu. Kemudian bapa melantik saya sebagai penolong kanan pentadbiran pada 1990 sehinggalah 2000. Saya berkhidmat dengan saguhati bulanan yang sangat sederhana.
Ia semacam pro bono juga.
Ketika itu saya belum ada diploma pendidikan untuk menjadi guru bertauliah. Namun bapa sebagai mudir memberikan tanggungjawab kepada saya untuk mengajar pelajar yang akan mengambil Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Jika ada apa-apa masalah timbul, bapa juga meminta pandangan saya. Tetapi mungkin ia tidak menjadi isu kerana bapa tidak menganggap saya sebagai penasihat kanan.
Pada ketika tertentu saya memberikan pandangan berbeza pada hal-hal yang bapa lakukan. Ada antara pandangan itu diterima bapa. Pun begitu tidaklah saya beranggapan ia sebagai perbuatan ‘menasihati bapa sendiri’.
Apa pun, sebagai anak kita punya hak dan tanggungjawab tersendiri untuk membangunkan integriti bapa. Siapalah yang akan bangun membantu dan mempertahankan perjuangan bapa jika bukan anaknya sendiri?
Sedang isu nepotisme hangat meniti di bibir bicara umum, rupa-rupanya banyak episod ‘nepotisme’ dalam buku itu. Oleh kerana arwah bapa bukan watak politikus, selamatlah kami daripada dicemuh.
Antara keghairahan ahli politik ialah menggunakan jargon tertentu sebagai peluru menyerang seteru politiknya. Malangnya ramai hanya menyalahgunakan istilah untuk kepentingan politik sahaja. Ia seperti menangguk di air keruh.
Istilah dan rangka idea nepotisme sebenarnya lahir dari tembuni Barat yang sangat materialistik serta individualistik. Ia berbeza daripada masyarakat Timur yang lebih bersifat hidup bersama, bergotong-royong dan memiliki ikatan kekeluargaan dan kemasyarakatan kuat.
Menafikan peluang pihak lain
Syed Hussein Alatas menulis bahawa nepotisme itu adalah salah satu kompenan rasuah. Rasuah adalah barah dalam masyarakat. Istilah nepotisme digunakan gerakan reformasi di Indonesia dan di negara kita dalam kempen menentang regim sedia ada.
Syed Hussein juga memperkenalkan istilah ‘kleptokrasi’ dalam dunia akademik tanah air pada 1970-an. Namun ia hanya berlegar dalam kalangan warga akademik sahaja ketika itu. Pintu dewan kuliah universiti bagai belum mampu membuka minda masyarakat.
Hanya pada 2018 Mahathir telah merakyatkan istilah kleptokrasi hingga ia menggoncangkan negara. Istilah kleptokrasi dijadikan peluru. Kerana episod kleptokrasi, bekas prsiden Umno dan beberapa bekas menteri didakwa di mahkamah.
Ada yang akhirnya dipenjara, sebahagian yang lain masih dibicarakan, atau dilepas dan dibebaskan.
Syed Hussein juga menyentuh isu rasuah solidaristik yang lahir atas tujuan membantu kaum keluarga demi 'tanggungjawab moral' dan perlakuan timbal balik.
Umumnya nepotisme bermaksud mengutamakan saudara-mara untuk mengisi jawatan tertentu, dan bukan berdasarkan penilaian objektif terhadap keupayaan seseorang.
Nepotisme menafikan peluang pihak lain untuk sama-sama mendapat faedah. Ia juga cara untuk mengaut kekayaan dan mendapat pengaruh daripada kedudukan.
Lazimnya, definisi nepotisme hanya pada frasa pertama iaitu soal pemilihan ahli keluarga sahaja.
Frasa kedua dalam definisi nepotisme ialah pemilihan yang tidak memenuhi kualiti, dan kemampuan sering diabaikan. Mengutamakan ahli keluarga dalam memberikan pekerjaan, peluang dan kemudahan tidak boleh dianggap sebagai nepotisme jika dia memang memiliki kualiti.
Budaya masyarakat tolong menolong atau bergotong-royong demi kepentingan bersama tidak boleh dianggap nepotisme. Solidariti sebegini adalah kekuatan orang masyarakat timur yang kaya dengan peradaban yang tinggi.
Dalam masyarakat konservatif seperti kita, ikatan kekeluargaan merupakan teras kekuatan politik dan ekonomi komuniti.
Masyarakat sebegini lebih mengutamakan keputusan dan faedah secara kolektif. Tiada istilah mementingkan diri sendiri melainkan mengutamakan kepentingan bersama.
Selagi tindakan mengutamakan keluarga bukan berasaskan pengumpulan harta, pemunggahan kekayaan atau menindas orang lain, itu adalah wajar dan sangat fitrah sifatnya.
Sebaliknya dalam masyarakat yang bersifat individualistik, yang lebih mandiri mempunyai cara berfikir berbeza. Ia lebih mengutamakan pencapaian peribadi, kelas, darjat dan kepentingan tersendiri.
Oleh kerana isu nepotisme di tanah air kita lebih kepada persoalan politik sempi dan banyak bergantung kepada sejauh mana isu itu memberi kesan kepada parti atau tokoh politik seteru.
Kepercayaan bapa
Kiranya tekanannya terlalu kuat dan tidak berbaloi untuk dipertahankan, keputusan politik memungkinkan untuk mengalah. Oleh kerana itu, ahli politik akan melakukan pusingan dengan pelbagai hujah.
Sebaliknya jika isu ini dapat diuruskan dengan baik, masyarakat akan diam dan politik kembali tenang. Itu juga petanda politik semakin matang selepas masyarakat sering dihangatkan dengan tiupan api sentimen dan emosi.
Buku terbaharu saya yang berjudul ‘Ustaz Sulam. Sebuah Potret Ulama Kampung’. sebahagiannya adalah penceritaan hubungan seorang anak sulung dengan bapanya.
Setakat itu yang mampu saya rakamkan untuk arwah bapa. Beruntunglah kepada mereka yang bapanya masih hidup, berjuang dan memerlukan anaknya menghadapi cabaran zaman.
Sebagai anak, kamu tidak boleh duduk diam dan harus berdiri menyatakan pendirian.
Kepercayaan seorang bapa terhadap anak sulungnya - dalam apa jua keadaan - memang luar biasa sekali. Lazimnya hubungan di antara mereka tidak sekadar pertalian darah, semangat dan sejarah.
Jauh lebih daripada itu ialah persoalan maruah keluarga dan masa hadapan masyarakat yang dicita-citakan.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.