Semasa giat bersahabat dengan para jurugambar di Kuantan, kami mengelar mereka sebagai 'puak Majusi'. Manakan tidak, kerja mereka setiap hari adalah merakam foto timbul dan tenggelamnya matahari.
Jika mahu merakam detik matahari terbit maka bergeraklah mereka sebelum datangnya waktu subuh. Mengalahkan bilal masjid layaknya mereka itu. Awal tidak tentu hala.
Cuma yang bagus sedikit, mereka itu adalah ahli sembahyang.
Kami yang payah bangun pagi ini pun terjebak sama. Diheretnya kami dengan mata separuh terbuka hanyasanya untuk sekeping foto yang tidak mendatangkan pahala.
Jika lokasi tempat timbul matahari itu berdekatan dengan surau atau masjid maka mereka akan bersembahyang terlebih dahulu. Sebelum imam selesai membaca doa, mereka akan bergegas meninggalkan majlis.
Takut matahari timbul sebelum sempat mereka merakamlah tu.
Jika kawasan tersebut agak terpencil seperti di puncak Bukit Panorama di Sungai Lembing, Kuantan, maka mereka akan berhenti di pertengahan pendakian untuk bersembahyang sebelum segera berkejar ke puncak untuk merakam foto.
Sedikit panduan jika kamu mahu menjadi sebahagian daripada 'puak Majusi' itu: pada waktu azan Maghrib berkumandang adalah detik langit kelihatan sangat cantik.
Pada mata zahir ia kelihatan agak gelap namun melalui kamera kamu akan dapati langit berwarna kebiru-biruan yang menusuk kalbu.
Kumpulan jurugambar 'Majusi' daerah Kuantan biasanya akan berkumpul di bawah jambatan Tanjung Lumpur bagi merakam suasana remang petang sebelum bersembahyang Maghrib di masjid berdekatan.
Masuk persatuan lukisan
Suatu hal yang memeningkan kepala kami ialah bilamana mereka akan mengambil gambar turun naik matahari di tempat yang sama berkali-kali tanpa ada rasa mahu jemu.
Keterujaan mereka meningkat apabila duduk sambil banding-membanding hasil memfoto adalah misteri alam yang mungkin tidak akan dapat dirungkai.
Yang peliknya, jika 10 orang memanjat gunung untuk memfoto, maka hampir semua foto yang mereka hasilkan adalah sama. Tidak kelihatan sentuhan peribadi pada foto yang dihasilkan.
Mereka lebih bergantung pada teknologi berbanding membina identiti.
Namun untuk berlaku adil, seni catan kita secara keseluruhan juga masih lagi terkial-kial mencari identiti nasional dalam berkarya.
Kalau kami cakap mungkin ada orang akan marah, namun kerana masih tersisa sedikit keberanian, maka kami akan katakan bahawa adalah lebih elok jika jurufoto alam terbabit masuk ke mana-mana persatuan lukisan cat air.
Hal itu kerana mereka mempunyai kecenderungan yang sama. Ditambah pula dengan dalil-dalil yang mereka kumpul sebagai pertahanan atas kecenderungan mereka itu.
Sebut fasal dalil, Anwar Ibrahim melakukan sesuatu yang amat meloyakan apabila melantik Nurul Izzah sebagai penasihat beliau.
Bukan tidak pernah ada perdana menteri atau menteri yang melantik kaum kerabat mereka ke dalam jawatan kerajaan namun apabila beliau yang katanya sedang berjuang kuat untuk menghapuskan nepotisme bahkan melakukannya, maka ia adalah perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.
Sedang beliau mendaki tinggi, tiba-tiba terbukti beliau tidak dapat lari daripada membawa suku-sakat sendiri ke puncak jaya.
Cakap biar serupa bikinlah, brother. Kami sudah bosan dengan politik kekuargaan yang sedemikian rupa.
Kepala daripada segala jurufoto 'puak Majusi' itu ialah Ali Shamsul Bahar, jurufoto alam yang agak terkenal dalam kalangan jurufoto seluruh Malaya.
Ali memulakan karier sebagai jurufoto sejak zaman persekolahan. Beliau mahir mengendalikan kamera sejak zaman analog dan begitu senang sekali apabila kamera digital diperkenalkan pada akhir 1990-an.
Kesukaan dia adalah memfoto alam. Beliau telah menjelajah ke semua hutan simpan dalam negara khususnya tempat-tempat yang terdapat air terjun.
Dalam hal air terjun, Ali adalah master untuk 'menggebukan' muntahan air dari puncak tinggi, dan juga ombak laut.
Dia melakukan sedemikian rupa sehingga air terjun dan ombak laut jadi kehilangan harga diri.
Foto-foto air terjun Ali sentiasa mendapat sambut. Jika kamu rajin menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur, kamu akan dapati foto-foto hasil kerja Ali dipaparkan di merata papan tanda gergasi bagi mempromosi tempat menarik di Pahang.
Ali juga sudah beberapa kali merakam foto gunung, air terjun, sungai, dan - tentu sekali - terbit dan tenggelamnya matahari di China, Taiwan serta Indonesia.
Indonesia kekal sebagai negara yang amat beliau minati.
Selain belanja yang murah, bentuk muka bumi negara tersebut yang bergunung-ganang amat menyenangkan Ali.
Masa untuk berehat
Menurut Ali lagi, perbelanjaan untuk sekali mendaki Gunung Kinabalu adalah bersamaan dengan belanja dua atau tiga kali memanjat gunung di Indonesia.
Itu tidak menghairankan kerana di tempat kita, apa saja hasil tempatan adalah teramat mahal. Durian musang king atau harga ikan di Kuantan adalah dua keluaran tempatan yang sesuai dimisalkan dengan situasi itu.
Namun kami lebih gemar mengatakan bahawa Si Ali itu bukanlah daripada kalangan mereka yang cinta akan negara. Impian beliau untuk merakam aurora di Eropah sana masih belum kesampaian.
Kami doakan dia segera memperolehi kesempatan tersebut.
Selain dari itu Ali juga merupakan jurucakap khas yang dilantik oleh syarikat kamera jenama Nikon bagi tujuan promosi.
Ali juga giat mempamerkan foto yang dihasilkannya. Beliau adalah antara segelintir jurufoto yang sentiasa diberi peluang untuk mengadakan pameran bersama dengan para pelukis.
Yang terbaru Ali telah mengadakan pameran bersama beberapa orang pelukis di Galeri Azman Hashim di Sabah. Foto yang beliau hasilkan kemudian dipilih sebagai koleksi kekal galeri tersebut.
Bercakap fasal jenama, Wan Azizah yang turun bertanding dalam pilihan raya suatu masa dulu untuk mengekalkan jenama Anwar sepatutnya juga sudah boleh memikirkan untuk perlahan-lahan keluar dari arena politik.
Anwar sudah menang. Perjuangan Kak Wan sudah berjaya. Berehatlah Kak Wan.
Dan seperti yang kami katakan tadi, kami bosan dengan ahli politik membawa kaum kerabat ke dalam kerajaan sebaik menang sebarang jawatan.
Rindu kenangan lama
PM10 harus ingat bahawa hal ini boleh menjadi sebab tewasnya beliau dalam piliha raya akan datang.
Kami juga tewas dalam bercerita mengenai Ali Shamsul Bahar. Dia banyak mengajar kami dalam hal memfoto.
Kami boleh mengata Ali dan kumpulan jurufoto Kuantan tanpa ada tepinya namun jauh di sudut hati, kami akan sentiasa berterima kasih kepada mereka kerana banyak memberi tunjuk ajar kepada kami.
Walaupun tidak berjaya menjadikan kami seorang jurufoto sehebat mereka namun kami doakan agar segala ilmu yang mereka tumpahkan kepada kami dikira sebagai amal baik yang diterima Tuhan.
Jika boleh kami ingin menyebut semua nama mereka di sini namun memandangkan ruangan ini adalah terhad maka cukuplah sekiranya kami menyebut Ali sebagai mewakili kumpulan tersebut.
Terima kasih kepada semua sahabat jurufoto Kuantan dan kami sentiasa merindui masa-masa bersama mereka.
Oh! Sebelum lupa kami perlu menyebut nama Fauzi Oslaini, bekas juara bina badan Pahang Tua dan Ganchong Ulu yang juga ahli kumpulan jurufoto Kuantan.
Fauzi orang Pekan dan kekal sebagai satu-satu orang dari daerah tersebut yang kami sayang secara sederhana.
Kami dan Fauzi bersetuju bahawa serawa wajib manis, dan kami menganjurkan supaya sesiapa yang menghidangkan serawa tawar agar segera bertaubat nasuha.
ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengembara yang pernah cuba menjadi jurugambar.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.