KOLUM | Setelah barisan kabinet Anwar Ibrahim mengangkat sumpah, bermulalah satu episod baru dalam negara. Namun di sana ada yang mengiringi, iaitu bunyi-bunyi pahat yang muncul selepas siapnya sebuah rumah.
Tulisan ini juga adalah satu daripada suara 'pahat' tersebut.
Pembentukan kerajaan perpaduan yang didalamnya ada PH, BN serta GPS dan lain-lain adalah petanda berakhirnya sebuah idealisme politik dalam PH dan juga Amanah.
Ia sama seperti perselingkuhan PAS, Bersatu dan Umno pada 2020 dan 2021. Parti politik tanah air kini memasuki jalur Machiavelli iaitu percaturan yang berusaha mendapatkan dan mengekalkan kuasa.
Perang itu tipu muslihat. Pilihan raya pula adalah sejenis perang yang membenarkan tipu, muslihat dan helah. Selain itu ada pula untuk pengkhianatan yang terbuka untuk dipilih bagi membunuh sama ada pesaing atau sesama sendiri.
Jika perlu dikorbankan ahli sendiri atau idealisme perjuangan, politik jalur Machiavelli membenarkan. Apatah lagi jika Machiavelli boleh berbahasa Melayu, membaca al-Quran dan anunya sudah dipotong.
Batas di antara idealisme perjuangan dengan political expediency (muslihat politik jangka pendek) sangat tipis dan kabur. Hanya masa sahaja yang dapat menentukan kedudukan. Itupun selagi tiada suara yang bangkit menyedarkan. Jika tidak sejarah terus terbungkam.
Terhakis sedikit demi sedikit
Dalam keadaan tertentu, bilik mesyuarat bukanlah tempat yang sesuai untuk berbeza pandangan dan membuat keputusan. Lazimnya, sembang di kedai kopi sesama kawan di luar korum mesyuarat lebih bermakna dan dijadikan asas keputusan akhir. Atau di hotel enam bintang di ibu kota jika kuasa sudah dalam gengaman tangan.
Kebenaran politik sukar dikongsi dalam meja mesyuarat. Kebenaran politik lebih senang disampaikan secara gelap, belakang dan oligarki terpilih.
Hanya melalui tulisan, saya ada kebebasan bersilat kata. Biarpun Roland Barthes menulis The Death of the Author menyatakan bahawa hasil penulisan akan mati dengan tafsiran pembaca yang berbeza.
Pembaca mempunyai pemikiran dan caranya sendiri dalam memahami tulisan orang lain. Mungkin juga sesuatu tulisan akan dipasung oleh regim dalam parti atau autoriti yang lebih tinggi.
Menulis adalah perlawanan setiap suara, bukan mencipta naratif. Teks adalah fabrik pernyataan dari pelbagai sumber dan pengalaman.
Namun seperti yang pernah dinukilkan oleh Hamka, menulis adalah mendidik diri agar menjadi manusia lebih baik dan sebagai proses mentarbiah diri. Setidak-tidaknya dapat memugar idealisme sendiri.
Secara idealismenya, Umno ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan seterusnya berubah untuk memerdekakan tanah air. Idealisme itu sedikit demi sedikit terhakis setelah berdekad-dekad di puncak takhta.
Akhirnya Umno dihukum sedikit demi sedikit oleh rakyat bermula dari PRU 1999 hingga 2022. Ia proses yang memakan masa, dan Umno enggan belajar.
Sudah ribuan mangsa kezaliman regim lalu telah pergi meninggalkan kita. Sama ada dipenjara, ditangkap, didakwa, dilokap atau didiskriminasi kehidupan mereka. Hakikat sejarah itu sering dilupakan saat-saat begini.
Wajah hodoh Umno adalah hasil tangan kotor sebahagian pemimpin parti itu dan juga serangan politik musuh mereka – PH dan PN. Setiap parti politik akan menggunakan segala upaya memberi gambaran negatif kepada lawannya.
Maka dengan tangan kita jugalah dan kesungguhan Umno untuk berubah, wajah hodoh Umno boleh terhakis sebagaimana yang pernah dilakukan oleh PAS sehingga Umno menjadi suci.
Istilah kleptokrasi, penyamun atau apa juga yang kain adalah kekuatan retorik yang mempengaruhi sentimen masyarakat. Ini ditambah dengan fungsi media sosial yang digunakan sewenang-wenangnya.
Jalan terbuka di depan
Pernah suatu ketika dahulu, saya lontarkan pandangan betapa perlunya Amanah membuat pilihan untuk lebih realistik dalam politik. Mungkin kerana saya bukan pendebat yang mampu mematahkan hujah, pandangan saya disanggah dan dilihat aneh.
Bahkan dalam keadaan tertentu, PAS lebih berani meneroka jalan kemungkinan politik untuk mendapatkan kuasa. Hatta PAS sanggup merangkul Umno walaupun parti itu menjadi musuh politiknya selama berdekad-dekad.
Keberanian inilah yang tiada dalam Amanah.
Kini, Amanah memilih jalan yang pernah diambil oleh PAS iaitu mengadakan rundingan dengan seteru politik dan seterusnya mengadakan pakatan untuk membentuk kerajaan yang dinamakan sebagai kerajaan Yang di-Pertuan Agong.
Bezanya, PAS mengambil kesempatan di persimpangan jalan, bukan menangguk di air keruh. Ini adalah rezeki terpijak. Mengapa harus dilepaskan?
PH memilih selepas semua parti tidak mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan. Mewujudkan pakatan baru adalah jalan yang terbuka di depan.
Hujah di dalam kitab-kitab boleh dicari dan digunakan dalam mengesahkan segala tindakan politik. Dalam politik sebenar (real politic), idealisme perjuangan sering ditangguhkan atas kemaslahatan yang lebih besar.
PH boleh menggunakan hujah yang digunakan oleh PAS sewaktu menjadi kerajaan tebuk atap tempoh lalu. PH tidak perlu sukar untuk menelaah banyak kitab atau mahu berijtihad. Ulama PAS sudah melakukannya. Biarkan sahaja anak-anak muda bermain TikTok sesama mereka.
Pendekatan PH memilih BN sebagai sekutunya dalam kerajaan pada hari ini sebenarnya ada asas politik yang kuat. Suasana sudah berubah, maka pendekatan perlu disesuaikan mengikut iklim politik semasa.
Sebagaimana juga jika rundingan antara BN dengan PN berjaya membentuk kerajaan, mereka juga mempunyai asas yang kukuh.
Mereka boleh menggunakan kaedah "memilih mudarat kecil bagi mengelakkan mudarat besar" atau "mengambil manfaat besar dan meninggalkan manfaat sedikit".
Pendekatan ini dihurai Imam Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya, Al Siyasah al shar'iyyah fi islah al ra'iy wal ra'iyyah yang terkenal itu.
Berakhirnya sebuah idealisme bukan bermakna tamatnya riwayat politik. Ahli politik memiliki 99 nyawa dan 73 pintu. Mereka tidak bimbang atau risau kalau kalah. Ini adalah permulaan kepada satu kerangka baru idealisme yang sedang dalam pembikinan.
MUHAIMIN SULAM ialah naib pengerusi Amanah Perak.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.