Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KOLUM | "Dia ni tak undi aku!" kata bekas YB empat penggal di tempat kami.

Pagi itu kami pergi bersarapan di sebuah gerai tepi pantai. Kami suka gerai itu kerana ada banyak pilihan makanan. Ada nasi dagang, keropok lekor, laksam, roti canai dan bermacam jenis kuih-muih.

Semasa mahu masuk ke gerai berkenaan kami terserempak dengan kawan lama. Semasa berbual beliau mengatakan bahawa YB berkenaan ada di dalam sedang makan.

Mulanya kami mahu membatalkan niat makan di situ. Malas berbasa-basi dengan YB berkenaan. Kami kenal lama. Lama sebelum beliau masuk politik.

Tapi memandangkan kami sudah lama tidak ke gerai tersebut, kami relakan jua.

Beliau yakni bekas YB berkenaan pernah bersekolah Arab, masuk universiti, jadi peguam dan kemudian terjun ke dalam politik.

Bagi rezeki macam tuhan

Sebut fasal politik, kumpulan yang paling handal dalam permainan ini ialah Umno. Mereka faham benar akan sepak terajang dan juga tikam-menikam dalam usaha untuk menang.

Yang paling utama pada mereka hanyalah wang. Kerana itu usaha yang keras dilakukan untuk mendapatkannya. Mereka sudah lama faham yang mereka memerlukan wang, dan mereka juga tahu orang keliling mereka juga serupa.

Lalu wang dijadikan matlamat utama dalam berpolitik. Wang jugalah umpan utama yang mereka gunakan untuk berkuasa. Kemewahan adalah janji utama.

Terserah kepada kamu sama ada mahu kaya dengan Umno atau miskin pada kedana dengan partai lain. Kepada orang Umno, mereka telah lama 'bekerjasama dengan tuhan' dalam hal memberi rezeki.

Jeneral perang Umno akan sentiasa dihormati tanpa dikira apa pun kemusnahan yang telah mereka lakukan. Mereka yang keluar dari partai tersebut adalah pembelot yang akan dihina selama masih di luar.

Namun sebaik sahaja mereka kembali kepada partai, dosa mereka akan segera terpadam total.

Mungkin selain berkerjasama dengan tuhan dalam bab rezeki, mereka juga ada usahasama denga malaikat dalam hal menghapuskan dosa.

Semasa masih remaja bekas YB itu handal bermain takraw di posisi feeder. Bola rotan yang dilambungnya sentiasa kemas untuk dihunjam oleh sang killer.

Sementara menunggu namanya naik kembali untuk menjadi YB, kerja beliau ialah berdagang di padang golf. Memang itulah pekerjaan yang lazim bagi politikus di negara kita, selain bergebang di bilik cerut.

Kena momok setiap hari

Pemain golf biasanya akan berjudi untuk menambah daya bersaing sesama mereka. Kami harap bekas YB berkenaan tidaklah demikian.

"Bertanding ke tahun ni?" kami bertanya.

"Engkau doa laa... " jawab beliau sangat berharap.

Seperti orang lain, beliau juga kuat percaya bahawa kami ini penyokong PH, dan hampir tidak percaya apabila kami katakan bahawa kami tidak menyokong mana-mana partai politik.

Kami tidak pernah menyokong dan insya-Allah tidak akan pernah mahu bersorak memihak kepada mana-mana ahli dan partai politik. Kami beranggapan bahawa politik membina rakyat sudah menjadi arwah setelah tiadanya Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail.

Setelah mereka, ahli politik selepas itu semua adalah tahi.

DAP tidak mungkin akan terlepas daripada digelar sebagai partai komunis. Ini stigma yang sudah berkurun-kurun didendangkan oleh mereka yang gemar membawa isu bangsa sebagai teras perjuangan.

Hanya kerana partai tersebut diterajui oleh orang Cina maka ia dilihat sebagai perjuangan untuk menguasai negara Melayu ini.

Setiap hari kamu dimomokkan bahawa negara ini adalah milik mutlak orang Melayu. Kemudian kamu diwajibkan oleh mereka untuk mempertahankan kemelayuan itu kerana kononnya kamu akan mati tak makan kalau mengabaikan hal tersebut.

Dan kesilapan DAP itu pula ialah terlalu kuatnya mereka dengan kecinaan mereka.

Kerana itu juga geng Anwar Ibrahim yang bersahabat baik dengan DAP akan sentiasa dilihat sebagai kumpulan Melayu murtad, liberal dan pengkhianat bangsa.

Di dalam dunia ini, tidak adalah orang yang lebih mencintai bangsanya selain daripada Yahudi. Melayu yang bangga akan asal keturunannya pula didapati menjadi agen kepada bangsa tersebut.

Podah-lah Melayu.

Parti dikuasai para pandir

Apa agaknya akan terjadi jika yang ditangkap beberapa hari lalu itu adalah dari bangsa lain? Orang Cina atau India, misalnya.

"Ye ke..?" tanya beliau bila kami terangkan keadaan sebenar. "Kalau aku bertanding engkau undi aku tak?"

Soalan itu ditanya bekas YB berkenaan setelah diyakinkan bahawa sesungguhnya kami tidak suka langsung kepada mana-mana partai politik.

"Takan koi tak undi orang baik," jawab kami dalam loghat Pahang. Maklumlah, loghat tersebut tengah menaik waktu ini. Bekas YB itu nampak puas hati dan tersenyum.

Beliau ahli politik, maka kami pun jawablah macam orang politik.

Sekiranya PAS masih kekal sebagai partai kampungan seperti dulu, kami yakin mereka masih dihormati. Namun kerana gopohnya PAS mahu segera berkuasa, mereka kini adalah sebuah partai yang dikuasai oleh para pandir.

Bercakap mudah dalam semua. Perjuangan Islam yang dilaungkan suatu masa dulu kini tinggal jadi kerak hangit. Mahu dimakan terasa pahit, lalu dilempar menjadi makanan ayam.

Ayam-ayam mereka yang setia itu memang sanggup memakan apa saja yang diberikan asalkan kenyang.

Orang lain adalah durian mentah dan gelenyar sedangkan mereka sendiri adalah si penebar jala yang sentiasa bersedia untuk menangguk. Tidak mereka ambil kira airnya jenih atau pun keruh.

Yang penting hanyalah menangguk kemenangan.

Pegawai beliau yang dari tadi hanya ralit mendengar, meminta nombor kad pengenalan kami. Setelah diperiksa pada pangkalan data, ternyata kami didaftar bukan di kawasan beliau.

Nampak beliau sedikit kecewa.

"Tak pe, anok dengan bini dia semua dalam kawasan aku," kata beliau lagi. Kami angguk sebagai tanda setuju.

Anak-anak kami yang ramai itu tidak pernah kami ajar untuk menyukai politik. Dan daripada perbualan dengan mereka, kami dapati anak-anak kami itu beranggapan bahawa siapa saja yang terlibat dalam politik adalah badut.

Kami pun bersetuju dengan mereka.

"Saya bayarlah, Dato," kata kami kepada beliau meminta izin.

"Tak payah! Tak payah!" beliau menggesa dan menghalang, "engkau kabo kat kaunter kau makan apa. Nanti aku bayo."

Kami akur dan memberitahu budak kaunter bahawa kami makan nasi dagang dan Nescafe ais.

Setelah bersalaman kami pun berpisah.

Pilihan raya kali ini tiga orang rakan kami - termasuk bekas YB berkenaan - berharap untuk dipilih menjadi calon. Seorang lagi adalah bekas rakan sekerja, sementara yang ketiga adalah kawan satu sekolah kami.

Kami doakan agar mereka berjaya. Pesan kami kepada mereka ialah: "Aokmer berusahala sunggoh-sunggoh ontok aokmer tidok masok neraka. Doa ke koi sama."


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis, pengembara dan YB dalam kategori tersendiri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS