Paling Popular
Terkini

Tangkapan 11 rakyat rakyat negara ini kelihatan seperti penculikan biasa yang dilakukan oleh penjenayah kolar putih untuk mendapatkan habuan wang dari aktiviti pengodaman atau bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan mencuri data untuk tujuan ‘scammer’. 

Dek kecekapan PDRM, akhirnya kita berjaya membongkar agenda lebih besar di belakangnya. Bukan sahaja berstatus antarabangsa malah berkait pula dengan agensi risikan antarabangsa yang sangat-sangat berpengaruh. 

Ini mengingatkan saya apabila cubaan rompakan Southern Bank di Petaling Jaya yang gagal pada Jun 2001. Kelihatannya seperti rompakan biasa, akan tetapi selepas diinterogasi oleh PDRM, ia membawa kepada jaringan yang lebih besar hingga ke negara jiran, serantau dan dunia melalui Al-Qaeda dan Jemaah Islamiyyah.

Kes tangkapan ini dan kaitannya dengan agen risikan Mossad turut dilaporkan oleh The Times of Israel, malah seluruh dunia. The Times of Israel menjadikan kes ini sebagai tajuk utama mereka, tetapi tiada bantahan rasmi atau apa kenyataan kecaman terhadap isu ini. Ia sekadar penafian oleh pihak keselamatan Israel. 

Bagaimanapun, tindakan pantas PDRM ini mendapat pujian Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Hamas berjaya mengelak satu lagi kematian warga Palestin yang tidak bersalah.

Walau apa pun, kita tidak menafikan bahawa operasi agensi risikan luar di negara ini sememangnya berlaku. Jika disabitkan dengan Mossad, saya tidak menolak ia memang benar. Jelas sekali sejak Tel Aviv melancarkan ‘The global war on Hamas’, pelbagai operasi khas di seluruh dunia termasuklah di Malaysia. 

Melalui operasi ini, tujuan utamanya adalah membunuh atau menamatkan nyawa mana-mana individu dari Hamas terutamanya Briged Al-Qassam yang dilihat boleh mendatangkan ancaman kepada Israel. 

Dengan alasan tersebutlah ramai warga Palestin dari wilayah Gaza yang belajar dan seterusnya menjadi pakar komputer, kejuruteraan, robotik, aeroangkasa dan kimia mati di tangan pembunuh terlatih oleh Mossad.

Malah David Barea, pengarah CIA Amerika juga mengakui kewujudan operasi Mossad ini di seluruh dunia. US Congress Paper bernombor 113 (The House of Hearing) pada tahun 2014 juga sudah dimaklumkan dan pada dasarnya bersetuju dengan pelbagai operasi yang dilakukan oleh Israel. 

Seperkara yang seharusnya kita fahami, Israel sentiasa meningkat bajet risikan mereka saban tahun untuk menjalankan pelbagai operasi rahsia di seluruh dunia termasuklah Malaysia. Bajet sebanyak 2.73 billion telah dilaburkan tahun 2022 utk kegiatan risikan dan operasi seluruh dunia. 

Semua operasi ini diselenggarakan oleh unit kajian bawah Mossad sebelum diserahkan kepada  Kidon (bahagian pembunuhan) dan seterusnya kepada Metsuda (serangan).

Mengapa Malaysia jadi sasaran?

Ada banyak sebab mengapa negara ini menjadi sasaran ampuh golongan perisik antarabangsa termasuklah Mossad.

Pertama sekali berkaitan dasar luar Malaysia yang menyebelahi negara/kelompok/etnik pihak yang ditindas seperti Palestin, Rohingya, Mindanao dan Uyghur lain yang amat tidak disenangi oleh sesetengah pihak/negara. 

Keduanya ada berkaitan dengan diaspora warganegara tertentu yang ramai di Malaysia seperti Acheh, Korea, Iran, Uyghur dan Rohingya. 

Keadaan ini menyebabkan Malaysia menjadi lokasi untuk sesetengah mereka melancarkan serangan, membuat latihan, mengumpul data, merancang operasi dan sebagainya. 

Maka secara tidak langsung ianya telah menjadikan Malaysia sebagai sasaran yang cukup ampuh oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Ketiga berkaitan dengan dasar imigrasi kita yang mesra kepada warga dunia. 

Keadaan ini bukan sahaja memberi kelebihan kepada rakyat/etnik/kelompok tertentu untuk datang dan berkumpul di negara ini, akan tetapi dalam masa yang sama menjadikan ejen risikan luar termasuk Mossad mengambil kesempatan melakukan subversif dan penyuluhan.

Perkara keempat berkaitan dengan ‘recruitment’ besar-besaran oleh agen risikan luar negara seperti dari Israel (Mossad), Australia (Asis) dan America (CIA) menjadikan rakyat pelbagai warganegara sebagai protégé’ untuk operasi tertentu. 

Malah kemungkinan untuk rakyat Malaysia dijadikan ejen di negara luar juga tidak tidak dinafikan. Ini seperti kes Aisyah (warga Indonesia) yang dijadikan agen/mangsa oleh perisik Korea Utara ketika pembunuhan Kim Jong Nam di KLIA2 beberapa tahun lalu. 

Kelima berkaitan status passport Malaysia yang diterima lebih dari satu ratus negara di dunia. Ini menjadikan warganegara dan pemegang pasport Malaysia sangat-sangat berharga untuk direkrut sebagai ejen. 

Dengan adanya warganegara Malaysia sebagai ejen, ditambah pula dengan status agama Islam dan mempunyai budaya Melayu yang cukup hormat, baik budi pekerti dan sikap akomodatif, ini menjadikan rakyat negara ini pilihan utama mereka.

Perkara keenam adalah keupayaan pasukan keselamatan dan agensi risikan kita menyekat kemasukkan agen luar terutamanya selepas kejadian pembunuhan Kim Jong Nam dan Dr Batsh di Kuala Lumpur pada 2017 dan 2018 yang lalu. 

Keadaan ini menjadikan pilihan yang ada ialah dengan merekrut warga tempatan. Jadi mereka tidak perlu datang ke negara ini, hanya perlu menarik rakyat kita keluar dan bekerjasama menjadi ejen rahsia mereka.

Dalam masa-masa akan datang, dijangka kejadian seperti ini akan terus berlaku jika pelbagai aspek di atas tadi tidak diambil kira. 

Kali ini kita bernasib baik kerana tujuan utama penculikan ini adalah untuk interogasi bukannya untuk ‘assassination’. Juga kecekapan PDRM mengesan chalet yang digunakan sebagai lokasi menahan warga Palestin ini. 

Sebenarnya dengan kapasiti keupayaan risikan dan teknologi yang dimiliki, Mossad boleh melakukan lebih dari itu, cumanya Malaysia perlu mengelak dari menjadi lokasi pilihan untuk kegiatan sebegini.


MOHD MIZAN ASLAM berkhidmat sebagai profesor pengajian strategi, keselamatan dan pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS