Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum

Politik memang sesuatu yang mengujakan kepada sesiapa yang mempunyai impian terhadap kekuasaan. Terbukti kuasa (sekurang-kurangnya di Malaysia) adalah punca mendapat segala-galanya, pujian, penghormatan, mendapat habuan harta, mengubah hala tuju negara dan sebagainya. 

Politik juga adalah sesuatu yang sangat unik sehingga sangat sukar untuk difahami oleh rakyat biasa. Sebagai contoh, selalu disebut-sebut bahawa dalam politik tidak ada musuh kekal dan kawan kekal. Ia boleh berubah mengikut keadaan, asalkan ia boleh menyelamatkan survival sesebuah parti atau karier politik seseorang politikus. 

Cuba kita lihat scenario-senario yang saya sebutkan ini.

Sejak dulu Umno bermusuh bermati-matian dengan PAS tetapi berbaik tahun 1970, kemudian bermusuh kembali. Selepas Umno tumbang dalam PRU-14 yang lalu, mereka berbaik semula tetapi kini mula renggang sejak Umno mendapat kembali tampuk kekuasaan.

DAP sering meratib bahawa Umno itu musuh tetapi tiba-tiba baru-baru ini pemimpin-pemimpinnya berkata tidak mustahil untuk bekerjasama dengan Umno. Malah, ketika di ambang tertumbangnya Muhyiddin Yassin dahulu, mereka pernah mengungkapkan perkara yang sama.

DAP sejak sekian lama berpegang pada "langkah mayat aku dulu" jika nak laksana Islam dan menganggap PAS adalah musuh besar mereka. Namun, kita tahu mereka bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat. Malah, DAP disucikan lagi sesuci-sucinya dengan pelbagai gelaran seperti 'khalifah' dan slogan-slogan bersalutkan Islamik. 

Lepas beberapa ketika mereka kini kembali memusuhi PAS lebih-lebih lagi bila parti Amanah berjaya ditubuhkan dan menjadi 'pengganti' PAS yang efektif dalam percaturan DAP. 

Kita juga tidak sangka, bagaimana Mahathir Mohamad menjadi musuh abadi DAP sejak sekian lama boleh berpeluk-pelukkan di atas pentas. Sungguh ikonik gambar Mahathir dan Lim Kit Siang berpelukan yang menyimpan 1,001 makna yang boleh kita renungi bersama. Tetapi akhirnya bermusuhan semula setelah kejatuhan Pakatan Harapan pasca Langkah Sheraton. 

PKR pula kata Mahathir adalah Maha Firaun, Maha Zalim dan segala-gala Maha. Malah, penubuhan PKR hasil dari kebencian terhadap Mahathir. Tetapi pada PRU14 merekalah yang menjulang Mahathir sebagai ketua mereka sekali gus menjadi perdana menteri. 

Parti Warisan pula pernah berada bersama Pakatan Harapan dan malah disebut-sebut sebagai calon perdana menteri menggantikan Anwar Ibrahim. Tetapi kini saya difahamkan Warisan  sudah menjadi musuh Pakatan Harapan yang kedua selepas Umno. 

Parti Bersatu dahulunya menjadi komponen penting dalam PH tetapi kemudian belot dan bergabung dengan PAS dan Umno untuk tubuh kerajaan. Tetapi bila mereka hilang kerusi Perdana Menteri baru-baru ini, mereka cuba merujuk kembali kepada PH dan nampak gaya macam nak diterima.

Macam-macam rollercoaster politik Malaysia ini. Sukar dijangka dan penuh dengan kelicikan serta hipokrasi. 

Dalam empat tahun kebelakangan ini, Malaysia sudah ada tiga perdana menteri, mula dari Bersatu 1.0 kemudian ke Bersatu 2.0 dan kini Umno kembali. 

Lihat pula apa yang ada dalam kerajaan; Bersatu marah dengan Umno tetapi sekarang mereka dalam kabinet, PAS juga tak mahu kerjasama dengan Umno tapi juga dalam kabinet. Umno tak mahu kerjasama dengan Pakatan Harapan sebab ada DAP tetapi presidennya macam menyokong presiden PKR yang merupakan ketua Pakatan Harapan.

Pendek kata, tidak ada siapa yang benar-benar tahu 'siapa musuh siapa' dan 'siapa kawan siapa'. Kita juga tidak tahu apa yang akan berlaku esok kerana dalam politik katanya semua boleh berubah dalam sekelip mata. 

Ini disebabkan banyak laporan yang mengatakan berlaku perpecahan yang besar dalam kesemua parti, baik Umno, PAS, PKR, Bersatu mahupun DAP. Isu sama timbul apabila mahu diadakan PRU15 sering timbul kerana punca utama adalah disebabkan perbezaan pandangan dalam kalangan kepimpinan Umno pula.

Persoalan yang timbul dalam kepala rakyat sekarang ialah; dengan keadaan tidak menentu sebegini apakah pimpinan negara ada masa berfikir tentang nasib rakyat? Jangan mimpilah mereka nak fikir pasal hala tuju negara pada masa hadapan. Nak fikir tentang nasib semasa rakyat pada hari ini pun sudah tercungap-cungap. 

Kalau dilihat senarai anggota kabinet, menampakkan jurang yang begitu besar kerana melibatkan 3 parti yang sedang bercakaran. Itu belum lagi bincang soal blok di Sabah dan Sarawak. 

Bagaimana perdana menteri mampu merancang dengan sempurna kalau menteri-menteri kabinet tidak sehati dan sejiwa dalam menentukan arah tuju negara? Pertikaian jawatan timbalan perdana menteri baru-baru ini adalah salah satu indikator jelas kepada ketidak seragaman dalam pemikiran barisan kabinet.

Ramai penganalsis poltik meramalkan bahawa tidak ada satu parti yang akan dominan dalam PRU-15 nanti. 'Gabungan kepada gabungan' pelbagai parti kemungkinan besar perlu bagi membentuk kerajaan. Ia tidak semudah dulu lagi. 

Kalau begitu keadaannya, apakah senario yang sama akan berlaku dalam barisan kabinet selepas PRU-15 nanti? Kalau benar ini akan berlaku, bermakna negara akan terus berhadapan dengan barisan kepimpinan kerajaan yang sukar untuk membawa negara ke hadapan. Kita akan disibukkan kembali dengan pertikaian demi pertikaian antara parti, demi kepentingan parti. 

Tidak pernah mana-mana organisasi baik yang formal atau yang tidak formal boleh maju kehadapan jika pimpinannya terus bertelagah atau tidak mempunyai satu visi dan misi yang sama. Bukan sahaja rakyat akan terus terabai tetapi yang lebih membimbangkan, musuh akan mengambil kesempatan dalam kecamukan ini untuk terus menguasai negara. Mungkin mereka tidak kuasai dalam bentuk fizikal kerana itu agak tragis dan mengundang pelbagai masalah tetapi mereka akan menguasai secara halus (soft power).

Mereka tidak keras tetapi memasukkan jarum yang halus dalam pemikrian rakyat. Umpamanya, kalau dahulu kita hampir tidak mendengar golongan LGBT tetapi kini mereka semakin mendominasi bukan sahaja di negara kita malah di seluruh dunia. 

Di negara-negara Barat, mereka sudah duduk dalam kerajaan. Di sini, kita tidak akan lupa bagaimana mereka berani keluar dan berarak di Dataran Merdeka satu ketika dahulu. Walaupun bilangan yang keluar itu sedikit tetapi ia cukup melambangkan sesuatu yang lebih dahsyat berada bawah sana. 

Malah, pada zaman pemerintahan Pakatan Harapan menteri agama ada membuat kenyataan media di perkarangan bangunan Jakim bagi membela hak LGBT. Sampai bab tandas untuk LGBT pun menteri agama nak fikir. Bak kata orang putih “Only time will tell”. 


Berkaitan: 'Buat masa ini, transgender mungkin boleh guna tandas OKU'


Bagi orang Melayu Islam, keadaan sekarang dan masa hadapan tidak memihak kepada mereka jika suasana pertelingkan sebegini terus berlaku. Melayu akan terus terpinggir dan menjadi bahan ratahan orang lain. 

Sehingga hari ini tidak nampak mana-mana pemimpin Melayu yang benar-benar mempejuangkan nasib mereka, sama ada yang sebelah kiri mahupun sebelah kanan. Walaupun dari segi suara itu ada tetapi dari segi perlaksanaan semuanya 'hampas'. Malah lebih menjengkelkan, pemimpin-pemimpin Melayu sangat-sangat takut untuk menyebut Melayu. 

Saya ulang, mereka sangat-sangat takut menyebut Melayu. Sekali lagi saya ulang, mereka tak mahu sebut Melayu.

Macam-macam alasan yang diberikan sama ada yang pakai songkok mahupun yang berserban tetapi bagi saya itu semua disebabkan nafsu serakah yang melihat kuasa dan harta adalah segala-galanya.

Inilah realiti yang dihadapi oleh orang Melayu kini. Kita bukan berhadapan dengan musuh luar tetapi dengan bangsa sendiri yang saya istilahkan sebagai munafik politik. Sama ada orang suka atau tak suka itu masing-masing punya penilaian.

Perjuangan belum selesai. Malah semakin jauh!


AMINUDDIN YAHAYA ialah pengerusi Pertubuhan Pembela Islam (Pembela).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS