Perdana Menteri Ismail Sabri mengajukan agar Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengucapan dan bahasa rasmi dalam pengurusan Asean. Ramai yang menyahut seruan PM Ismail Sabri ini dengan sikap yang amat positif.
Malah seruan PM ini masuk akal dan meyakinkan. Ini kerana Bahasa Melayu adalah bahasa terbanyak diguna pakai dalam wilayah Asean.
Di Brunei, Singapura, Indonesia, Patani Selatan Siam dan Mindanao, Selatan Filipina – semua menggunakan Bahasa Melayu. Malah di Timur Timor, wilayah bekas tanah jajahan Indonesia, Bahasa Melayu digunakan. Kini Australia ada usaha menjadikan Bahasa Melayu bahasa kedua untuk dipelajari di sekolah-sekolah.
Umum wajib juga diberitahu bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa keenam teramai penggunaan dalam dunia.
Data PBB–Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu–menunjukkan bahasa Mandarin paling banyak diguna pakai. Lebih dari 1.1 bilion umat manusia menggunakan Bahasa Mandarin, diikuti Bahasa Inggeris (983 juta), Hindustan (544 juta), Sepanyol (527 juta), Arab (422 juta) dan keenam Bahasa Melayu dengan 281 juta pengguna.
Justeru ini bukan omong kosong Hishamuddin Rais. Ini data PBB.
Cadangan PM ini pada awalnya mendapat sambutan. Tapi hari demi hari cadangan ini mula ditakrif sebagai manai lagi haprak. Semakin ramai memperlekeh niat dan cita-cita PM.
Berita mula muncul dan tersebar luas di kalangan warga Internet bahawa PM membuat saranan penggunaan Bahasa Melayu dalam Asean kerana dia sendiri tidak begitu fasih berucap dalam Bahasa Inggeris.
Justeru warga Internet menganggap cadangan PM hanya alasan untuk menutup keupayaan diri sendiri yang lemah dalam pengucapan Bahasa Inggeris.
Saya tidak tahu sejauh mana keupayaan fikrah PM dalam berfikir dan bertutur dalam Bahasa Inggeris.
Saya tidak arif sama ada PM fasih berucap dan berfikir dalam Bahasa Inggeris atau tidak. Hanya Guru Nanak yang mengetahuinya.
Seingat saya PM Sabri belum pernah berhadapan dengan media antarabangsa. Jauh sekali bertemu bual dalam Hard Talk BBC dan berhadapan dengan Jeremy Paxman.
Jeremy mana?
Media dan wartawan Malaysia ini semuanya a bergenre minta maaf dahulu sebelum mengajukan soalan. Kah,kah, kah. Justeru PM dan para politikus kita merasa selamat untuk memutar.
Malaysia tidak memiliki wartawan jenis Jeremy Paxman yang akan menanya politikus hingga ke lubang cacing.
Apa yang jelas pada 2016, Zahid Hamidi berucap di UNGA (United Nations General Assembly) – di PBB, New York. Timbalan PM kita ketika itu berjaya memperlihatkan kepada umum dan kepada warga dunia tentang keupayaan dirinya berucap Bahasa Inggeris.
Najib pun pernah terkantoi
Seyogia kita sesama sedari bahawa Bahasa Inggeris ini bukan bahasa ibunda kita, justeru keupayaan berucap atau berfikir pasti tidak sama seperti native, Orang Asal.
Najib Razak yang belajar dari sekolah menengah hingga ke universiti di United Kingdom pun pernah kantoi dalam pengucapan Bahasa Inggeris. Ini bukan terjadi di UNGA, New York. Ini berlaku di Kuala Lumpur ketika membuat sidang akhbar bersama Presiden Obama pada 27 April 2014.
Najib gagal menyebut dengan betul perkataan Inggeris proliferation. Najib cuba mengulang perkataan ini berkali-kali sehingga Obama dengan pantas melawak dan menyambut dengan ketawa sambil berkata “that a hard one” – kah, kah, kah!
Ini fakta sejarah bukan penglipur lara daripada Hishamuddin Rais.
Mari kita kembali kepada saranan PM yang mengajukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Asean.
Saya menyokong langkah ini. Ini cadangan yang baik. Sokongan saya bukan kerana saya Melayu. Sokongan saya kerana saya berpandukan teori dan garis politik bahawa kita wajib membebaskan diri dari kongkongan bahasa kolonial.
Bahasa jiwa bangsa.
Dalam masa yang sama sokongan saya terhadap saranan PM ini berlapik. Bukan sokongan angkat tangan tanpa soal jawab. Ini budaya feudal. Saya telah berjaya membebaskan diri dari jadi Pak Angguk atau Pak Turut.
Saya ada membaca berita tentang Dewan Bahasa Pustaka (DBP) berusaha memanjang dan memperluaskan niat dan cita-cita Bahasa Melayu yang diimpikan oleh PM.
Seperti biasa DBP menganjurkan seminar.
PM dijemput untuk menyampaikan ucaptama. Ini diikuti dengan pembentangan kertas kerja. Berjela kertas kerja dibaca. Berbincang dan berlabun. Bergebang dan berceloteh. Hasilnya: wallah hu alam bissawab. Jauh panggang dari api. Jauh jambatan dari sungai.
Berlabun dan berbincang hal memperkukuhkan Bahasa Melayu di Tanah Melayu ini telah berjalan berdekad -dekad. Bergantang air liur telah terhambur.
Pada hemat saya sebelum PM keluar membawa Bahasa Melayu ke Bangkok, ke Hanoi, ke Manila atau ke Phnom Penn saya cadangkan kepada PM ketika masuk ke Putrajaya, sila buka tingkap kereta dan pandang ke luar.
Perhatikan perkataan “precinct” di sana-sini. Precinct 1, 2, 3, 4, 5… dan, dan, dan. Mak Cik Kiah Binti Lebai Alun yang memangkah undi untuk Ismail Sabri dari Felda Bera tidak tahu kepala angguk apa ‘precinct’ ini.
Precinct adalah saki baki peninggalan Mahathir Muhamad. Apakah PM Mahathir ini peminat setia NYPD Blues - cerita polis di New York tidak pula saya ketahui. Siri TV NYPD Blues berlangsung dari tahun 1993-2005. Mungkin Mahathir pernah menuntun siri TV ini atau ketika ber-UNGA di New York Mahathir ternampak tanda jalan depan hotel dia menginap.
Ketika Mahathir ternampak perkataan Precinct 8 di New York, Putrajaya sedang dibangunkan. Beruk melihat beruk membuat.
NYPD Blue
Saya sendiri mula berkenalan dengan perkataan precinct dari cerita TV NYPD Blue. Cerita polis Amerika yang berpindah dari Balai Precinct 8 ke Balai Precinct 10 di New York.
Justeru sebelum mengubah penggunaan Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu di Asean saya cadangkan agar PM mengubah penggunaan perkataan precinct di Putrajaya terlebih dahulu.
Betulkan rumah sendiri sebelum berniat nak membetulkan dewan orang ramai. Betulkan tangga rumah sendiri dahulu sebelum hendak betulkan tangga Batu Caves.
Mustahil DBP tidak dapat bertemu dengan perkataan yang sesuai untuk menggantikan perkataan precinct. Bahasa Melayu ada perkataan jalan, ada wilayah, ada daerah, ada lorong, ada lebuh, ada denai, ada mukim - semua perkataan ini membuktikan Bahasa Melayu kaya.
Kenapa kita mengguna pakai perkataan precinct? Apakah ini: monkey see monkey do – bila beruk melihat maka beruk membuat.
Saya ingat lagi Rais Yatim ketika menjadi menteri pernah berkata ‘“Kita akan ubah penggunaan precinct di Putrajaya”.
Ucapan ini terlepas dari mulut Rais Yatim ketika dia merasa agak tidak begitu selesa dengan Mahathir yang kerap memperlekehkan PM Dolah Badawi.
Hingga sekarang saya rasa Rais Yatim sendiri telah terlupa akan slogan Bahasa Jiwa Bangsa yang selalu dia hebohkan ketika menjadi menteri penerangan.
Awas! Penyakit monkey see monkey do tidak ada sangkut paut dengan penyakit monkeypox. Ini dua perkara yang berbeza. Monkeypox adalah penyakit berkuman. Manakala monkey see monkey do juga penyakit tetapi penyakit tidak berkuman.
Penyakit beruk lihat beruk buat ini sering hinggap dan menyerang warga negara bekas tanah jajahan. Yang selalu terkena penyakit ini adalah orang kulit hitam, sawo matang dan yang bukan berkulit putih.
Seperti dalam filem King Kong, beruk yang berasal dari Borneo jatuh cinta dengan wanita berkulit putih di New York.
Tanda awal penyakit beruk melihat beruk membuat ialah merasa kagum seperti King Kong melihat orang putih. Anak bekas tanah jajahan kagum dengan tuan bekas penjajah hinggakan malu dan tidak sanggup untuk menggunakan perkataan yang wujud dalam bahasa ibunda sendiri.
Seperti ada tersimpan niat kalau-kalau satu hari nanti jika Baginda Queen datang melawat Putrajaya maka Baginda Queen akan kagum bila melihat perkataan precint digunakan di sana sini.
Untuk saya cadangan PM membawa Bahasa Melayu ke Asean itu tepat. Tapi sebelum menyingkapi kain orang singkap kain sendiri dulu, lihat badan sendiri dahulu. Apakah ada kurap atau panau terselit di sana sini.
Untuk saya kurap yang paling jelas depan mata di Putrajaya ialah perkataan precinct.
Berdepan media dunia tanpa skrip
Jika PM benar-benar jujur dan tegas dalam agenda Bahasa Asean ini maka langkah pertama ialah melupuskan penggunaan perkataan precinct di Putrajaya.
Jika PM menamatkan penggunaan precinct mungkin warga Internet sekali lagi dengan serta-merta akan memperlekehkan tindakan ini.
Jangan risau, saya cadangkan ketika PM Sabri mengumumkan penamatan perkataan precinct di Putrajaya sila berucap dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Gunakan dua bahasa ini secara lancar.
Buktikan anak Lubuk Kawah, Temerloh boleh berucap dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan baik. Malah Mak Cik Kiah dari Felda Bera dan Mister Anthony Ching dari Talawi, Bangsar akan faham niat baik PM.
Pastikan ucapan dwibahasa ini bukan ayat campur aduk seperti kebiasaan pengucapan pengacara radio gelombang Melayu. Sampaikan dengan ayat yang sempurna.
Kemudian buktikan kepada warga Malaysia dan warga Internet apabila dalam bulan September 2022 di UNGA di New York, PM fasih menyampaikan ucapan dalam Bahasa Inggeris.
Untuk membuktikan kepada warga Internet bahawa PM Sabri ini bukan monkey see monkey do, sila adakan sidang akhbardi Precinct 8 New York.
Jemput The New York Times, The Washington Post, CNN, Los Angles Times dan ratusan lagi media dunia yang semua berkampung di New York ketika UNGA.
Berani berhadapan dengan media dunia tanpa skrip.
Jangan gentar dan jangan takut dengan penggunaan Bahasa Inggeris bila dijemput berucap di Asia Society. Jangan tolak jemputan Council of Foreign Relation walaupun ini sarang CIA.
Untuk membuktikan PM fasih dalam dua bahasa dan tegas dalam hal Bahasa Melayu ke Asean, maka langkah pertama: ubah penggunaan perkataan precinct di Putrajaya terlebih dahulu. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.