KOLUM | Bukan senang mahu menyuruh orang berbuat baik. Sementelah pula kita sendiri bukannya baik sangat pun.
Tengoklah bagaimana budak-budak tabligh yang kerjanya ke hulu ke hilir mengajak orang. Tergagap-gagap mereka bercerita mengenai hebatnya Tuhan di depan kita yang mendengarnya sambik mencekak pinggang.
Mereka berlatih setiap hari untuk bercakap mengenai hal-hal yang baik. Dan tentu saja mereka bukan insan kamil seperti yang diharap orang.
Mereka juga manusia yang penuh dengan kesilapan. Namun mereka cuba menjaja kebaikan lagi dan lagi sehingga mereka tiada lagi.
Keburukan yang ada pada diri sendiri, sedapatnya mereka sembunyikan supaya yang dilihat hanyalah kebaikan. Mereka juga bersungguh-sungguh untuk hanya melihat kebaikan orang lain.
Kerana itu juga kita jarang mendengar kumpulan tabligh mengadakan sidang akhbar, menunjuk perasaan atau membawa sepanduk menuntut konsert itu ini diharamkan.
Mereka terus bekerja walau apa pun dikata orang. Hasilnya kita nampak apabila mereka menghantar jemaah ke seluruh negara dan ke segenap ceruk dunia.
Meresap ke dalam jiwa
Kalau kita menyorok tidak menyahut salam mereka hari ini, esok, minggu depan atau tahun depan, mereka datang lagi. Bukan tahu serik budak-budak tabligh ini.
Yang bagusnya budak-budak tabligh ini ialah mereka tidak sangat mengharapkan hasil daripada usaha mereka itu. Apa yang mereka tahu adalah kerja yang mereka lakukan adalah untuk kebaikan diri mereka sendiri.
Mereka tahu jika mereka berlatih bercakap hanya mengenai kebesaran Tuhan misalnya, maka kebesaran itulah yang akan masuk ke dalam hati mereka.
Kalau kita setiap hari sibuk bercakap mengenai partai, mengenai bangsa, mengenai bagaimana mahu menjadi kaya, maka yang itulah akan masuk meresap ke dalam jiwa kita.
"Mulut kita lebih dekat dengan telinga kita daripada telinga orang lain," kata mereka. Kerana itu merekalah yang lebih mendengar apa yang mereka sendiri ceramahkan.
Mereka hanya giat mengajak orang kepada kebaikan dan selebihnya mereka serahkan kepada Tuhan.
Hidayah milik mutlak Tuhan. Kata mereka, ada ayat al-Quran berkisah mengenainya. Lalu jadilah mereka golongan yang senang-lenang dalam berbuat usaha agama.
Menyembunyikan kesalahan sendiri sewaktu sibuk menyeru orang berbuat baik adalah penting di samping perlahan-lahan membaiki diri agar tidak terus jahat.
Ini bagi menambah keyakinan orang yang diseru agar berbuat kebaikan yang kita canangkan.
Kalau buat usah heboh-heboh
Ini tidak. Awak sibuk berkempen mengenai buruknya wayang gambar, misalnya. Macam-macam maksiat yang awak sabitkan dengan panggung wayang, dan awak berkeras tidak mahu membuka panggung di negeri yang awak perintah.
Alih-alih awak bangga tayang gambar awak masuk panggung tengok orang lawan bersilat di luar sempadan negeri awak.
Awak yang tak tahan godaan iklan wayang, awak yang takut ketinggalan, habis partai awak diketawakan orang. Kalau dah tak tahan sangat nak berpesta, soroklah sikit. Pergi diam-diam. Pergi seorang-seorang.
Tak payahlah diajak geng bertanjak itu. Tak payahlah pakai kopiah bagai. Tak payah jadikan modal menambah pengikut. Maksiat kalau dibuat, jangan heboh-heboh.
Dan lagi, kalau awak bersabar, satu atau dua tahun lagi kami yakin wayang tersebut akan disiarkan di televisyen. Tengoklah puas-puas.
Ini tidak.
Awak memang jenis gelojoh dan gopoh tak tentu pasal. Jenis ikut nafsu. Suka bertindak melulu. Awak sibuk mengajak orang menghabiskan wang dan masa atas nama kebangkitan semangat Melayu.
Kalau wayang boleh bangkitkan semangat Melayu, dah lama Melayu Malaya ini maju sebab budak Melayu memang kaki wayang sejak berzaman-zaman dulu.
Itu belum masuk bab orang Melayu gila main wayang.
Tengok betapa caknanya mereka tentang artis pakai tudung buka tudung; tutup lurah buka lurah. Tengok pula menteri awak, selagi ada bintang filim semua hendak dibuat bini.
Kalau awak nak tahu, yang maju hasil wayang adalah tauke panggung. Pelakon, pengarah, pak pacak dan semua yang seangkatan dengannya akan bertukar ganti. Kaya tak juga.
Yang kaya cuma orang macam adik-beradik Run Run Shaw. Mereka jadi jutawan sampai hari ini.
Nak beli jiwa pesilat
Banyak akibat buruk kalau kita hebahkan keburukan diri kita ini. Pertama orang akan kata kita cakap tak serupa bikin. Kemudian orang hina kita dan partai kita. Dan tentu saja orang akan memandang rendah kepada pegangan agama kita.
Sudahnya orang yang rajin beragama semuanya habis terpalit. Orang ramai akan mula sangsi dengan apa juga kenyataan agama yang kita keluarkan.
Jadi satu kerja pula kita mahu menerangkan kepada orang banyak bahawa agama kita adalah yang terbaik, dan kesalahan yang dilakukan oleh individu dalam agama kita adalah kesilapan peribadi dia.
Itu belum lagi masuk bab ustaz kata mengata sesama sendiri di media sosial. Kesannya, budak-budak sekarang jadi gila berpesta. Kalau yang mahukan agama pula mereka akan pergi kepada Ayah Pin dan yang sewaktu dengannya.
Bercakap mengenai ustaz saling mengata, izinkan kami bertanya: kenapalah agaknya ustaz yang berdebat tempoh hari berasa perlu membawa ahli silat bersama mereka?
Sudah seperti satu penyakit pula kini apabila ustaz-ustaz sibuk benar mahu memenangi hati para pesilat. Maka dibawalah ke mana-mana saja pesilat sebagai pengiring.
Bukankah ustaz kerjanya membawa aman? Sibuk bawa hulubalang ke sana ke mari nak bergasak dengan siapa? Debat ilmu bukan sarkas yang memerlukan badut.
Banyak sebenarnya yang mahu kami katakan apabila masuk bab silat, tanjak dan busana ini, namun kerana sekarang ini semangat Melayu sedang membara, kami diamkan saja.
Pengalaman masa juga lalu mengingatkan kami agar tidak mempertikai kegilaan jenis tersebut. Takut juga kalau ditaji budak-budak muda yang sedang disilau semangat Nusantara itu.
Dan sebagai perlindungan, ingin kami katakan bahawa kami pernah tinggal berjiran dengan rumah Mat Kilau. Kami juga pernah berjumpa dengan anak beliau dan kami kenal baik dengan Alhamadi, cucu pahlawan tersebut.
Aok jangan buat main.
ABDULLAHJONES ialah pesilat separuh masa yang suka bersemutar dan rajin mandi embun.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malasiakini.