Adakah Malaysia bersedia menjadi masyarakat tanpa tunai? Rasanya, tidak.
Walaupun usaha dilakukan oleh kerajaan dengan memperkenalkan subsidi RM30 untuk pengguna aplikasi Touch N Go eWallet, Boost, dan GrabPay, pelaksanaan perbankan digital ini tidak diperkenalkan secara menyeluruh.
Masyarakat tanpa tunai wujud apabila semua wang fizikal (tunai, cek dan syiling) digantikan sepenuhnya dengan mata wang digital. Dan itu termasuk juga menggantikan kad debit dan kredit.
Malaysia mungkin tidak menjadi masyarakat tanpa tunai menjelang 2060, lebih-lebih lagi 2030. Tetapi hakikatnya kita semakin hampir menuju ke arah itu setiap hari.
Transaksi tanpa tunai lebih cekap dan menjimatkan kos kerana tidak perlu lagi mengendalikan wang fizikal atau pergi ke bank untuk mendeposit atau mengeluarkan wang.
Semua transaksi dilakukan secara dalam talian atau secara maya. Inisiatif tanpa tunai juga selaras dengan Pelan Tindakan Sektor Kewangan yang dilancarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Kelemahan transkasi tanpa tunai pula termasuk privasi yang kurang, pendedahan yang lebih besar kepada penggodaman, pergantungan teknologi dan jurang ekonomi yang membesar.
Kad kredit dan debit, e-dompet, aplikasi pembayaran elektronik, perkhidmatan pembayaran mudah alih dan mata wang maya yang digunakan hari ini boleh membuka jalan kepada masyarakat tanpa tunai sepenuhnya.
Kita mendengar orang menyebut bahawa cash is king. Dan seperti kata Najib Razak, “king” itu adalah rakyat, penyelesaian untuk menggembirakan rakyat. Itu kata orang politik.
Wang tunai adalah kaedah pembayaran yang dominan di banyak negara dan majoriti pembayaran harian dibuat menggunakan wang kertas atau syiling.
Ramai menggunakan kad kredit selama bertahun-tahun dan wang tunai masih popular di seluruh dunia.
Pun begitu penggunaan teknologi seperti e-dompet, pembayaran kod QR dan membeli-belah dalam talian menjadi popular sejak bermulanya pandemik Covid-19.
Wabak ini mempercepatkan penggunaan pembayaran bukan tunai dan memberikan momentum untuk warga menjadi masyarakat tanpa tunai.
Menurut Visa, 55 peratus rakyat Malaysia boleh hidup tanpa wang tunai selama lebih seminggu, meningkat 13 peratus dari tahun lalu.
Pandemik mendorong pengguna untuk memilih pembayaran digital berbanding tunai. Diramalkan banyak negara akan menjadi negara tanpa tunai menjelang 2030.
Masih ketinggalan
Bagaimanapun, Malaysia masih ketinggalan di belakang Finland, Sweden dan China dalam hal ini.
Untuk membantu Malaysia berkembang menjadi masyarakat tanpa tunai, ada beberapa cabaran perlu ditangani oleh pihak kerajaan dan swasta.
Warga tidak boleh tergesa-gesa untuk menjadi masyarakat tanpa tunai kerana masih ada kumpulan pengguna yang tidak bersedia.
Warga emas biasanya tidak biasa dengan kaedah pembayaran digital serta masih bergelut menggunakan telefon pintar. Kemahiran warga emas yang terhad untuk menggunakan alat digital diburukkan lagi dengan penglihatan mereka yang lemah.
Isu lain yang harus dipertimbangkan ialah privasi. Kerajaan boleh mengakses data peribadi dan perniagaan serta boleh menjejak perbelanjaan pengguna, serta kumpulan perniagaan, seperti mereka yang terlibat dalam pengelakan cukai.
E-pembayaran boleh menjana lebih banyak hasil kepada kerajaan dan sebahagian daripadanya boleh digunakan untuk membangunkan negara.
Bergerak ke arah masyarakat tanpa tunai mempunyai kelebihan kerana ia dapat mengurangkan risiko jenayah yang melibatkan wang fizikal. Ia cara yang baik untuk mengelakkan penularan virus semasa pandemik.
Penyelidik mendapati Covid-19 boleh kekal di wang kertas sehingga dua hari.
Urus niaga e-pembayaran lebih pantas kerana ia tidak melibatkan pertukaran atau pengiraan wang.
Transaksi tanpa tunai juga mempercepatkan urus niaga dan meningkatkan kemudahan untuk perniagaan dan pengguna. Sama ada perusahaan kecil atau mikro, mereka yang tidak mempunyai akses perbankan akan ketinggalan.
Kita perlu mewujudkan lebih kesedaran tentang e-pembayaran untuk menyediakan rakyat menghadapi era baharu tanpa tunai.
Dalam era digital, sangat mahal bagi sesebuah negara untuk mencetak wang tunai.
Pakar berpendapat bahawa akan mengambil masa sekurang-kurangnya 20 tahun untuk menjadi masyarakat tanpa tunai.
Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh tabiat berbelanja rakyat Malaysia yang lebih suka menggunakan wang tunai.
Selain itu, masyarakat tanpa tunai mungkin tidak bekerja di kawasan luar bandar yang masih banyak bergantung kepada wang tunai dan mempunyai tahap celik kewangan yang lebih rendah.
Pasaran e-dagang
Bagaimanapun bilangan transaksi pembayaran elektronik di Malaysia telah menunjukkan peningkatan mendadak sejak dua tahun lalu, hasil daripada pasaran e-dagang yang berkembang pesat.
Menurut statistik Bank Negara Malaysia, 833.9 juta transaksi dibuat melalui perbankan internet dari Januari hingga November 2018, berbanding 741.9 juta bagi keseluruhan 2017 dan 588.2 juta pada 2016.
Statistik menunjukkan penggunaan perbankan mudah alih turut meningkat dalam tempoh 11 bulan pertama 2018, mencatatkan 1.92 bilion transaksi, berbanding 1.05 bilion pada 2017 dan 526.6 juta pada 2016.
Jumlah pengeluaran tunai daripada mesin juruwang automatik menurun kepada 718.3 juta dari Januari hingga November 2018 berbanding 763.9 juta untuk tahun 2017 dan 761.2 juta pada 2016.
Mengenai persoalan sama ada perlu untuk mengubah Malaysia sepenuhnya menjadi masyarakat tanpa tunai, pakar memberi amaran bahawa terlalu bergantung pada pembayaran digital akan meletakkan negara dalam risiko.
Ini amat relevan memandangkan ancaman keselamatan siber dan kebimbangan geopolitik.
Oleh itu, pengawal selia mesti memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran dan keselamatan sistem pembayaran digital.
Kerajaan Malaysia berusaha untuk memperhebat dan mengembangkan platform e-pembayaran dengan penekanan pada transaksi kerajaan "untuk tadbir urus yang baik dan mengurangkan rasuah".
Sistem transaksi pembayaran tanpa tunai akan memastikan ketelusan, serta membolehkan pengesanan.
Memandangkan jangkaan yang semakin meningkat tentang ketelusan yang lebih tinggi dalam urus niaga kewangan, penting bagi jabatan kerajaan memodenkan mekanisme pembayaran untuk lebih mengutamakan pelanggan, selamat, cekap dan telus.
Di samping itu, kerajaan juga akan menjalankan usaha untuk memanfaatkan potensi penggunaan teknologi lain, termasuk blockchain, walaupun tiada butiran yang digariskan.
Sebuah syarikat Malaysia, Komeps sedang bercadang untuk membangunkan mekanisme pembayaran tanpa tunai untuk negara anggota D8 iaitu Malaysia, Indonesia, Nigeria, Mesir, Turki, Bangladesh, Iran dan Pakistan.
Komeps menawarkan penyelesaian lengkap untuk ekosistem tanpa tunai. Mekanisme itu membayangkan pembangunan susunan baharu yang akan menawarkan kepada rakyat, komuniti perniagaan D8 khususnya, pilihan yang lebih baik untuk membuat transaksi kewangan.
Teknologi kewangan
Teknologi kewangan akan beroperasi dalam lingkungan rangka kerja kawal selia kewangan nasional dan antarabangsa sedia ada dan membolehkan transaksi dengan kos yang jauh lebih rendah.
Komeps menyebut faedah sehingga 40 peratus akan dikembalikan kepada pengguna.
Syarikat itu juga menjangkakan dana wakaf 5% akan diwujudkan daripada keuntungan operasi.
Inisiatif dan minat Komeps untuk memenuhi matlamat Organisasi D8 dan projek itu memberi manfaat kepada semua negara anggota dan membawa manfaat inklusif kepada semua pihak berkepentingan.
Cadangan perniagaan terperinci mengenai projek itu diikuti dengan semakan oleh Suruhanjaya D8 akan membantu mengukuhkan cara kerjasama antara D8 dan Komeps.
Untuk itu, adakah Malaysia bersedia untuk pembayaran tanpa tunai atau cashless society?
Belum lagi, sebab bagi Najib, cash is king dan king adalah rakyat!
MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.