Akhirnya kecenderungan pengundian Cina mendapat perhatian, setelah melabuhnya tirai Pilihan Raya Negeri Melaka, Sarawak dan Johor.
Jikalau diimbas sejarahnya, pembangkang meraih sokongan majoriti pengundi Cina sejak PRU12 (2008), terutamanya di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada paras 70%. Pola sedemikian berkembang ke seluruh negara dalam pilihan raya kecil seterusnya, sehingga PRU13 (2013), dengan angka peratusan dilonjakkan kepada kira-kira 85%.
Sesetengah penganalisis termasuk saya menjangkakan bahawa peratusan 85% merupakan titik maksimum, dan mustahil ia dilonjakkan lagi. Ramalan ini meleset dalam PRU14 (2018), apabila sokongan pengundi Cina terhadap Pakatan Harapan dianggarkan melebihi paras 90%, malah mencecah 95% di sesetengah tempat, menjadi asas kepada kemenangan PH.
Ringkasnya, untuk tempoh lebih sedekad sejak tahun 2008, pengundi Cina mengekalkan sokongan yang tinggi kepada Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan (kemudiannya). Apa pun, perlu ditekankan bahawa fenomena ini adalah “luar biasa”, sama ada paras sokongan yang sebegitu tinggi, mahupun tempoh kelangsungannya yang sebegitu panjang. Sentimen yang mendasari fenomena ini, sama ada kemarahan, keghairahan, ataupun harapan, akan dilunturkan keletihan satu hari nanti.
Masyarakat Cina bukan homogen
Sebelum dikupas lebih lanjut kecenderungan politik Cina terkini, harus kita sedar bahawa masyarakat Cina bukan homogen. Dengan kata lain, pandangan politik seseorang boleh berbeza mengikut faktor kedudukan ekonomi, geografi, aliran bahasa, anutan agama, rangkaian sosial dan sebagainya. Jikalau diperincikan, keutamaan mereka berbeza-beza antara satu sama lain. Boleh jadi tauke lebih mementingkan ekonomi, pejuang pendidikan bahasa Cina pula lebih menitikberatkan pengiktirafan pendidikan pelbagai aliran, aktivis sosial lebih cakna dalam isu demokrasi, hak dan kebebasan dan sebagainya.
Kesemua tuntutan ini boleh dipertemukan bersama bawah kerangka “sistem dua parti”, idea yang dicanangkan dalam masyarakat Cina sejak akhir tahun 1980-an. Hujahnya, jikalau BN korup dan gagal menguruskan ekonomi, maka ia harus digantikan dengan satu gandingan parti politik yang bersih dan cekap. Andainya BN tidak meraikan kepelbagaian, atau BN mengamalkan pemerintahan autoritarian, maka ia harus disemak imbang, atau diberi saingan sengit oleh parti politik yang lebih inklusif dan menghormati prinsip rule of law.
Cuma, sehingga penghujung abad ke-20, masyarakat Cina tersepit dalam dilema, antara Umno yang tebal sentimen perkaumannya, dengan PAS yang konservatif pendekatan agamanya. Mengambil contoh PRU10 (1999), bukannya pengundi Cina tidak berminat dengan gerakan “Reformasi” untuk mendemokrasikan Malaysia, tetapi kegusaran terhadap kebangkitan PAS pada zaman itu, dengan agenda pembentukan Negara Islam dan pelaksanaan Hudud, mengatasi pertimbangan yang lain.
Situasi hanya berubah selepas “Tsunami Politik” mengombak dalam PRU12 (2008). Lebih-lebih lagi, PAS ketika berada bawah kerangka Pakatan Rakyat mengambil jalur politik yang lebih sederhana berbanding zaman dahulu. Perubahan ini menyuntik keyakinan dalam masyarakat Cina, lantas memacu momentum sokongannya kepada 85% dalam PRU13 (2013). Masyarakat Cina mempertaruhkan nasibnya sekali lagi secara all out dalam PRU14 (2018), dengan andaian bahawa ia peluang terbaik untuk melakar sejarah “pertukaran kerajaan (persekutuan)”, setelah menyaksikan korupsi pada tahap kemuncaknya.
Melayu dalam bacaan Cina
Kita boleh menyindir bahawa Pakatan Harapan yang sampai bukan Pakatan Harapan yang ditempah, kerana “manifesto bukan kitab suci”. Namun, situasinya jauh lebih rumit daripada kegagalan PH menunaikan janjinya semata-mata. Jikalau diteliti, ralat bacaan masyarakat Cina terhadap masyarakat Melayu, juga antara punca kekalutan sekarang.
Realitinya, Melayu yang menolak Najib Razak, tidak semestinya menyokong pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu), atau peruntukan dana kepada institusi pendidikan bahasa Cina. Bersatu yang beria-ia menggantikan Umno, tidak semestinya berminat dengan reformasi institusi, misalnya pemansuhan akta draconian yang mencengkam ruang demokrasi.
Lebih-lebih lagi, pendekatan agama sesetengah pemimpin Amanah, terutamanya ketika diasak PAS, boleh jadi tiada beza dengan PAS dari kaca mata masyarakat Cina bukan Muslim. Pendek kata, setelah lebih sedekad bertungkus-lumus, masyarakat Cina menganggap “pengorbanannya” tidak berbaloi, kerana tidak dipertemukan “pengganti BN” yang memenuhi kesemua keperluannya.
Perlu diingatkan, bahawa “pengorbanan” bukan sekadar tampil mengundi untuk tiga PRU berturut-turut, tetapi pengerahan sepenuhnya untuk belasan tahun kebelakangan. Jikalau kita masih ingat, tidak ramai Cina yang berani, atau sudi menyertai demonstrasi ketika zaman Reformasi. Namun, situasi ini berubah khususnya ketika Himpunan Bersih2 (9 Julai 2011), dan kita menyaksikan keterujaan Cina untuk menyertai demonstrasi jalanan selepas itu.
Bukan demonstrasi sahaja, tetapi kutipan derma (untuk pemimpin politik PR/PH), penerbitan makalah untuk menembusi sekatan maklumat, penganjuran forum dan sebagainya – mereka mencuba segala saluran yang dianggap mampu menyumbang ke arah masyarakat yang diidamkan.
Kini, mereka terpaksa berdepan dengan satu realiti “alam Melayu” yang berada di luar imaginasi mereka untuk sekian lama. Rupa-rupanya “PAS untuk semua” sekadar retorik, dan kenyataan pemimpin Bersatu untuk mengiktiraf UEC dalam wawancara bersama media bahasa Cina sebelum PRU14, adalah janji kosong. Kedua-dua eksperimen gandingan parti politik untuk menumbangkan BN, berakhir dengan kegagalan.
Lebih dahsyat, apa yang terpampang di depan mata sekarang, kes 1MDB masih belum dirungkai sepenuhnya; kepelbagaian bahasa dan budaya tidak diraikan, penambahbaikan institusi politik pula ditambat langkahnya. Malah, ruang kebebasan untuk mengamalkan cara hidup sendiri, misalnya minum arak dan sebagainya, semakin tergugat apabila suara untuk mengharamkannya semakin lantang kedengaran.
Lantas masyarakat Cina terjerumus dalam kemurungan, seolah-olah yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Mereka semakin ragu-ragu, apakah pengganti itu lebih baik daripada apa yang sedia ada, atau dua kali lima sahaja? Emosi ini menjelaskan sikap dingin dan keberatan pengundi Cina pulang mengundi dalam PRN-PRN baru-baru ini, berbanding tiga PRU dan belasan PRK yang lalu.
Pengundi Cina tidak keluar mengundi?
Bacaan sesetengah pemimpin politik, malah pengamat politik menyimpulkan bahawa majoriti Cina masih tidak tergamak untuk memangkah BN, cuma mereka hilang “semangat”, atau “tidak terpanggil” lagi untuk keluar mengundi. Lantas mereka mengandaikan bahawa PH mampu meraih undi Cina yang tinggi jikalau berjaya melonjakkan peratusan mengundi masyarakat Cina. Dengan kata lain, peluang BN atau MCA untuk meraih sokongan Cina masih malap.
Pengamatan sedemikian mungkin tepat buat setakat ini, tetapi boleh berubah andainya BN mengubahsuai taktiknya untuk “mencuri hati Cina”. Dengan “kemelayuan-nya” yang tidak dipertikai, BN memiliki kelebihan untuk melaksanakan sebahagian dasar yang dijanjikan DAP kepada masyarakat Cina. Peruntukan dana untuk institusi pendidikan bahasa Cina, malah pengiktirafan UEC sekalipun, mungkin boleh diberi laluan dalam masyarakat Melayu, andainya dilaksanakan BN.
Dan apakah yang boleh dilakukan PH? Menyindir BN kononnya pro-Cina sekarang? Sudah tentu ia mencungkil rasa tidak selesa daripada masyarakat Cina. Di sini ironinya politik Malaysia. PH kelihatan ikhlas untuk bersikap lebih adil dan inklusif terhadap semua etnik, tetapi ditambat langkahnya kerana tunduk kepada tekanan sayap kanan yang mendominasi ruang wacana masyarakat Melayu. Umno walaupun nampak “perkauman”, namun jikalau mengambil taktik untuk menyedapkan hati bukan Melayu, diterima pula oleh masyarakat Melayu.
Bayangkan anda pengundi Cina, apakah pilihan anda? Daripada tidak mendapat apa yang diharapkan ketika zaman pemerintahan PH, lebih baik menerima sesuatu yang tidak dijangka pada zaman pemerintahan BN, bukan? Apakah ini menjelaskan mengapa Bossku disambut semula dalam masyarakat Cina, apabila menyindir Mahathir Mohamad dengan chopstick? Dan adakah kita masih terkejut, apabila mula kedengaran hujah-hujah seperti “Jibby sebenarnya okay, makan duit saja. Tapi siapa tak makan duit?” dalam kopitiam. Dalam hal keterbukaan untuk menerima kepelbagaian, barangkali Bossku lebih terserlah berbanding Mahathir, dari kaca mata masyarakat Cina sekarang.
Jadi, menyerang Najib Razak dengan kritikan moral tidak membawa PH ke mana. Penyokongnya akan membalas, “Apakah Mahathir bersih dari rasuah?” dan soalan ini sudah memadai untuk menyumbat mulut penyokong DAP. Berbalik kepada huraian di awal tulisan ini, pertimbangan lain (keterbukaan untuk meraikan kepelbagaian) telah menjadi keutamaan untuk mengatasi faktor lain (korupsi dan sebagainya). Sekurang-kurangnya mereka mendapat sesuatu daripada Bossku, sebagaimana mereka mendapat sesuatu daripada Mahathir ketika zaman Reformasi.
Daripada menyalahkan pengundi, mungkin PH perlu bermuhasabah, apakah mereka berdiri teguh atas prinsip apabila berdepan dengan dugaan? Jikalau tidak, apakah mereka boleh menyalahkan pengundi kerana tidak lagi mempertahankan prinsip moral?
LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).
Artikel ini pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.