Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Entah mengapa, hari pertama Ramadan kali ini kami teringat akan cincin kelapa sawit.

Semasa masih kanak-kanak kami tidak gemar melastik burung atau pergi ke lubuk memancing. Mungkinlah kami pernah sekali dua meresap ke lopak air mencari ikan laga - atau kami panggil ikan sekilau. Selain itu kenangan yang paling manis ialah membuat cincin dari buah kelapa sawit.

Di kampung kami, buah kelapa sawit bukanlah sesuatu yang mudah didapati. Ada sebidang tanah kebun getah lama di hujung kampung dan pohon kelapa sawit yang entah tahun bila baru kami kenal akan rupanya.

Kami biasa bermain laga biji getah. Sedi, sahabat kami yang entah di mana sekarang, berusaha mengorek dan membuang isi biji getah dan menambah timah cair ke ruang yang lompong itu.

Sedi itu kami keroyok apabila rahsia mengapa dia tidak pernah kalah itu diketahui ramai.

Namun begitu sekali-sekala akan didapati sebiji dua buah kelapa sawit. Ia adalah pembawa kegembiraan. Entah dari mana datangnya, tidaklah kami ingat.

Kami pernah melihat seorang pak cik yang menyewa rumah Cikgu Konet membuat jebak burung dengan lidi kelapa sawit. Yang menarik perhatian kami ialah bagaimana pangkal lidi kelapa sawit tersebut sedikit bengkang-bengkok.

Pada pandangan kami yang kanak-kanak, ia amat berseni.

Pak cik itu kemudia berpindah ke kampung sebelah. Isterinya, Mak Cik Dayang, menjadi terkenal sebagai penjual keropok lekor yang lazat.

Pengganti buku lima

Anak lelaki mereka, Lang, pula terkenal sebagai generasi pertama di tempat kami yang mempopularkan sukan luncur air. Adik perempuan Lang pula didapati berjoging saban petang sehinggalah beliau berhenti apabila telah agak berusia.

Warung keropok lekor Mak Cik Dayang masih ada hingga hari ini dan ia diuruskan oleh Lang dan adik perempuanya itu.

Setelah dibuang sabutnya, kami akan menggosok tempurung kelapa sawit tersebut pada simen di hujung tangga kayu rumah kami. Setelah panas tapak tangan, kami akan memijaknya dengan tumit dan mula mengasah tempurung tersebut.

Kemudian kami akan membuang isi sawit tersebut sebelum perlahan-lahan tempurung tersebut akan berupa sebentuk cincin.

Cincin tempurung kelapa sawit ini amat sesuai digunakan untuk bertumbuk bagi mengantikan buku lima yang kami buat juga dari timah.

Dulu wayar elektrik diikat dengan timah sebesar satu inci yang kami ambil dari taman perumahan terbengkalai di tanah Cikgu Konet. Hampir 15 tahun projek tersebut ditinggalkan sebelum ia dapat dibangunkan semula.

Agaknya memang Ramadan adalah bulan kenangan. Ia merupakan bulan yang selalu mengingatkan kami kepada masa lalu yang lebih ringkas.

Apabila petang Mok akan membuat satu dua jenis kuih. Setelah siap, kami diarahkan untuk menghantar sepiring dua ke rumah jiran. Ada kalanya jiran pula yang menghantar kuih ke rumah kami. Nanti - pada malamnya - kami akan ke surau untuk bertarawih.

Bukan tarawih sangat sebenarnya, tetapi lebih kepada mengacau Wak Rani, satu-satunya orang Melaka yang kami agak dipanggil dengan gelaran Jawa itu.

Surau kampung kami terletak di tengah-tengah kampung orang Jawa. Maka semua lelaki berusia di kampung kami adalah seorang wak.

Misalnya Wak Husin. Beliau orang asal Kelantan yang berniaga di pasar besar. Seorang lagi ialah Wak Rani, yakni datuk kami sendiri. Beliau satu-satunya lelaki Greek yang digelar wak.

Hari ini Ramadan adalah bulan untuk jabatan agama mana di negeri pun mengeluarkan segala macam ugutan. Mahu penjarakan orang tidak puasa, nak mengarak orang ponteng puasa dengan kereta mayat.

Pada agakan kami, jika panjang umur, akan tiba masanya nanti sesiapa yang tidak berpuasa Ramadan akan disula di depan khalayak ramai.

Membutakan mata ikan

Sekolah-sekolah juga menutup kantinnya sebagai usaha untuk melatih anak-anak untuk berpuasa. Sejak bila agaknya kita menjadi orang Islam yang suka mengembar-gemburkan hukuman, akibat buruk dan segala macam ugutan dalam mempertahankan keimanan?

Orang Islam hari ini dijadikan bahan ejekan kerana kita merasakan bahawa sementara menunggu untuk masuk sorga, kita perlu membuktikan kepada semua orang bahawa agama kita adalah agama yang suka menyeksa.

Tidak ada langsung keindahan yang kita mahu gambarkan kepada orang awam betapa Islam ini adalah agama yang paling lembut kepada penganutnya. Islam juga sangat simpatetik kepada siapa pun.

Kita jadi orang kasar yang tidak pernah kenal erti kasih sayang. Semua yang kita ceritakan adalah mengenai denda. Jadilah kita bangsa penghukum sambil mendabik dada mengaku bahawa kita adalah umat Muhammad (number one).

Inilah kenangan yang akan kita wariskan kepada genarasi akan datang, baik yang sudah Islam mahu pun yang belum. Sudahlah Melayu dibenci, Islam pula dipalitkan sama.

Berbalik kepada kisah zaman kanak-kanak, kami pernah sekali pergi memancing. Berbekalkan joran buluh dan beberapa ekor cacing yang kami gali sendiri, pergilah kami ke sebelah kandang babi milik keluara Cina di kebun getah yang kami ceritakan tadi.

Sebaik saja joran diletak, kail pun disambar ikan. Kami rentap sekuatnya dan di mata kail ada seekor ikan puyu kecil. Berhempas pulas kami keluarkan mata kail dari mulut ikan.

Apabila dicabut, mata kail tersebut telah tersangkut pada mata ikan. Maka butalah ikan tersebut. Dan kami yang berhati mulia ini pun berasa kasihan. Lalu kami lemparkan kembali ikan tersebut ke sungai.

Selepas itu kami berjanji tidak akan memancing lagi sehingga kami mati.

Melihat badan burung pipit yang hancur seluruh tubuhnya diterjah batu dilastik Iji - sahabat kami yang pandai serba-serbi melastik - pula membuatkan kami langsung tidak pernah tahu bagaimana untuk membuat lastik.

Lalu apabila dikenang-kenang, terbuktilah kami ini memang dilahirkan untuk menyebarkan kasih sayang.

Selamat berpuasa kami ucapkan kepada semua. Semoga Ramadan kali ini lebih baik daripada semua Ramadan yang pernah kita jalani.


ABDULLAHJONES ialah pengembara, penulis dan pelukis berdarah Greek yang sedang mengadakan pameran Mujarad Naga Tasek Chini di G13 Gallery, Petaling Jaya sehingga 9 Apr ini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS