KOLUM | Suka atau tidak kita semua harus terima bahawa sekarang ini rasuah adalah budaya kebanyakan daripada kita. Dosa dan pahala tidak lagi penting. Yang lebih diutama ialah kuasa, berkuasa dan menjadi kaya-raya.
Apa yang pasti bukan budaya kita adalah menari di khalayak ramai. Bahkan suatu masa dulu walau bagaimana rancak sekali pun persembahan di konsert-konsert yang ada, penonton kita cuba terpacak dan menepuk tangan hanya setelah selesai satu-satu persembahan.
Kami sendiri tidak pernah menari walau pernah terjebak dengan aktiviti berdisko semasa remaja lama dulu. Apabila ke disko kami biasanya akan hanya duduk dan melihat.
Kami suka akan bunyi muzik yang bising tetapi tidak suka melihat orang mabuk arak. Lama kelamaan kami juga jadi tidak suka ke disko.
Jika pun pernah menari, hanya sekali. Itu pun jika betul ingatan kami. Ini pernah kami ceritakan dulu. Tetapi kami ini orang tua, dan kami mempunyai hak untuk mengulang-ulang cerita yang sama beberapa kali.
Semasa di luar tanah air ini, ada beberapa perayaan besar yang disambut oleh penduduk setempat di jalanan. Di tempat-tempat tertentu akan ada perarakan maulid nabi dan juga hari mengingati wafatnya Sayidina Ali oleh pengikut Syiah.
Dan, ya, mereka memukul-mukul tubuh mereka sendiri sebagai tanda kesedihan.
Ada aroma manis menguasai
Kami tidak terlibat dalam kedua-dua acara tersebut. Apa yang lebih menarik minat kami ialah perarakan Mardi Gras.
Hari itu secara bukan sengaja kami terpergi ke perarakan tersebut. Kebetulan. Atau, ya, itu yang kami mahu kamu semua percaya.
Maka terbabitlah kami melihat bagaimana orang merayakan pesta yang katanya bagi meraikan hari-hari sebelum penganut Kristian berpuasa.
Pesta yang penuh dengan keghairahan itu diraikan sungguh-sungguh. Di sebalik perempuan dan lelaki yang hampir tidak berpakaian itu, ada aroma manis yang menguasai suasana.
Pada hemat kami, hampir semua peserta berada dalam keadaan sedikit khayal, sama ada hasil daripada meminum arak atau pun kerana menghisap ganja.
Mereka minum arak secara sembunyi kerana salah di sisi undang-undang untuk mengambil minuman keras di tempat terbuka. Orang putih - walaupun kuat minumnya - mereka juga amat menjaga tertib apabila berada ditempat terbuka.
Namun begitu, ganja pada waktu itu sedang ditimbang-timbang untuk diwartakan sebagai bebas digunakan tetapi tidak untuk diniagakan. Maka terdapat ramai penggunanya berada di sekitar perayaan Mardi Gras tersebut.
Ia - yakni ganja tersebut - kemudian dibenarkan untuk dihisap namun bukan di tempat awam. Menjualnya pula adalah kekal dilarang sama sekali.
Setelah beberapa tahun, pelepasan menghisap ganja itu ditarik balik. Undang-undang sekali lagi tidak membenarkan ganja dihisap di mana-mana tempat pun.
Rasuah dah jadi budaya
Mungkin kerana terbuai dengan muzik ala Caribbean dan menghidu asap ganja, kami pun perlahan-lahan menari di tengah-tengah ramai manusia yang bergembira itu.
Di sebelah kita ini, jika ada kumpulan yang membudayakan tarian, ialah Orang Asli. Itu pun, tarian mereka agak beradab. Cuma sekadar bergoyang ke depan dan ke belakang sambil jalan berpusing dalam satu bulatan.
Zapin, inang atau tarian labi-labi hanya ditarikan oleh kumpulan seniman. Orang awam tidak pernah akan terlibat dalam tarian sebegitu, malah gelaran "perempuan joget dan jantan kaberet" merupakan tempelakan yang jelik.
(Orang Pahang pun, ada ke patut direkanya tarian labi-labi. Kelakar sangat bunyinya.)
Namun semuanya kini berubah.
Sepertimana hari ini tidak ada lagi orang yang malu untuk makan suap, pecah amanah, dan juga rasuah, hampir semua orang sudah menjadikan tarian sebagai 'budaya.'
Setiap hari kita dihiburkan dengan video tular orang itu orang ini menari. Ada yang melakukannya di bilik secara bersendirian, dan tidak kurang juga yang terkinja-kinja di tengah jalan.
Semua itu dipertontonkan dengan memohon perhatian.
Malu sudah habis malah dijadikan cogan kata betapa aib adalah sejenis kemegahan baru. Tidak diketahui bila bermulanya orang kita jadi tidak lagi segan menari-nari di tempat awam seperti sekarang.
Hendak dituduh mereka mabuk arak, tentu tidak mungkin. Walaupun perjuangan untuk menutup kilang minuman itu belum berjaya, pantang paling besar orang Melayu ialah meminum arak.
Masih enggan peduli
Ganja pula terkhas kepada budak-budak yang mahu khayal tetapi bertegas tidak mahu digelar sebagai penagih dadah. Mereka pula tidak senang untuk diajak menari di khalayak ramai.
Jadi apa yang merasuk remaja, orang dewasa dan orang tua yang tiba-tiba bangun menari dan dengan bangga mempertontonkan aksi masing-masing kepada semua orang?
Dosa terbesar kita semua ialah apabila kita menutup sebelah mata, malah kadang-kadang berbangga apabila pemimpin kita kelihatan sepuluh - bahkan sejuta - kali lebih kaya dan bergaya daripada kita.
Lama dulu kita ampunkan mereka kerana kita tidak pernah tahu berapa habuan gaji dan elaun dari khazanah kerajaan untuk mereka setiap bulan. Hari ini apabila semua rahsia itu - sama ada yang halam atau sebaliknya - menjadi pengetahuan umum, kita pun masih lagi tidak mahu peduli.
Hal itu kerana kita menyangka perjuangan mereka untuk memartabatkan satu-satu bangsa adalah terlebih penting.
Lalu kita dipecah-pecahkan dan akhirnya menjadi manusia yang langsung tidak berguna.
Semua hal boleh dibayar. Silap memaki-hamun seseorang, kita boleh tebus kesalahan itu dengan menawarkan potongan gaji sebulan. Kalau menang pilihan raya, mereka bersumpah untuk tidak mengambil gaji untuk bulan yang itu.
Wang menjadi sangat penting, dan kerana itu juga semua orang hilang malu lalu kemudian bertukar jadi beluncas. Tergedik-gedik minta perhatian dan dengan itu mereka berharap semoga beroleh sedikit pendapatan.
Kita semua sudah tidak ada harapan untuk hidup sebagai manusia aman jika semua kita ini masih mendewakan partai-partai politik dan pemimpinnya. Dan memang pun kita tidak akan dapat lari daripada politik dan kejahatannya.
Makanlah rasuah, dan menarilah wahai bangsaku.
ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis, pengembara yang berbakat untuk jadi penari.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.