mk-logo
Kolum
KOLUM | Konflik Rusia-Ukraine: Pasaran minyak dan gas tidak menentu

Harga minyak mentah dijangka terus tidak menentu susulan peningkatan konflik Ukraine-Rusia selain kekangan bekalan yang menyebabkan lonjakan harga tenaga baru-baru ini.  

Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dijangka membawa implikasi besar terhadap pasaran tenaga memandangkan peranan Moscow sebagai pengeluar gas asli kedua terbesar dunia dan satu daripada negara pengeluar minyak terbesar dunia.

Menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (AS) pada Disember 2021, Rusia merupakan pengeluar petroleum ketiga terbesar dunia dan cecair lain selepas AS dan Arab Saudi pada 2020; ia memiliki purata tahunan 10.5 juta tong sehari (bpd) dari segi jumlah pengeluaran bahan api cecair.

Eropah adalah pasaran utama Rusia bagi eksport minyak dan gas aslinya, dan seterusnya, Eropah merupakan sumber utama hasilnya. Rusia adalah sumber utama minyak dan gas asli bagi Eropah, dengan sebahagian besar import minyak dan gas asli benua itu datang dari Rusia.

Rusia juga merupakan pengeluar kedua terbesar gas asli kering pada 2020, selepas AS, menghasilkan kira-kira 22.5 trilion kaki padu.

Eropah dijangka kurangkan pergantungan kepada bahan api fosil

Felo Kanan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan juga penolong profesor perniagaan dan masyarakat Asia School of Business Dr Renato Lima de Oliveira berkata harga minyak dijangka kekal tidak menentu dan terus meningkat dalam tempoh terdekat ini.

Bagaimanapun, dalam tempoh sederhana, konflik itu dijangka menyebabkan Eropah mempelbagaikan pergantungannya kepada bahan api fosil, terutamanya bagi menggantikan 40 peratus gas asli yang diperoleh dari Rusia, katanya.

"Hakikatnya sekutu-sekutu Eropah tidak memberikan reaksi mereka kepada ancaman dan tindakan ketenteraan Rusia itu adalah disebabkan oleh pergantungan kepada tenaga ini, yang membataskan keupayaan mereka untuk memberi respons. Saya menjangkakan dorongan yang lebih tinggi untuk beralih kepada tenaga boleh diperbaharui bagi menggantikan bahan api fosil atau memulihkan semula tenaga nuklear bersih.

"Ini akan dipacu oleh harga gas yang lebih tinggi, menjadikan sumber alternatif lebih murah secara perbandingan, tetapi juga oleh dorongan untuk mencapai keselamatan tenaga dan kedaulatan," kata de Oliveira kepada Bernama.

Pada ketika ini, penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent, meningkat 4.06 peratus kepada US$101.91 setong apabila Presiden Rusia Vladimir Putin meletakkan pertahanan nuklear negaranya dalam keadaan berjaga-jaga di tengah-tengah peningkatan sekatan terhadap Rusia.

Pada hari Sabtu, AS dan sekutunya bertindak untuk menyekat akses bank Rusia tertentu kepada sistem pembayaran antarabangsa SWIFT sebagai hukuman lanjut ke atas Moscow ketika ia meneruskan serangan ketenteraannya terhadap Ukraine.

Pada 24 Feb, harga minyak melonjak berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, menyaksikan  penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent melepasi US$100 setong buat kali pertama sejak 2014.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat lebih 8.0 peratus pada satu ketika untuk mencecah paras USS$105.79 setong, paras tertinggi sejak Ogos 2014, manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate AS mengukuh lebih 9.0 peratus untuk diniagakan setinggi US$100.54 yang harganya kali terakhir dilihat pada Julai 2014.

Menurut de Oliveira, perang besar dan berpanjangan yang melibatkan pengeluar tenaga utama seperti Rusia pasti boleh menjejaskan pasaran minyak yang sudah sedia berada di bawah tekanan kerana ekonomi negara itu telah berkembang lebih pantas tahun ini berikutan pemulihan pandemik berbanding bekalan minyak.

Stok minyak kecemasan mungkin dikeluarkan

Walaupun kesan khusus terhadap pasaran minyak dunia masih belum dapat ditentukan, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) baru-baru ini berkata bahawa negara anggotanya bersedia untuk bertindak secara kolektif bagi memastikan pasaran minyak global mendapat bekalan secukupnya.

Menurut agensi itu, risiko serta-merta ialah kira-kira 250,000 tong sehari eksport minyak Rusia yang transit di Ukraine melalui cawangan selatan saluran paip Druzhba untuk membekalkan minyak ke Hungary, Slovakia dan Republik Czech.

Katanya negara-negara ini mempunyai banyak stok kecemasan milik kerajaan untuk digunakan sekiranya perlu dan menurutnya IEA akan terus memantau rapat pasaran dan menilai keperluan bagi mengaktifkan sistem minyak kecemasannya.

Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes menyifatkan laluan transit Ukraine bagi pasaran tenaga sebagai suatu masalah kerana gangguan besar bakal berlaku kepada saluran paip.

“Tidak semua minyak Rusia disalurkan ke Eropah melalui Ukraine. Bagaimanapun, Rusia masih boleh melencongkan sebahagiannya melalui pelabuhan laut dengan kapasiti simpanan untuk meredakan keadaan. Setakat ini, tiada perubahan terhadap bekalan atau permintaan.

“Apa yang dapat kita lihat dalam pasaran adalah spekulatif dan langkah bergegas untuk mendapatkan tong kerana inventori yang terhad. Setakat ini, tenaga tidak dikenakan sekatan, dan ini telah meredakan ketegangan dan mengawal harga minyak,” katanya kepada Bernama.

Stok minyak di negara anggota IEA berjumlah hampir 4.16 bilion tong setakat akhir Disember 2021 dengan 1.5 bilion tong daripadanya dipegang kerajaan sebagai rizab kecemasan.

Negara pengimport minyak-bersih-IEA mempunyai obligasi untuk memegang stok minyak kecemasan, bersamaan sekurang-kurangnya 90 hari daripada import minyak bersih mereka.

Perdagangan langsung Asia-Pasifik dengan Rusia

Moody’s Analytics berkata walaupun Rusia mempunyai kehadiran fizikal yang luas di Asia, Rusia bukanlah rakan perdagangan utama dengan negara-negara di rantau Asia Pasifik.

Menurut Hala Tuju Statistik Perdagangan Dana Kewangan Antarabangsa, China adalah pengeksport barang terbesar ke Rusia setakat ini yang berjumlah sehingga US$51 bilion pada 2020 dengan sebahagian besarnya terdiri daripada komputer, elektronik dan mesin -- termasuk telefon mudah alih -- dan bahagian kenderaan.

Korea Selatan yang menduduki tempat kedua mengeksport AS$6.9 bilion pada tahun yang sama, diikuti Jepun dengan AS$5.8 bilion.

Bagaimanapun Moody's Analytics berkata eksport ke Rusia agak penting bagi China, kerana ia juga pengimport terbesar barangan di Asia Pasifik dari Rusia, dengan hampir 70 peratus import Rusia terdiri daripada produk berkaitan tenaga, termasuk minyak mentah, petroleum bertapis dan briket arang batu.

"Gas asli adalah komponen import yang kecil, tetapi ini dijangka meningkat dengan perjanjian baru-baru ini antara China dan Rusia untuk mengembangkan kapasiti saluran paip antara kedua-dua negara," tambahnya.

Kesan daripada sekatan terhadap Rusia

De Oliveira berkata sekatan yang dikenakan ke atas Rusia setakat ini adalah sederhana.

"Melainkan negara yang berpihak dengan Ukraine berkongsi sebahagian daripada kos pengasingan pengeluar tenaga utama seperti Rusia, termasuk harga petrol yang lebih tinggi, ia mungkin tidak banyak mengubah status quo," tambahnya.

Langkah menyekat akses tertentu bank Rusia kepada sistem pembayaran antarabangsa SWIFT adalah bertujuan untuk menghalang Putin daripada menggunakan AS$630 bilion rizab mata wang asing bank pusat untuk menceroboh Ukraine dan bagi mempertahankan rubel yang menjunam.

Menyekat bank-bank Rusia daripada sistem SWIFT -- rangkaian pembayaran antarabangsa utama dunia -- akan menjejaskan perdagangan Rusia dengan teruk dan menjadikannya lebih sukar kepada syarikat Rusia untuk menjalankan perniagaan.

Innes berkata sekatan itu belum lagi memberi kesan kepada pasaran minyak dan gas kerana Barat telah mengeluarkan minyak dan gas daripada senarai sekatan.

"Tetapi ini bukan bermakna mereka mungkin tidak mempertimbangkan untuk berbuat demikian di kemudian hari, terutamanya jika pengeluaran minyak syal di AS mendapat insentif kerajaan untuk mengeluarkan lebih banyak minyak yang memberi cabaran dari segi politik," tambahnya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS