Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KOLUM | Di negara ini ghazal adalah satu daripada seni persembahan yang berakar umbi dari Johor. Melalui ghazal, jiwa orang Melayu Johor dapat ditelaah.

Melodi lagu-lagu ghazal memang mendayu-dayu dan amat terasa apabila disulami dengan lirik yang puitis. Kekuatan sesebuah lagu adalah pakej yang menggabungkan keindahan melodi dan susunan liriknya.

Seperti irama blues di Barat, ghazal adalah manifestasi kehidupan rakyat bawahan.

Antara lirik yang sering dibawa dalam ghazal ialah sejarah Laksamana Bentan menegakkan keadilan. Dia merupakan panglima kerajaan Johor yang memerintah pada kurun ke-17.

Laksamana Bentan terkenal dengan kata-kata "raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah".

Ungkapan itu dilafaz Laksamana Bentan sebelum dia membunuh Sultan Mahmud Shah II. Ketika itu, raja berkenaan sedang dijulang untuk dibawa ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat.

Kejadian pada 1699 itu menyaksikan Laksamana Bentan membalas dendam kerana Sultan Mahmud membunuh Dang Anom dengan sewenang-wenangnya. Dang Anom ialah isteri Laksamana Bentan.

Ketika wanita terbabit dimatikan, Laksamana Bentan sedang bertarung nyawa di perbatasan membenteras lanun yang mengganggu ketenteraman kerajaan.

Pantun sebagai asas

Sedangkan kesalahan Dang Anom itu hanya memakan sebiji nangka milik raja. Ia berlaku kerana Dang Anom - yang sedang hamil tua itu - mengidam nangka.

Tuhfat al-Nafis yang ditulis Raja Ali Haji pada 1885 ada menceritakan sejarah tersebut dan periwayatannya terus turun dari satu generasi ke generasi lain.

Pada 1961, KM Basker - dengan dibantu M Amin dan AB Ibrahim - mengarahkan filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dan Nordin Ahmad dipilih menjadi antara pelakon membawakan watak Laksamana Bentan.

Kata-kata Laksamana Bentan dalam filem itu sangat mengesankan. Pada saat berhadapan dengan Sultan Mahmud, dia juga bermadah kata yang cukup puitis:

"Tiap-tiap yang basah, ada keringnya
Bagaimana tuanku menanam
begitu jugalah patik menuai.

Jika kerbau mempunyai tanduk
rotan yang lembut pun mempunyai onaknya.

Raja adil raja disembah
raja zalim raja disanggah."

Melalui seni ghazal, sejarah Laksamana Bentan dirakamkan oleh beberapa kumpulan ghazal Johor zaman berzaman. Antara lagu Laksamana Mati Dibunuh ciptaan Zainoren Md Dom dari kumpulan Seri Ghazal Muar dan Laksamana Bentan oleh Kassim Taib dari kumpulan Seri Timbalan Ghazal Johor Bahru pada 1960-an.

Dalam lagu-lagu tersebut, penulis liriknya menggunakan pantun sebagai asas. Lagu itu mempunyai dua rangkap dengan baris ketiga dan keempat diulang pada rangkap kedua. Liriknya ringkas dan saling berkaitan antara satu rangkap dengan rangkap lain.

Laksamana Bentan menyembah durhaka
Menuntut bela kematian isteri
Seulas nangka empunya angkara
Matilah isteri yang dikasihi.

Seulas nangka empunya angkara
Matilah isteri yang dikasihi
Asal cerita bukan direka
Sudah termasyhur jadi begini.

Ada pelbagai versi lagu Laksamana Bentan, namun pokok daripada kebanyakan lirik itu ada dua sahaja iaitu tentang kezaliman raja dan penderhakaan laksamana demi keadilan.

Lagu ghazal Laksamana Bentan adalah sebuah lagu politik. Lagu melawan kezaliman.

Melawan kezaliman adalah lebih utama meski terpaksa menderhaka dan menanggung akibat yang panjang. Itulah harga perjuangan yang pernah diajarkan oleh Laksamana Bentan.

Ia bukan sekadar soal membela seorang isteri yang teraniaya.

Gigih tegakkan keadilan

Sejarah Laksaman Bentan juga terdapat dalam sebuah buku yang disusun oleh Mana Sikana pada 1980-an. Buku itu dijadikan teks dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu sekolah menengah.

Buku itu memuatkan enam buah drama yang dihasilkan oleh karyawan terkemuka iaitu Shaharom Husain, Usman Awang, Kala Dewata, Abd Talib Mohd Hassan dan A Shukor Harun dan Mana Sikana sendiri.

Drama Keris Laksamana Bentan merupakan karya Shahrom yang ditulis pada 1954 dan diterbitkan The Sentosa Store. Dia juga pernah menulis drama Si Bongkok Tanjung Puteri yang mempunyai kesamaan dari segi falsafahnya.

Drama-drama tersebut merupakan suntikan semangat kemerdekaan dengan menonjolkan tokoh-tokoh tempatan yang gigih untuk menegakkan keadilan.

Melalui fungsi kesusasteraan, pejuang kemerdekaan menggunakan kekuatan pena mereka menanamkan kesedaran kepada masyarakat.

Dalam konteks sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, membaca periwayatan tokoh-tokoh silam hendaklah dilihat secara bijak.

Keris adalah lambang kuasa dalam kosmologi orang Melayu. Keris adalah senjata unik dan paling berbisa dicipta Melayu. Jumlah lok menunjukkan darjat si pemiliknya.

Pun begitu meski berapa jua jumlah loknya, tujuan keris tetaplah membunuh musuh dan mempertahankan diri. Tiada fungsi lain keris selain daripada itu.

Keris juga boleh dijadikan simbol untuk beradu dalam medan pertarungan demokrasi. Namun keris dalam sistem demokrasi harus dicari makna dan falsalahnya yang sesuai dengan keperluan semasa.

Keris boleh menjadi tulang belikat menyatukan pelbagai kekuatan kejahatan berwajah mulia. Ia adalah keris yang menyatukan kabilah yang pelbagai.

Bukan keris menikam kawan dan melukakan diri sendiri. Laksamana dalam barisan pembangkang, kepada kalian tulisan ini ditujukan.

Kini di Johor, ke perut mana kalian mahu tusukkan 'keris' itu?


MUHAIMIN SULAM ialah penasihat Nusantara Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS