Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

CERPEN | Dolah Braun memang suka main ghazal. Memang dia pandai menggunakan harmonium, tabla, syaringgi dan sitar. Beri sahaja irama muzik Hindustani. Memang cekatan dia memainkan. Dulu-dulu ada ahli keluarganya dalam Johore Military Force yang pernah ikut main ghazal dengan Pak Lomak yang mencipta lagu ‘Pak Ngah Balik’, ‘Musalmah’ dan ‘Makan Sirih’ itu. Jadi apabila ada calon pilihan raya menghampirinya dan memberitahu mereka akan memberi duit untuk mengasaskan kumpulan ghazal, Dolah Braun seronok tidak terkira. Ada rasa terkinja-kinja dalam jiwa. 

Kata calon pilihan raya, ‘Kita semua keluarga’.

Chewahhhhh.

Dolah Braun kira-kira. Sebuah kumpulan ghazal mesti ada lapan, tidak pun sembilan ahli. Mesti ada pemain harmonium. Yang jaga tabla. Ada pula penggesek biola. Mesti ada seorang pandai gambus. Yang senang dicari orang main gitar. Budak-budak sekolah dari Iskandar Puteri atau Kempas, atau Puteri Wangsa boleh diajar main marakas dan tamborin. Dolah Braun boleh menyanyi. Susah-susah dia heret bini dia sekali Munah Ram untuk mendendang lagu.

Dalam masa dua minggu Dolah Braun dapat tubuhkan sebuah kumpulan ghazal. Mereka berlatih setiap hari. Sebab kempen pilihan raya tidak lama lagi. Dolah Braun latih bini dia Munah Ram merenek, sebab lagu ghazal ada bunga-bunganya, irama yang diimprovisasi untuk menyedap lagu. Dia ajar Munah Ram nyanyi lagu-lagu Melayu Asli, Joget, Zapin, Masri dan Hindustan. Dolah Braun galak betul. 

Chewahhhhh.

Munah Ram pun dapat melepaskan gian menyanyi. Kata Munah, “Rasa macam kita pasangan Ahmad Yusof dan S Fauziah dari kumpulan ghazal Seri Maharani, Muo. Kadang bila duet dengan abang rasa macam pasangan Mahyuddin dan M Rosilah dari kumpulan Seri Kenangan, Batu Pahat.”

Dolah Braun diberitahu yang kumpulan ghazalnya akan bermain dan diberi peluang bernyanyi di majlis kempen. 

Kata orang tengah itu, “SOP jangan susah fikir. Omicron ke Delta ke Beta ke Patik ke semua kita langgar sebab kita ada lesen besar.”

Chewahhhhh.

Sukalah Dolah Braun. Mana sedap menyanyi online. Budak-budak Youtube perasan sedap bolehlah menyanyi online. Dolah Braun sudah berangan akan jadi penyanyi ghazal tersohor seantero Johor sebab kumpulan ghazalnya akan dibawa berdendang seluruh negeri. Dua minggu kempen dia dijanjikan akan dapat setengah juta. Orang tengah itu keruk-keruk saku dari seluarnya yang nyaris terlondeh itu, dan keluarkan duit tunai tiga ribu. Ini pendahuluan untuk beli alat muzik baru, dan umpan budak-budak pemuzik. Demikian kata orang tengah itu.

Dolah Braun tak berlengah memesan alat-alat permainan ghazal dari Parit Hailam, Senggarang, Batu Pahat. Dia berfikir-fikir, kumpulan ghazal itu mesti ada satu lagu berhantu. Yang mana setiap kali membuat persembahan sebelum ceramah politik dan acara sogok duit kepada pengundi, dia mesti menyanyi lagu berhantu itu. 

Lagu itu kata bininya Munah Ram mestilah bernyawa macam lagu ‘Seri Mersing’ yang Pak Lomak suka alunkan. Mesti macam lagu ‘Johor Bahru’ nyanyian Mokhtar Zam Zam. Atau lagu yang S Baharom suka bawa iaitu ‘Bukit Terih’. Atau lagenda ghazal Haji Yusuf Agil pula selalu mendendangkan ‘Tanjung Puteri’ dan lagu ‘Pantai Lido’. Kata Munah Ram, semua lagu itu berhantu habis. 

Kalau setakat bergamat, Dolah boleh petik syaringgi, sitar, harmonium, tabla dan ganti-ganti dengan Munah nyanyi lagu-lagu Melayu Deli lama ala kumpulan Hamzah Dolmat. Tapi kata Munah Ram, dia mahu sebuah lagu bernyawa. Supaya orang dapat mengenang dia sebagai Rosiah Chik alaf baru. Kalau tak pun Rosiah Chik, orang kait macam M. Mariam pun jadilah. Walaupun sebenarnya Munah Ram rasa dia boleh pergi sejauh Orkid Abdullah. 

Dolah Braun asyik dan khayal bila Munah Ram kata begitu. Dulu-dulu penyanyi dan pemuzik ghazal dapat tempat istimewa. Tempat duduk mereka permaidani indah tanda penghormatan. Kalau bermain di majlis perkahwinan betul-betul depan tempat persandingan, di atas pentas rendah yang didirikan khas untuk mereka. Mereka akan duduk bersila bermain muzik dan dia akan menyanyi seraya berdiri. Munah akan menggelek sedikit, jungkit buntut. Kalau lebih bermaruah kadang mereka duduk atas kerusi dalam bentuk setengah bulatan. Penonton akan duduk di bawah, berkerumun di atas lantai dan asyik mendengar mereka berpantun menyanyi mendayu. 

Kalau dulu-dulu zaman ada Pesta Dendang Rakyat memang persembahan ghazal berhantu. Malah ada kumpulan ghazal pernah menang pertandingan anjuran Radio Televisyen Malaysia tahun 1973. Tapi itulah belum ada lagu berhantu dapat disiapkan. Hendak dinyanyikan pasal Simpang Renggam macam tak kena. Hendak dikarang lagu pasal Segamat pun macam tak bersemangat. Kalau dilagukan pasal Keluang atau Kota Tinggi pun tak serasi. Dolah Braun cuba cipta lagu tentang Pagoh jadi tawar atau Bukit Gambir, juga serasa cirit. 

Hari demi hari berlalu. 

Bila hari dekat penamaan calon, orang tengah parti tidak ada pun menghubungi Dolah Braun. Padahal semua benda sudah dia siapkan. Alat permainan ghazal baru-baru belaka. Memang tiga ribu tak cukup, tapi dia dayakan juga. Dia keluarkan wang simpanan sebab isterinya Munah Ram dah bayangkan lagu mereka dialun di Spotify dan Apple Music. 

Kata Munah, manalah tahu kalau Shakira terdengar lagu mereka dan cari untuk berduet. Bolehlah mereka ke Hollywood. Sebab Adele pun dah pindah ke sana. Chewahhhhh. Tapi kali ini menyebut Chewahhhhh sudah rasa macam tak berbangsa.

Dolah Braun sudah gelisah sebab orang tengah parti sudah berjanji. Dia mulai terganggu. Sebab pemuzik kumpulannya sudah meninggalkan kerja sedia ada berlama-lama. Pak Din yang tiup harmonium memang perlu cari duit untuk pembedahan jantungnya. 

Ulang-alik ke IJN di Kuala Lumpur untuk dapatkan ubat cair dan pekatkan darah makan wang juga. Manakala yang pukul tabla itu nelayan di Muo. Sidek bergaduh-gaduh dengan anaknya yang masuk parti budak-budak dan melarang bapanya main muzik untuk parti yang calonnya menggubah wang haram. 

Si penggesek biola itu Malik memang pendiam, tapi diam-diam pun janganlah ditipu-tipu. Orang pun perlukan duit juga. Dulu sebelum Covid dia bawa prebet sapu keluar masuk Singapura. Kalau tak jadi kumpulan ghazal ini hendak makan apa. Yang ketik gambus itu Mat, bini dia asal Vancouver; kalau tak dapat main muzik berperang besar pula dia dengan bini dia kelak. 

Si pemain gitar budak pengkid nama Semah itu cepat naik angin. Yang main marakas dan tamborin pula anak Fazil Togel dari Simpang Renggam. Lama meninggalkan kebun nanas sebab berlatih muzik. Dolah Braun dah mula risau.

Bila anak Dolah Braun dan Munah Ram balik dari Singapura empat hari sebelum penamaan calon, anak mereka Kasim Caprice ketawa bila melihat barang-barang muzik tergeletak di tengah ruang tamu, dan muka masing-masing kusut juga sendu.

Kata Kasim Caprice, Di tempat kerja saya itu ada sebuah penerbitan akademik dihasilkan oleh beberapa penyelidik, teman saya. Judulnya ‘Beneath the Veneer: The Political Economy of Housing in Iskandar Malaysia, Johor’. Teman-teman saya itu nama mereka Keng Khoon Ng dan Guanie Lim. 

Dalam tulisan mereka itu dikaji tentang ketidakmampuan orang Johor membeli rumah. Mereka ingatkan perihal skandal tanah di Johor melibatkan 35.78 juta. Ada pemimpin yang songlap. Juga kes tanah Bumiputera yang tergadai di Kota Masai, Tebrau, Kulai, Kempas dan Nusajaya. 

“Kalau ayah baca kajian mereka ada diterangkan mengenai pemilik saham Forest City. Itu kerjasama pemodal China dan, hemm ala ayah pun tahu…itu semua memang gadai tanah dan air kepada kuasa asing. Ini bukan soal Cina atau Melayu, tapi perihal lahap menggadai milik negara ke kuasa luar.”

Dolah Braun dan Munah Ram menganga mendengar kuliah anaknya mengenai saham sebuah syarikat berpangkalan di Guangdong. Menitik air mata Munah Ram bila dikisahkan betapa orang Malaysia sendiri tidak berdaya membeli hartanah di Medini. Ternganga mulut Dolah Braun bila anaknya menceritakan isi kajian kawan-kawannya yang pemaju projek itu sudah kabur dan kabut.

“Jadi tak usahlah ayah menolong orang parti yang datang keruk saku dan poket untuk tabur rasuah, janji dan pembohongan. Jangan nanti dah mati, cucu cicit kencingkan kubur ayah dan mak.”

Munah hanya meraung, “Ala Kasim…” agar anak mereka menghentikan cerita-ceriti ngeri itu. Usaha hendak menukar negeri jadi mini Shenzhen, China. Dan bagaimana untuk mengayakan orang yang sedia kaya di dunia ini.

Esoknya, kepada pemuzik kumpulan ghazal Dolah Braun minta anaknya Kasim atau Caprice menghuraikan projek gagal 1370 hektar itu. Macam-macam Kasim babadkan lagi pasal Forest City. Chewahhhhh. Seperti Dolah dan Munah, meruap-ruap darah mereka. Kata Sidek tahulah dia sekarang kenapa misalnya anaknya sibuk sokong parti budak-budak muda dan beria-ia mengherdik kluster mahkamah. 

Malam itu Dolah Braun dapat idea untuk mengarang sebuah lagu berhantu. Chewahhhhh. Liriknya antara lain berbunyi:

Forest City tamannya China
Duduk di tebing merempat Melayu
Konon berlagu nusa dan bangsa
Senang dan sedap kenalah tipu.

Munah Ram menyanyi penuh mendayu dan sayu ala-ala Rosiah Chik, serak-serak sebak meratap dan merayu:

Forest City kisahlah Melayu
Dihinjak banduan bertalu-talu
Hatiku runsing bertambahlah pilu
Mengenangkan nasib
Mengenangkan nasib
Melayu dah piatu
Hatiku rungsing bertambahlah pilu
Mengenangkan nasib
Mengenangkan nasib
Tak ada pejuang tolong Melayu.

Pantai Forest habis ditambak
Disebut city kononnya masyhur
Disebut city dapatlah bala
Pohonkan doa kitalah bersyukur
Negaralah kita, negaralah kita
Hai aman dan makmur
Pohonkan doa kitalah bersyukur
Negaralah kita, negaralah kita
Hai aman dan makmur.

Demikianlah Ghazal Forest City menjadi lagu berhantu nyanyian Munah Ram ciptaan Dolah Braun ketika itu. Sampai sekarang terngiang-ngiang kalau didengar malam hari. 

Rujukan

Rohaya Ahmad. 1994. Ghazal Melayu Johor. Dalam Abdullah Zakaria Ghazali dan Zainal Abidin Borhan. Johor Dahulu dan Sekarang. Persatuan Muzium Malaysia. Kuala Lumpur. 54-90.

Keng Khoon Ng dan Guanie Lim. 2017. Beneath the Veneer: The Political Economy of Housing in Iskandar Malaysia, Johor. Trends in Southeast Asia 12. ISEAS Yusuf Ishak. Singapura.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS