Paling Popular
Terkini

KOLUM | Apabila terdengar kisah itik patah kaki yang katanya tidak mengenang jasa itu, kami teringatlah akan kisah nyamuk yang masuk ke kepala Namrud.

Bukanlah kami mahu menyamakan kisah kekecewaan partai berkenaan yang ditinggalkan dengan kisah si Namrud yang sombong itu.

Tetapi daripada kisah yang tidak sohih yang kami dengar, nyamuk yang taat menurut perintah Tuhan untuk menyeksa Namrud itu ialah nyamuk yang tempang. Ia nyamuk yang hanya mempunyai satu sayap.

Hanya itu persamaan yang ada kepada kisah kedua-dua binatang tersebut, yakni nyamuk dan itik. Kedua-duanyanya sedikit cacat.

Agaknya begitulah Tuhan mengajar kita. Apabila kita berasa besar, sombong dan tidak lagi mahu berpijak di bumi nyata, maka dihantar-Nya binatang paling lekeh untuk memberi sedikit penyeksaan di dunia ini.

Sesudah itu tentu saja ada kesakitan yang teramat sangat menanti di alam yang satu lagi jika kita tidak bertaubat.

Untuk memudahkan faham

Namun untuk tulisan kali ini , tidaklah kami bermaksud untuk bercerita mengenai kecewa mahu pun patah hati mana-mana orang politik. Kali ini kami ingin menggunakan ruang ini untuk kepentingan peribadi.

Sekitar Mac nanti kami akan mengadakan suatu pameran lukisan. Ia adalah pameran solo kami yang ketiga selepas Blues Malaya dan juga Lolong.

Untuk kali ini kami memilih cerita mitos naga Tasik Cini sebagai tema. Dan sebagai pencerahan, kami akan ceritakan bagaimana kerja-kerja yang kami hasilkan untuk pameran akan datang itu dibentuk.

Untuk semua pameran, pelukis diminta untuk menyertakan sedikit pernyataan karya dalam bentuk penulisan. Walaupun kami rajin menulis, kami agak culas menyediakan penyataan karya.

Namun ia adalah perlu bagi melancarkan lagi pemahaman khalayak mengenai mengapa sesuatu karya dihasilkan sedemikian rupa.

Kami mengambil semua watak yang sebenar dalam mitos dan menceritakan kembali apa yang berlaku mengikut nafsu secara bebas. Di bawah ini nanti kamu akan baca kisah sebenar yang kami reka sebagai asas kepada semua 16 karya untuk pameran itu - yang kami namakan sebagai Mujarad Naga Tasik Chini.

Sebuah naskhah lama ditemui sekumpulan mahasiswa yang menjalankan kaji selidik di tapak biosfera Tasik Chini.

Dalam naskhah yang diriwayatkan oleh Berok Bertongkat - haiwan yang paling dihormati kerana kecerdasan dan juga usianya yang panjang - menceritakan bagaimana rumah tangga bahagia pasangan Naga Sri Gumum dan Naga Sri Pahang serta anak jantan mereka (yang tidak pernah diketahui namanya) diganggu oleh Nenek Simukut, siluman sakti yang boleh bertukar bentuk sesuka hati itu.

Nenek Simukut yang cemburu akan kecantikan Naga Sri Gumum dan keindahan Tasik Chini memulakan rancangan jangka panjang bagi memusnahkan hidup naga berkenaan serta tasik tersebut.

Jadi terlalu liar

Nenek Simukut menggoda Naga Sri Pahang dan tewaslah beliau atas segala godaan dan janji kemewahan lalu mengikut pergilah ia bersama Nenek Simukut.

Setibanya mereka di tengah Laut China Selatan, Nenek Simukut mengeluarkan tongkat ajaibnya. Dengan sekali lafaz mentera saktinya, Naga Sri Pahang disumpah menjadi sebuah pulau.

Disebut oleh orang awal bahawa pulau itu pada mulanya digelar sebagai Pulau Naga Tak Berteman. Namun setelah zaman berlalu, pulau itu kini digelar sebagai Pulau Tioman.

Naga Sri Gumum yang kehilangan suami itu pun membesarkan anak jantannya bersendirian. Namun tenaga betinanya tidak mampu untuk menandingi kebuasan nasfu remaja anak terbabit.

Anak jantan itu menjadi terlalu liar dan sering ke mana-mana beradu tenaga.

Suatu hari anak Naga Sri Gumum mencabar Naga Sri Kemboja iaitu antara naga yang paling gagah di seluruh jagat raya pada waktu itu.

Dengan tenaga mudanya, ditambah dengan kelincahan akal turunan ibunya, anak jantan Naga Sri Pahang dengan mudah mengalahkan Naga Sri Kemboja.

Akibat aib dengan kekalahan tersebut, Naga Sri Kemboja pergi berjumpa Sang Gajah Putih, penguasa bagi seluruh kawasan bertanah dan berair yang terbit matahari.

Dengan muslihat, Naga Sri Kemboja berjaya meminjam selaras senapang daripada Sang Gajah Putih.

Berbekalkan beberapa butir peluru emas, Naga Sri Kemboja mencari anak jantan Naga Sri Gumum. Kemudian ditemuinya si jantan tersebut sedang bermanja-manja dengan ibunya. Lalu ditembaknya di situ juga.

Maka matilah anak jantan di hadapan ibunya sendiri, Naga Sri Gumum. Menangislah naga betina itu akan kesedihan yang amat sangat. Naga itu juga marah, lalu mengamuklah ia sehingga memusnahkan seluruh kawasan Tasik Chini.

Air mata melimpah-limpah

Tasik yang terkenal cantik itu dibinasakan setiap kali terkenang akan kemalangan yang melanda jiwanya. Lalu sedikit demi sedikit tasik yang suatu masa dulu menjadi kebanggaan banyak manusia dan haiwan berubah menjadi tanah yang semakin kontang.

Airnya tidak lagi melaut seperti masa nan lalu.

Teratai yang sering dinisbahkan kepada tasik tersebut juga menjauhkan diri. Apa yang tinggal hanyalah beberapa kuntum teratai yang degil.

Naga Sri Gumum pula - setelah mendapat nasihat daripada Tok Hajjah si nenek kebayan - telah pergi bertapa ke Istana Emas di dasar Laut Serodong. Duduklah ia di sana berlama-lama.

Sesekali apabila terkenang akan suami dan anaknya, Naga Sri Gumum akan menangis semau-maunya dan akibat dari kesedihan yang berpanjangan itu, air matanya terkumpul dengan banyak sekali sehingga memenuhi Tasik Chini.

Namun air mata itu tidak berhenti mengalir. Selepas Tasik Chini penuh, air itu kemudian melimpah dan mengalir ke Sungai Pahang.

Dari sana air mata tersebut pergi ke seluruh sungai di Pahang. Kerana hal itu jugalah, apabila segala sungai tidak lagi boleh menampung air mata Naga Sri Gumum, negeri akan dilanda banjir besar.

Demikian riwayat Mujarad Naga Tasik Chini menurut si Berok Bertongkat, cendekiawan yang memberi pelbagai gelaran kepada dirinya sendiri itu.

Mutakhir ini, kesedihan Naga Sri Gumum seperti sedang memuncak kerana air matanya bukan sahaja mengakibatkan banjir di Pahang malah hingga ke Terengganu, Kelantan dan juga Selangor.

Terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa satu usaha sedang giat dilakukan di sekitar Tasik Chini bagi mencari dan menangkap Naga Sri Gumum.

Ia akan sama ada dihiburkan atau dibunuh bagi mengelak tangisannya menjadi bah yang seperti tidak pernah mahu kebah di Pahang dan seluruh Tanah Melayu akhir-akhir ini.

Walaupun hampir seluruh kawasan tersebut kini giat digali, ditebas, ditebang dan airnya diracun bagi memaksa Naga Sri Gumum keluar daripada persembunyiannya, ia belum membuahkan sebarang hasil.

Usaha gigih masih diteruskan hingga hari ini dan kami mendoakan agar mereka - yang mencari dan belum menemukan naga tersebut - akan berjaya.

Demikian penyataan karya untuk pameran yang kami sebutkan tadi. Nanti kami akan hebahkan tempat dan masa pameran akan diadakan.

Kami juga berbesar hati jika ada antara kamu semua yang sudi datang ke pameran itu nanti.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis, pencatat dan kawan kepada Naga.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS