Paling Popular
Terkini

KOLUM | Setiap kali terlihat iklan mengenai larangan merokok, secara automatik kami ini jadi terlalu ingin untuk merokok.

Jika sedang memandu, kami akan memberhentikan kereta, keluar, lalu merokok. Ini kerana kami tidak merokok di dalam kereta. Asap rokok akan membuatkan kereta berbau tidak nyaman.

Atau jika ke panggung wayang dan stesen minyak kemudian terlihat tanda amaran tersebut, kami akan tergesa-gesa menyalakan rokok tanpa memberi peluang kepada otak kami untuk berfikir. Sementelah pula otak kami pun bukan selalu digunakan.

Kami ada bukti dua surat saman kerana merokok di tempat awam. Satu daripadanya telah membawa kami ke mahkamah, sementara satu lagi kami selesaikan di pejabat kesihatan daerah sehari sebelum tarikh luputnya tiba.

Katakan apa yang kamu mahu namun sifat mahu melawan ini sebenarnya memang sudah ada pada semua orang. Bezanya cuma pada cara kamu melayan keinginan melawan itu.

Ada yang seperti kami yakni demi terlihat larangan sama ada munasabah atau tidak, kami akan lawan. Menang atau kalah tidak dikira. Yang penting ialah melawan.

Setelah ditangkap dan disaman, kami berdendam untuk kembali merokok di mana saja terlihat kelibat tanda larangan tersebut. Biar padan muka pembuat undang-undang.

Atau seperti kamu yang apabila melihat perasuah misalnya, akan mencari jalan bagaimana orang yang kamu sokong itu menemui jalan keluar dan disucikan.

Kasut dibalas kasut 

Usaha kamu kadangkala mungkin kelihatan lucu namun kamu tidak peduli. Yang penting ialah mencari lorong dan longkang bagi meloloskan diri.

Mencuri adalah salah dan apabila kamu dera si pencuri itu, kamu juga sudah menjadi salah juga. Dua salah tentu saja tidak akan menjadi satu yang betul.

Lihat di sekiling dan pasti kamu pernah kenal satu atau dua pencuri tegar di kawasan kamu. Mungkin ada yang pernah kamu belasah atau ganyang bersama-sama orang kampung yang kamu rasa dianiayakan oleh sang pencuri itu.

Apa guna pandai bersilat kalau tidak menghentak budak yang kena ikat, ye dak?

Dia mencuri kasut kamu di masjid, lalu layaklah dia makan kasut sebagai balasan menurut kamu. Demikian sifir mudah tali barut setan.

Esok, lusa, bulan depan, tahun depan setelah bengkak dikeroyok surut, dia akan datang mencuri lagi. Kamu pun tangkap, ikat dan henyak dia sekali lagi. Berulang-ulang begitu sehingga Abang Jamil ataupun kamu sendiri yang mampus.

"Habis tu, nak belai manja dan peluk cium pencuri itu?" kata kamu bercekak pinggang dan bercakap bagai pendekar.

Kalau saja kamu boleh lakukan itu - yakni peluk dan cium si pencuri itu - ada juga bagusnya, namun jika kamu masih panas dalam hati, kami cadangkan kamu lekas-lekas menelefon polis.

Gambar fail

Di sana memang sudah ada ahli yang dilatih lama untuk hal-hal seperti itu. Jangan sia-siakan khidmat mereka. Pandailah nanti mereka mahu uruskan budak mencuri itu.

Kamu pun boleh balik tidur lena sementara datang pula pencuri lain. Jika sekali lagi kamu berjaya menangkap mereka, ulang balik proses di atas.

Percayalah apabila kami katakan bahawa kalau kita semua letak semua hal pada tempatnya, hidup kita akan menjadi lebih bahagia, aman dan teratur.

Tidak akan ada kes membunuh orang yang disyaki mencuri alat siar raya seperti yang terjadi tidak lama dulu, atau lelaki yang membunuh suspek perompak yang dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah, misalnya.

Syarikat peti besi banyak untung

Masjid pula sepatutnya tidak mempunyai tabung yang diikat dan dibiarkan bermalam sendirian. Letak tabung yang boleh dialih pada setiap waktu sembahyang. Buka, kira dan simpan semua sumbangan pada setiap malam.

Jika rajin, masukan terus ke bank setiap hari. Jangan dibiarkan berlama-lama dan mengundang keinginan budak-budak yang sedang khayal itu.

Malu juga sebenarnya apabila melihat banyaknya peti besi dirantai di segala tiang masjid ditempat kita. Sepertinya Islam ini miskin sangat.

Kita juga sudah berada pada tahun yang apa juga pembayaran boleh dilakukan dalam talian. Paparkan saja nombor akaun masjid atau kod QR untuk dilihat jemaah. Tahulah mereka bagaimana menggunakannya.

Sudah terlalu lama syarikat peti besi mengambil keuntungan dari masjid dan surau di seluruh negara ini rasanya. Dan menyebut peti besi itu sendiri pun sudah terasa kunonya.

Modenlah bersama masa.

Betul jika kamu katakan bahawa memukul penjenayah bukan hanya berlaku di tempat kita. Di negara yang kurang membangun, bukan jarang pencuri dikeroyok mati. Namun mahukah kita membawa negara ini ke daerah gelap itu?

Gambar fail

Mahukah kita yang bangga sebagai bangsa berbudi bahasa ini menjadi konco setan hanya kerana duit masjid kurang dua tiga ringgit dipancing budak hisap gam?

Kadang-kadang ada kes rumah orang lain yang dipecah masuk, orang yang tidak ada kena-mengena pula gagah memukul sang pencuri. Lebih sudu daripada kuah namanya itu.

Seperti anak-anak yang berebut harta pusaka emak dan ayah walhal mereka tidak pernah menyumbang satu sen pun pada harta tersebut. Jenis tamak dan muka tak tahu malu.

Malu sebenarnya kita dengan orang politik. Lihat bagaimana mereka yang dituduh mencuri, makan rasuah atau makan duit rakyat namun tidak pernah sekali kita dengar mereka saling pukul-memukul.

Malah walau sering memaki-maki di parlimen, sejurus keluar dari dewan itu mereka pun kembali jadi sahabat yang paling akrab sambil menikmati segelas minuman panas.

Penyokong mereka juga harus dipuji kerana, datanglah apa pun tuduhan, tohmahan malah jika disabitkan kesalahan oleh mahkamah sekali pun, mereka tetap membawa sangka baik terhadap siapa pun pemimpin mereka. Tidak pernah sekali pun kita mendengar mana-mana ahli politik dipukul penyokong kerana mencuri.

Walau pun kami bertegas mahu menjadi orang yang berhemah, melihat pemimpin politik yang mencuri dipukul oleh penyokong mereka adalah impian kami dalam hidup yang serba sementara ini.

Baliklah menjadi orang kerana menjadi hantu setan selalunya akan membebankan. Jangan belasah penjenayah sehingga mereka berdendam untuk terus-menerus melakukan kejahatan.


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis, kolumnis dan perokok.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS