Paling Popular
Terkini

"Kita beloh sini, beloh Pantai Timur ni, doh berpuloh tahun kena air boh. Tiap tahun kena.

"Ada satu masa tu kita doh anggap boh ni macam pesta. Kita keluor ramai-ramai main air.

"Masa tu ada menteri sampai hati cadang boh kita ni jadi tarikan pelancong. Yalah, nok jadi menteri bukan payoh cerdik," kata lelaki itu.

Awalnya beliau bertanya kepada kami mengenai jalan masuk ke Lanchang sama ada sudah boleh dilalui atau tidak.

Kami katakan bahawa kami tidak tahu dan - melalui sebatang rokok lagi - kami diberitahu bahawa beliau dari Shah Alam.

"Selama berpuluh tahun kita harung air boh tu, kita reda je la. Lapor ke, lemas ke, rumoh punoh ke, orang tulong ke tidok, kita sabo dan senyum kelat tak kelat.

"Nok goner, kan? Semua kerja tuhan. Hasil tarbiah PAS gamoknya... zaman demer miskin. Le ni demer sibuk.

"Tiba ke aok, sekali kena boh, aok pecoh kedei. Waber betei. Habisnya sapu. Maca kedei wan dia dibuatnya," sambung lelaki itu.

Sebelum itu kami berhenti di tepi jalan untuk merokok. Di situlah pertama kali kami kenal beliau.

Diceritakan bahawa setelah mencuci sedikit rumah sendiri, beliau dan keluarganya bergegas mahu pulang ke rumah ibu mentuanya di Pahang untuk membantu.

Pada rokok yang ketiga dalam tempoh lima minit, kami menjadi mesra dan kami ketawa agak kuat apabila beliau membuat perbandingan "pecoh kedei" tadi.

Betul juga. Selama ditenggelami banjir, tidak ada pun cerita pecah pasar raya kami dengar berlaku di Pantai Timur.

Luang masa, tanya khabar

Karak tahun ini teruk dilanda banjir. Menurut Tok Empat Karak, banjir paling besar pernah melanda kawasan itu ialah pada 1921. Namun daripada apa yang beliau dengar, banjir kali ini mengalahkan bah yang berlaku 100 tahun lalu.

Di beberapa tempat, seluruh kampung 'hilang dari peta' manakala tempat lain hampir semua penduduk hilang segala harta benda.

Anak raja Pahang yang terkenal kacak itu telah pergi ke semua rumah yang ditenggelami sambil meluangkan masa yang banyak bersama penduduk.

Apabila kami katakan bahawa beliau pergi ke semua rumah, maka memang maksud kami ialah memang beliau berkunjung ke semua rumah. Beliau meluangkan banyak masa untuk bertanya khabar dan memberi kata-kata semangat kepada penduduk.

Seperti kata penduduk yang ditemui, setelah patah hati dengan apa yang dialami, lawatan anak raja berkenaan setidak-tidaknya memberi semangat kepada mereka.

Ahli politik seharusnya belajar daripada anak raja itu.

Apabila berlaku apa-apa kemalangan, tugas orang politik ialah untuk meredakan keresahan orang ramai. Jika ada kuasa untuk mengarahkan agensi yang bertanggungjawab keluar membantu, maka lakukanlah segera.

Jika tidak, tunggu air surut dan pergilah berbasa-basi dengan mangsa dan 'hulurlah' sedikit. Awak bukannya tak ada duit. Seutas jam tangan awak pun dah boleh memberi makan orang kampung selama seminggu.

Tak payah pedaah katakan tidak. Lepas tu awak claim-lah daripada kerajaan. Itu pun nak kena ajar ke?

Ini tidak. Bila datang bah, awak jadi tak tentu arah. Panik tak tahu apa yang hendak diterpa.

Dalam kalut orang menyelamatkan nyawa, eh, awak boleh pulak datang dengan bergaya berjinjit-jinjit memijak atap rumah yang tenggelam. Awak tak fikir ke? Awak tu menteri duit. Kalau awak jatuh dan lemas, siapa pulak nak selamatkan ekonomi negara kita?

Lepas tu awak pergi spray taik unggas. Semua orang tahu bahawa unggas yang paling besar ialah garuda. Semua orang tahu bahawa garuda sudah lama pupus. Tinggallah ciak dan gembala kerbau.

Tekak jadi loya

Besar mana sangatlah najis mereka sampai awak nak kena berpeluh ketiak mencuci atas nama simpati semek wey!

Sebut fasal garuda, dulu di Studio Rajawali, semua orang tahu bahawa kami adalah dari kluster kayangan. Kami anak  orang kaya dan tidak pandai dalam mengemas, menyapu hatta untuk mengikat tali kasut kami sendiri pun.

Mengikut kata Nazri Chot: "Dolloh tu bukan reti bbende. Kaler pun suruh orang bancuh."

Memang benarlah kata-kata Nazri Chot itu. Namun ini tidaklah bererti kami perlu turun menyapu studio, menggantung lukisan atau membakar kambing apabila kami mengadakan jamuan, misalnya.

Tugas kami ialah mengarahkan dan memastikan semua kerja yang perlu dilakukan itu diberikan kepada mereka yang pakar.

Semasa di lebuh raya, kami lihat banyak kenderaan yang membawa bantuan. Mereka datang dari segala pelusuk negara. Kami tahu hal itu melalui bendera-bendera yang terikat di belakang kenderaan masing-masing.

Ada juga bendera partai namum kami terus jadi menyampah sebaik saja terlihat lambang partai mereka dikibarkan dengan sombong. Tidak kiralah dari partai mana pun, tekak kami jadi loya.

Kumpulan NGO dan orang perseorangan juga ramai yang turun membantu. Mereka turun atas dasar kasih sayang. Malah ada satu kumpulan budak muda di Kuantan yang - setelah mendapat gaji dan membayar itu ini - baki wang di tangan mereka hanya tinggal 30sen. Tapi mereka mahu juga turun membantu.

Maka pergi mereka ke rumah mangsa banjir dengan sebatang penyapu dan sebungkus roti. Tentu saja kita turut jadi tersentuh dengan cerita kesungguhan Abang Viva yang terkenal itu.

Kumpulan 30sen di atas diketuai oleh Ali Adenan, seorang penyair terkenal yang jika tidak diberi perhatian akan menjadikan negara kita sebuah republik. Hubungi beliau jika kamu ada harta atau tenaga yang mahu dikongsi.

Datang tepat pada masa

Orang politik sepatutnya menggunakan mereka ini. Bantu mereka dengan memberikan apa saja kemudahan yang mereka perlu untuk meringankan beban mangsa banjir.

Salurkan wang ringgit terus kepada mereka tanpa perlu memikirkan kedudukan politik, dan percayalah bahawa kamu akan dapati kebanyakan orang mempunyai kepercayaan teguh dalam hal membalas budi - jika kita tidak sibuk mahu menghebohkan jasa baik yang telah kita lakukan.

Lihat saja bagaimana orang ramai yang datang dari Kelantan untuk membantu mangsa banjir di Selangor dan Pahang. 

Apabila ditanya, mereka menjawab bahawa kedatangan itu didorong oleh rasa besar hati apabila orang dari serata tempat menolong ketika negeri mereka dilanda air dulu.

Jasa baik bukan minta dibalas segera. Ianya akan datang apabila tepat masanya.

Tak payahlah awak sama sibuk memegang sudip untuk membuang lumpur menunggu punat kamera ditekan, atau merayu-rayu meminta derma macam miskin sangat.

Kami semua tahu bahawa kamu semua adalah tersangat kaya.

Kamu adalah pemimpin negara. Tugas pemimpin ialah untuk menguruskan negara, maka uruskan!

Yang kamu pergi memalukan muka kamu dan menyakitkan hati kami dengan lakonan separuh masak tu bakpe? Baser bodo blake.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengembara yang pernah 'hilang' seketika semasa banjir besar Pahang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS