Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum

Buli adalah tingkah laku agresif yang berulang, bertujuan untuk menyakiti individu lain daripada segi fizikal, mental atau emosi.

Bagi pihak sekolah dan asrama, isu buli tidak pernah berkurang walau sepatutnya sudah tiada lagi. Malahan ia semakin merisaukan banyak pihak, walaupun pelbagai garis panduan, peringatan dan nasihat disampaikan menerusi media massa dan media sosial.

Nampaknya penyelesaian gejala sosial buli masih kabur dan jauh, semakin teruk.

Salah siapa kalau pelajar terus dengan tabiat membuli?

Pada siapa boleh diharapkan untuk menangani isu buli? Ibu bapa sememangnya individu yang wajib memantau perlakuan, adab dan pergerakan anak-anak yang sedang membesar. Malangnya untuk ibu bapa tidak dapat bersama anak 24 jam sehari.

Guru dan warden juga bertanggungjawab dengan permasalahan ini dan pihak sekolah perlu mengambil langkah wajar mengenai disiplin. Semua warga sekolah mesti peka dengan tanda-tanda permulaan buli yang mungkin akan berlaku. Tindakan yang cepat boleh mengelakkan kejadian buli.

Disarankan program dan aktiviti yang sesuai dijalankan sebagai langkah-langkah pencegahan salah laku buli di sekolah. Kejadian buli di sekolah juga perlu dilihat sebagai satu gejala yang mengganggu sistem pendidikan.

Kejadian buli boleh berlaku sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja oleh para pelajar.

Tindakan buli merupakan penyalahgunaan kuasa oleh individu kuat terhadap yang lemah dan satu bentuk penguasaan seseorang kepada orang lain yang sebaya.

Selalunya satu pihak akan berasa menang dan satu pihak lagi tertekan sebab tidak mampu mengelak daripada buli atau mempertahankan diri. Mangsa selalunya terperangkap dengan suasana yang dicipta pembuli dan tidak boleh berbuat apa-apa kerana takut mengadu.

Timbul kejadian di sekolah bila anak melihat suasana dan peluang yang ada untuk menggunakan orang yang lemah demi kepentingan diri. Terjadilah buli secara tidak sengaja.

Buli secara sengaja bila anak dalam keadaan kecewa ataupun tertekan di rumah.

Untuk melepaskan tekanan dan menunjukkan kuasa, anak mencari mangsa yang dilihat tidak mampu melawan semula dan kerap mendorong buli secara sengaja.

Anak yang membesar dalam teknologi moden dan canggih seharusnya semakin bijak untuk berfikir, menimbang kesan baik dan buruk tindakan sebelum membuat keputusan seterusnya.

Jauhi buli tidak kira sama ada secara fizikal, lisan, berkait hubungan mahupun buli siber yang kini semakin berleluasa di alam maya.

Buli boleh memberi kesan terhadap kesihatan fizikal, emosi dan kehidupan mangsa, malahan menjejaskan masa depan diri. Mangsa buli selalu berasa tertekan, sepi dan ketakutan, memiliki harga diri yang rendah, mengalami sakit kepala, sakit perut, keletihan dan kurang selera makan yang dihadapi.

Mangsa enggan ke sekolah, tidak suka sekolah dan mempunyai prestasi pembelajaran yang teruk. Ada yang berfikir untuk membunuh diri atau cuba membunuh diri sebagai kemuncak.

Ada beberapa jenis buli iaitu buli fizikal, buli lisan, buli berkaitan hubungan dan buli siber.

Setahun dibuli di SM Teknik Kuantan

Saya seorang mangsa buli sewaktu di Sekolah Menengah Teknik Kuantan dalam tingkatan empat. Saya dibuli antara yang paling teruk, setahun lamanya.

Mula-mula saya ditanya dan disoal oleh senior setiap hari dan disuruh melakukan sesuatu kerja untuk mereka.

Saya mengikut.

Kebetulan saya menang pertandingan puisi peringkat sekolah, nombor satu, nombor tiga, nombor lima, tujuh dan lapan. Lima hadiah untuk penggal pertama.

Ada ramai peminat budak perempuan tingkatan lima yang menghantar surat. Rasanya ada dua orang pelajar perempuan tingkatan lima yang saya ingat menghantar surat kepada pelajar tingkatan empat, iaitu saya.

Selain mendapat surat daripada budak perempuan sekolah berdekatan. Namun saya tidak pernah membalas surat itu.

Satu kejutan kerana budak tingkatan empat memenangi pertandingan itu.

Pelajar lelaki daripada Kelantan mengetahuinya dan memberi amaran: jangan kacau budak perempuan tingkatan lima.

Pada waktu malam beberapa orang mengejutkan saya. Mereka menutup saya dengan selimut dan memukul sewaktu saya berbaring hingga tidak boleh bangun. Saya pasrah dalam keadaan terkejut dipukul sebegitu teruk.

Seorang budak Kelantan bertanya saya, "Ingat mu handsome ke nak ngorat ore Kelate?"

Saya tidak tahu apa nak jawab sebab bukan saya yang memulakan. Saya tidak melayan semua surat yang dihantar.

Saya dipukul lagi. Berkali-kali.

Kemudian apabila malam pelajar lain menyuruh saya melakukan perkara tidak senonoh. Setiap malam saya tidak dapat tidur tetapi masih boleh bangun sebelum subuh untuk ke surau. Tiada senior yang boleh mengganggu saya di surau sebelum makan di asrama.

Saya maafkan mereka

Saya telah dibuli oleh senior yang berlainan daripada kumpulan-kumpulan tertentu. Senior-senior itu juga bergaduh sesama sendiri. Ada daripada Pahang dan ada daripada Kelantan. Yang paling teruk membuli saya ialah senior daripada Kelantan.

Saya terfikir untuk meninggalkan sekolah tetapi saya kuatkan juga semangat untuk belajar. Saya tidak berjaya ke asrama penuh walau peperiksaan SRP saya terbaik di daerah Rompin.

Saya maafkan semua senior yang membuli, memukul, menghentam dan menyuruh saya melakukan perkara-perkara tidak senonoh termasuk bertelanjang.

Di tingkatan lima sewaktu bergelar senior, saya langsung tidak kisah pelajar tingkatan empat kerana saya tidak suka membuli. Dan kerana kesibukan sebagai pendebat dan pemidato, yang bergelar pemidato terbaik Pahang, saya tidak fikirkan semua itu.

Apa yang saya alami adalah pengalaman pahit tanpa dendam sedikit pun. Ada kemudian salah seorang senior saya meminta maaf tetapi saya telah memaafkan semua orang.

No to bully.

Saya tetap antibuli sekolah walau telah meningkat usia. Buli masih menghantaui perasaan dan emosi saya walau sudah belajar di New Zealand selepas itu.


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS