Paling Popular
Terkini

KOLUM | Melaka sudah memilih. Segala telahan, jangkaan dan harapan bercampur-baur. Cabaran politik kini memasuki peringkat baru. Sekarang adalah masa untuk membuat analisis, muhasabah, berpantun dan berdondang sayang sambil merawat luka di hati:

Selat Melaka airnya tenang,
Tempat berlabuh perahu Bugis;
Orang yang jauh jangan dikenang,
Kalau dikenang membawa tangis.

Pengundi Melaka sudah buat perubahan. Dahulu sokong PH, kini sokong BN, manakala sebahagian yang lain kekal mendukung Bersatu-PAS-Gerakan yang melembagakan Perikatan Nasional (PN). Itulah keputusan akhirnya.

Tahniah kepada BN. Takziah kepada PN. Teruskan perjuangan wahai PH.

Terimalah seadanya pilihan pengundi meskipun kadar yang keluar mengundi begitu rendah. Dari satu segi, itulah makna demokrasi. Tidak mengundi adalah salah satu daripada pilihan yang disediakan oleh demokrasi.

Beberapa jam sebelum tamat tempoh berkempen, saya memandu sendirian pulang dari bumi Hang Tuah ke Teluk Intan. Malam itu hujan sekejap lebat, sekejap renyai, bagai sebuah senario suram sebuah drama.

Tetapi ia juga mungkin suatu rahmat yang belum difahami atau kerana angan yang panjang.

Saya berhenti di kawasan rehat Jejantas Sungai Buloh tatkala penat menguasai selepas meredah kesesakan kenderaan di lebuh raya. Sambil mengalas perut dengan sebiji burger, saya lontarkan pandangan ke arah kenderaan yang bertali arus.

Berlindung di bawah konservatif

Dalam fikiran saya berkira-kira agar Pakatan Harapan (PH) kembali mengekalkan kedudukannya secara sah selepas ia dikhianati sebelum pada pengundi dijerkah-jerkah oleh pemimpin politik kononnya sudah membuat pilihan salah pada 2018 sehingga mereka tergamak mengambil kuasa tanpa pilihan raya.

Nampaknya saya tersilap mengira angka pada kali ini.

Kali ini biar saya rakamkan pengalaman sebagai pemimpin parti dan penulis tanpa menjadi batu api kepada kerukunan yang ada dalam PH.

Dasar paling utama saya ialah PH perlu membesarkan jalur tradisionalnya. Jangan terlalu ghairah kepada politik ideal seperti tersurat di dalam buku atau kuliah universiti.

Bahkan saya memang sering skeptikal dengan politik progresif dan universalisme.

Isunya bukanlah idea yang ada itu tidak bagus tetapi Melayu kampung tidak akan memahami idea politik Al-Farabi atau Al-Syatibi. Melayu bandar yang tradisionalis pula masih dibayangi paranoid sehingga mendorong mereka tetap berlindung di sebalik entiti konservatif.

Pada masa sama - dan malangnya - Melayu progresif pula terleka dengan kekaguman kepada idea-idea kontemporari sambil mempamerkan garis elit untuk menjarakkan diri mereka dengan realiti.

Suka atau tidak, kerangka pemikiran masyarakat kita masih terbelenggu dan sistem politik pula tidak memiliki prasarana untuk membuat perubahan secara massa.

Para pemain dan penonton politik pula terlalu ramai yang lidahnya bercabang-cabang serta bertelinga nipis. Apalah yang dapat diharapkan daripada mereka?

Dalam kerangka masyarakat yang begitu, perlu difikirkan sentimen, psikik dan falsafah hidup masyarakat kebanyakan. Ini adalah soal taktikal politik. Apa masalahnya kalau kita mengangkat mushaf al-Quran di hujung tombak sebagai strategi berperang?

PAS sudah memecahkan ruyungnya. Sekarang lebih mudah kerana sudah diteroka pendekatan itu.

Sejarah politik ideal tidak banyak yang berakhir dengan kuasa di tangan. Ini bukan bermakna kita perlu membakulsampahkan politik idea. Bahkan perlu ada keseimbangan yang tuntas di antara ideal dengan realiti.

Politik ideal ini serahkan kepada para sarjana di menara gading. Ahli politik pula medannya berpenceak di tengah pentas massa.

Garis kaum kekal tebal

Kemenangan BN di Melaka adalah suatu romantisisme Melayu terhadap Umno yang kekal tradisional, konservatif dan feudal - meskipun diyakini sebahagian besarnya adalah pada kulit sahaja.

Umumnya soal rasuah, ekonomi antarabangsa, penyelewengan kuasa dan perkara lain yang dibawa oleh PH bukanlah isu yang mampu menyentuh kulit dan menembesui perut bangsa Melayu.

Sepanjang lebih tiga tahun ini, saya banyak menulis mengenai asas politik tanah air dalam dua buku. Pertama, buku Akar Bangsa - Naratif, Budaya dan Identiti yang diterbitkan pada 2019, dan kedua, terbitan 2021 yang bertajuk Menang dan Terbuang - Demokrasi, Deep State dan Darurat.

Ia merupakan upaya saya menekankan tentang keperluan soal politik tradisionalis dalam tubuh dan wajah PH.

Garis pemisah antara kaum masih kekal relevan dalam politik tanah air. Pertimbangan dan perhitungan tidak boleh mengabaikan faktor kaum. Ingat: ini bukan soal idealisme tetapi taktikal politik paling ampuh. Dikotomi antara kaum mesti diambil kira.

Pengundi bukan Melayu masih kekal dengan PH terutama di kawasan yang ditandingi DAP. Bahkan di sesetengah saluran, sokongan mereka bertambah kepada DAP.

Kemenangan MCA dan MIC adalah kerana pengundi Melayu tradisional kembali kepada BN. Naratif lama BN rupa-rupanya tetap hidup segar dalam pemikiran Melayu tradisionalis.

Keberadaan PN dalam PRN pula memberi faedah kepada BN. Harapan untuk pertandingan tiga penjuru memberi faedah kepada PH tidak kesampaian. Dua batu nesan itu memadai untuk memberi nyawa kepada PN untuk bangkit semula kemudian.

Sudah ada pakej wibawa

Jangan tak tahu, politik ini liar. Sudah mati pun ia boleh bangkit kembali untuk membunuh. Kerana itu pencapaian PN tidak boleh dipandang ringan. Bahkan mereka mencapai keputusan agak seimbang dengan PH di sesetengah kerusi.

Secara perbandingan, PN memperolehi kelebihan undi di 12 DUN berbanding dengan PH yang mendahului di 16 DUN. PH mendahului PN di kawasan bandar kecuali di Kuala Linggi dan Asahan yang merupakan kawasan luar bandar.

Kemenangan PH pada PRU ke-14 yang kemudian disia-siakan kerana Langkah Sheraton benar-benar mematikan harapan golongan propembaharuan terhadap politik Malaysia. Ini kerana kemenangan PH itu adalah kemenangan jalur tradisionalis yang ingin pembaharuan dalam politik.

Sayangnya jalur tradisionalis itu dirampas oleh jalur yang terlalu ghairah kepada idea-idea reformasi. Sayangnya begitulah. Ketiadaan Dr Mahathir Mohamad dan Bersatu dalam PH memberi kesan yang tidak boleh diabaikan.

Kedua-duanya adalah simbol politik tradisional PH yang ada signifikan pada kemenangan lalu. Walaupun Amanah sebuah parti konservatif tetapi ia tidak mampu menampung kelompongan yang ditinggalkan Mahathir dan Bersatu.

Ini mungkin kerana kegagalan Amanah membawa naratif sedia ada ke tengah masyarakat.

PH sudah memiliki suatu pakej kerajaan yang berintegriti dan berwibawa. Namun rekod tadbir urus yang baik selama 22 bulan tidak memadai untuk menanamkan persepsi yang juga baik dan berpanjangan dalam pemikiran masyarakat.

PH tidak cukup berwajah sebuah parti yang tradisionalis. Unsur-unsur tradisionalisnya perlu ditambah.

Pada Sabtu lalu - di Melaka - PH benar-benar kehilangan sejengkal galah lama, atau khemahnya tidak cukup besar buat menarik keyakinan pengundi Melaka berteduh.

Entah mengapalah Mahathir hanya duduk di beranda rumah memandang PH berpencak silat. PH bagai hilang langkah dan mentera. Yang pasti, Mahathir tidak perlukan nota nasihat ini. Begitu juga kelompok anti-Mahathir.

Tugas saya ialah menulis. Cuma saya sedar, tulisan ini mungkin akan mati apabila dibaca oleh si naif.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS