Paling Popular
Terkini

KOLUM | Pada 1987, selama dua minggu kami dari Jabatan Geogafi Universiti Malaya membuat kajian tempatan di beberapa buah lokasi di Melaka. Sepanjang tempoh itu, kami menginap di asrama salah sebuah sekolah di Tengkera.

Kami solat di Masjid Tengkera yang menjadi masjid negeri pada waktu itu. Kolah yang kami guna pada masa itu masih kekal ada hingga hari ini. Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kolah tersebut dikeringkan.

Di bahagian belakang masjid itu ada makam Sultan Hussein iaitu sultan Johor yang mangkat dalam buangan.

Pada hari minggu, kami 'bersiaran' di Padang Merdeka dan berfoto depan A Farmosa. Entah apa yang ada fikiran kami ketika itu, tidak dapat dipastikan kerana sudah tenggelam dalam ingatan lama.

Hanya ada beberapa perkara yang masih kekal teringat. Menaiki kereta lembu di Padang Merdeka, misalnya. Itu pun mungkin terpahat kuat di ingatan kerana adanya lagu Kereta Lembu dendangan Helen Velu itu. Antara lain ia bercerita mengenai kenderaan lama melalui liriknya:

Kereta lembu
dari Melaka
ditarik pula oleh
lembu perkasa.

Hah, kereta lembu
rodanya dua
jalannya tak laju
sejam sebatu.

Hari ini, Padang Merdeka yang menjadi tempat kereta lembu berpusing-pusing itu sudah hilang. Dulu, dengan bayaran cuma beberapa ringgit kami dapat membuat satu pusingan padang itu dengan menaki kereta lembu.

Kami naik beramai-ramai. Nampak seperti terpaksa digagahkan oleh sang lembu tua itu membawa kami yang muda perkasa. Tidak pernah pula terasa kasihan kepada sang lembu yang malang itu.

Padang Merdeka itu ialah tempat Tunku Abdul Rahman Putra mengisytiharkan negara berjaya mendapat kemerdekaannya pada 1957. Ia dibuat selepas Tunku kembali dari England.

Padang Merdeka berkenaan kemudian diubah suai menjadi pusat beli-belah. Di atasnya dibuat padang dan kononnya itulah Padang Merdeka.

Disebabkan begitulah yang diisytiharkan oleh keranaan, tiada sesiapa pun membantah. Masyarakat beramai-ramai menerima ketetapan itu seadanya, sama seperti pengisytiharan makam-makam yang dikaitkan dengan laksamana lima bersaudara di Melaka.

Tiada siapa yang tahu

Begitulah, dari semasa ke semasa sejarah pembohongan demi mengaut keuntungan material daripada kepercayaan masyarakat selalu dijadikan alat untuk membina kekuasaan.

Untunglah Adly Zahari berkuasa selama 22 bulan dan dalam tempoh itu dia berjaya menghakis sedikit khurafat di Melaka. Dia membuktikan bukan Umno saja yang boleh membawa pembangunan, kebahagian dan kesejahteraan kepada rakyat.

Itulah modal untuk mengembalikan mandat yang hilang.

Malang Adly tidak berguru dengan Tuah atau Jebat. Jika Tuah sanggup mengorbankan cinta Tun Teja dan menikam sahabatnya sendiri demi sebuah kesetiaan membuta tuli, jika Jebat sanggup menderhaka kepada tuannya, Adly beruntung dinobatkan sebagai calon bendahara sebelum sayembara sebenar bermula. Tunggu sahaja hari sayembara berlangsung nanti.

Adakah Padang Merdeka di Melaka akan sekali lagi bergema laungan merdeka pada 20 Nov ini? Tiada siapa yang tahu. Itu cuma harapan. Ia mungkin menjadi kenyataan dan mungkin juga tidak.

Atau ia hanya menjadi seperti nasib seperti kereta lembu.

Sudah lama kereta lembu tinggal menjadi kenangan cuma. Sekarang hanya beca yang masih bertahan. Penarik beca mengayuh kenderaan mereka demi sesuap nasi untuk keluarga. Ke sana-sini mengejar rezeki.

Beca dihias indah dan dipasang lagu-lagu sebagai halwa telinga pelancong sambil si penariknya cuba melupakan duka lara kehidupan sendiri.

Gambar hiasan

Suatu pagi, saya singgah di warung Mak Cik Ros di depan Kampung Hailam yang kini kosong tanpa penghuninya. Saya bersarapan dengan bekas penyelaras DUN Pantai Kundur, Johari Othman, yang memberi laluan kepada Nor Azman Hassan pada 20 Nov ini.

Politik itu pengorbanan.

Beberapa tahun lalu sebelum Pakatan Harapan (PH) memerintah, penduduk di situ - yang kebanyakannya orang Tionghua - diarah mengosongkan kediaman mereka di kawasan yang sudah 200 tahun dijadikan tempat tinggal. Itu juga satu pengorbanan.

Sebelah warung itu ada kopitiam milik Mei, seorang wanita Tionghua. Kedua-dua mereka berniaga bersebalahan sejak sekian lama. Inilah uniknya Melaka, kota yang pernah menjadi metropolitan.

Kopitiam itu saya temui sewaktu membuat penyelidikan tentang sejarah Rashid Maidin yang lari dari Pusat Tahanan Tanjung Beruas pada zaman darurat dulu.

Kedai warisan turun-temurun

Menurut catatan Rashid dalam memoirnya, dia dibantu oleh seorang budak perempuan Tionghua yang ayahnya memiliki kopiam di depan pusat tahanan berkenaan.

Turut ditahan di situ ialah Pak Sako, dan Bendahari Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Haji Nasim, serta ramai lagi pejuang kemerdekaan. Semua tokoh berjasa itu terus terpasung dalam lipatan sejarah.

Tiada siapa lagi mengisahkan pahit getir melawan penjajah.

Di Kampung Hailam, itu saja yang ada kopitiam yang beroperasi sejak zaman darurat. Sayangnya Mei pun tiada maklumat tentang Rashid. Dia hanya tahu, kedainya itu diwarisi daripada bapanya. Bapanya pula mewarisi kedai tersebut daripada datuk Mei.

Cerita tentang Rashid langsung tiada dalam pengetahuan Mei. Terhenti seketika pencarian saya.

Kembali bercerita tentang malang kereta lembu Melaka. Zaman kegemilangannya adalah semasa pesta mandi Safar di Pantai Puteri yang tidak jauh dari Kampung Hailam. Berdekatan juga dengan pusara panjang yang diistiharkan sebagai makamnya Hang Tuah. Itu pada tahun-tahun 1970-an dan sebelumnya.

Pada hari mandi Safar, deretan kereta lembu dari pelbagai pelusuk Melaka akan bergerak menuju ke pantai. Sudah namanya pun pesta, justeru segala macam hiburan, makanan dan acara dianjurkan.

Orang ramai konon beramai-ramai mandi-manda di pantai untuk membuang bala. Pantai Puteri menjadi seolah-olah Sungai Ganges di India. Ribuan orang tertumpu ke situ. Bala tetap datang juga. Entah angkara dosa siapa.

Tidak dapat dipastikan berapa sen tambang untuk menaiki kereta lembu tersebut. Modal untuk bagi makan lembu tidak semahal minyak petrol. Lembu tetap melangkah meski lelah menarik kereta yang diperbuat daripada kayu.

Sehari dua, jalan raya akan penuh dengan buangan dari perut dan usus lembu. Hanya menunggu hujan lebat membasuh jalan raya atau teriknya mentari yang mengeringkan.

Berdendang lagu duka

Kereta lembu dihias indah dengan bunga-bungaan serta bendera berwarna-warni. Melaka memang sebuah negeri ceria dan harmoni. Melaka adalah kota pelabuhan zaman berzaman. Cuma kini jauh ketinggalan berbanding pelabuhan di Singapura dan Pulau Pinang.

Inggeris dulu menjadikan Singapura, Melaka dan Pulau Pinang sebagai Negeri-negeri Selat yang ditadbir secara langsung oleh mereka. Pusat pentadbiran pula berpusat di Calcutta (kini dikenali sebagai Kolkata), India.

Negeri-negeri lain dikategorikan sebagai Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu denan raja atau sultannya kekal memerintah. Yang berkuasa sebenarnya ketika itu ialah residen, atau tuan penasihat.

Salah satu tanda kemajuan Melaka ialah kereta lembu ditukar kepada kereta kuda. Cuma idea daripada ahli parlimen Melaka mengenai kereta terbang belum kesampaian hingga kini.

Tanda kemajuan lain di Melaka ialah pantai yang asalnya berpasir putih halus kini penuh dengan batu-batu besar yang terdampar keras. 

Nelayan udang geragau di Kelebang hingga ke Tanjung Kling terus menjaja tangkapan mereka di tepi-tepi jalan sambil mendendangkan duka mereka.

Ketika nyawa ibarat telur di hujung tanduk, habis semua dipersalahkan dan dihukum. Siapa yang memberi nyawa kepada pemimpin kemaruk kuasa itu?

Masihkah lagi kereta lembu hendak dipertahankan dalam pilihan raya negeri di Melaka ini?


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS