Paling Popular
Terkini

KOLUM | Memang selamanya kami berpegang kepada keyakinan bahawa salah satu cara paling berkesan untuk semua rakyat negara ini menjadi lebih akrab berkawan ialah dengan jalan bahasa.

Semua orang patut menggunakan bahasa yang sama.

Kami telah nyatakan lama dulu bahawa apa saja bahasa yang diputuskan untuk dijadikan bahasa rasmi untuk negara ini, maka kamilah orang pertama akan pergi mempelajarinya jika ia bukan bahasa ibunda kami.

Kita telah melihat bagaimana Indonesia melakukannya. Mungkin ada sedikit paksaan bagaimana mereka melakukan hal itu namun siapa pun tidak dapat menafikan betapa seluruh rakyat negara tersebut berbangga menggunakan bahasa Indonesia walau di mana pun mereka berada.

Malah orang asal yang kelihatan amat kasar di Papua sana juga menggunakan bahasa Indonesia apabila berkomunikasi dengan orang luar yang datang di tempat mereka.

Kami akan sedikit sentimental apabila mendengar kaum Tionghua dari negara tersebut fasih menggunakan bahasa Indonesia ketika berkomunikasi sesama mereka walaupun ketika berada di luar negara. Tambahan pula pengucapan bahasa yang mereka gunakan itu kedengaran lebih indah daripada cara kita berbicara.

Kita di Malaya ini sedikit demi sedikit hilang seni dalam berkata-kata, sama ada di jalanan, bahkan di parlimen.

Di Britain misalnya, orang politiknya berkelahi juga seperti di parlimen kita namun bahasa yang digunakan kelihatan sangat elegan dek kerana kasihnya bangsa itu kepada bahasa kebangsaan mereka.

Pandang rendah orang lain

Sementara di parlimen kita - selain daripada bertempik dan bersorak seperti beruk - ahli politik kita juga sangat kasar semasa berbahasa. Mereka tidak tahu untuk menggunakan bahasa yang cantik ketika berbahas.

Di samping itu juga masih ada terlalu ramai wakil rakyat yang terpinga-pinga apabila datang kepada hal memilih perkataan yang sesuai. Hal itu terjadi oleh kerana terhadnya perbendaharaan kata dan kemahiran berbahasa yang ada dalam kepala mereka.

Dan kita semua setuju bahawa hampir semua negara di dunia mengambil satu bahasa untuk diguna pakai seluruh rakyatnya tanpa  menafikan hak puak minoriti yang selesa berbahasa ibunda sesama sendiri.

Di tempat kita, kami akan sentiasa berasa takjub jika ke Sabah atau Sarawak. Hampir semua kaum yang ada di sana menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi.

Kita semua juga tahu betapa dengan menggunakan bahasa Melayu, mereka yang di Sabah dan Sarawak masih dapat mengekalkan kekayaan tradisi suku kaum masing-masing.

Bahasa apa pun bukanlah pemusnah peradaban. Yang menjadikan kita jahat, rasis, busuk hati dan kurang ajar ialah sikap memandang rendah kepada orang lain.  Peduli kepada warna kulit, miskin atau kaya dan pangkat kedudukan adalah jalan yang paling lurus untuk kita semua masuk ke kegelapan gua kebodohan.

Gambar hiasan

Orang Cina di negara ini mesti berasa malu jika masih tergagap-gagap mencari perkataan dalam bahasa Melayu apabila cuba bercakap, dan pada masa yang sama mengaku negara ini adalah milik mereka.

Kami tidak peduli jika kaum Cina - atau kaum apa pun - di negara ini mahu anak-anak mereka bersekolah di sekolah kaum sendiri, namun untuk tidak fasih menguasai bahasa Melayu adalah satu pengkhiatan yang tersembunyi.

Sikap mengetepikan bahasa Melayu hanya kerana bencikan orang Melayu yang terkenal pemalas ini lama-kelamaan akan pula membuahkan kebencian kepada bangsa itu sendiri. Bahkan ia memang sudah pun berlaku.

Tadi kami terdengar satu petikan drama radio Bernama mengenai watak Zafrul yang sedang miang itu berbicara birah dengan Iffah. Kerana Zafrul - peniaga kedai alatan sukan itu - pernah belajar di Amerika, maka ucapan yang keluar dari mulutnya bercampur-aduk dengan bahasa Inggeris.

Iffah yang sudah lama kematian laki itu pula tidak mahu kalah. Dia juga berselang-seli menggunakan perkataan Inggeris dalam perbualan galak di antara mereka itu.

Tak pernah sekali pun berani

Kami mengandaikan bahawa penulis skrip drama tersebut menyangka bahawa dengan menyelitkan dialog dalam bahasa Inggeris, maka karyanya itu akan dilihat sebagai sebuah hasil yang diletakkan pada suatu tahap yang tinggi lagi maju.

Jika fahaman sebegitu adalah benar maka sepatutnya Filipina adalah negara yang paling maju dalam kalangan Asia Tenggara ini kerana hampir semua rakyatnya sama ada boleh berbahasa Inggeris dengan baik atau paling kurangnya memahami bahasa berkenaan.

Tahniah kami ucapkan kepada Tuan Ibrahim Tuan Man yang berani menggunakan bahasa Melayu di pentas antarabangsa. Agak kami, beliau adalah antara politikus pertama di negara ini yang melakukan demikian.

Gambar hiasan

Tentu tidak adil jika kita mengatakan bahawa beliau menggunakan bahasa Melayu atas alasan bahawa tidak fasih berbahasa Inggeris kerana kita semua tahu, sebelum terseliuh masuk ke kancah politik, timbalan presiden PAS itu merupakan seorang pensyarah.

Agak memalukan apabila berpuluh-puluh tahun Umno - yang mahu digelar sebagai hero bangsa Melayu itu - memerintah, tidak pernah sekali pun politikus mereka berani memertabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Tanpa ada angin dan tidak ada ribut, tiba-tiba seorang politikus PAS dengan bergayanya berjaya membuka mata semua orang bahawa tidak ada apa yang mahu dimalukan jika berbahasa Melayu di pentas dunia.

Syabas kami ucapkan kepada Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mungkin betul menurut kata sesetengah orang bahawa PAS selama ini hanya berlakon mahu memenangkan Islam walhal mereka  itu sebenarnya adalah pejuang bangsa Melayu yang sejati.

Mereka (PAS) sudah lama merancang, cuma kita saja yang lalai.


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan pemerhati bahasa kebangsaan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS