Paling Popular
Terkini

Betullah gamaknya kata mereka yang namanya disenaraikan dalam Kertas Pandora - bahawa tidak ada apa-apa yang mahu disorokkan. Mengikut kata mereka, semua urusan yang didedahkan itu adalah sah mengikut undang-undang.

Di sebalik ketegapan hati mereka menafikan apa-apa kesalahan, suatu perkara yang tidak mungkin dapat dielak adalah fakta bahawa mereka ada duit, dan banyak pula.

Sejak zaman dahulukala, semasa zaman politik masih dipegang oleh satu parti, kita sudah melihat betapa orang yang bergelumang di dalamnya duduk di satu tahap yang terlebih jauh dan tinggi dari segi kekayaan berbanding apa yang kita ada.

Sesiapa saja yang terjebak dalam arena politik akan sentiasa nampak lebih mewah hidupnya daripada kita yang dipanggil sebagai "rakyat yang selalu didahulukan."

Budak-budak yang kerjanya cuma menghabiskan sebahagian besar hidupnya menempek di tangga pejabat-pejabat parti sahaja sudah teramat kaya, apatah lagi mereka yang berada di atas.

Silapnya kita juga.

Kita ini tidak ada kerja selain daripada mengemis. Dalam semua hal kita akan segera pergi mengadap wakil rakyat. Apabila anak nak mahu masuk universiti, apabila mahu tukar karpet masjid, bahkan kita kadang-kadang langsung tidak malu pergi mencari mereka hanya kerana perlukan seringgit dua.

Bergaya dengan jam tangan

Kerana itulah mereka yakni ahli politik perlu setiap masa mempunyai wang sisipan.  Khabar fitnah yang kami dengar ialah bagaimana hampir setiap ahli politik mempunyai pegawai khas yang ditugaskan untuk membawa sebuah tas tangan berisi wang tunai.

Ia perlu sentiasa ada sebagai persediaan kalau-kalau mereka perlu menghulurkan bantuan kepada "rakyat yang sentiasa didahulukan" itu.

Jika kita rajin mengira wang gaji yang mereka terima, maka kita akan dapati hampir semuanya telah dibelanjakan untuk membeli salah satu jam tangan yang sering mereka gilirkan.

Amat jarang untuk seorang ahli politik memiliki hanya seutas jam tangan.

Lalu kita pun tertanya-tanya: dari mana datangnya wang untuk mereka membeli beras, membayar petrol, sut Armani, tas Hermes untuk isteri dan anak serta cucu, juga rumah musim panas di Eropah sana kerana semua wang gaji mereka dibelanjakan untuk bergaya dengan jam tangan.

Mahu menuduh ahli politik sebagai perasuah, sebahagian besar mereka sudah pun dibuktikan tidak bersalah oleh mahkamah. Maka kita pun jadi bertambah bodoh dan berasakan diri ini tidak berguna setengah sen sekali pun bilamana terpaksa bertungkus-lumus setiap hari berkerja.

Berjerih payah begitu pun kita masih tidak mempunyai simpanan yang baik. Malah ada antara kita yang terlebih bodohnya sehingga tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri di tanah air sendiri walapun sudah berpuluh tahun bekerja.

Mahu menjadi cerdik sebagaimana orang politik,kita tidak mampu kerana semua sudut sudah dikepung oleh mereka dan konco-konco mereka.

Lihat saja bagaimana sekali kamu masuk ke dalam kancah politik maka tidak akan matilah karier kamu selagi ajal kamu belum tiba. Dari ahli biasa kamu jadi ketua bahagian. Setelah itu kamu kian berahi dan berusaha menjadi wakil rakyat untuk beberapa penggal.

Jadi pemegah tak semena-mena

Kemudian dari itu sekiranya kamu telah terlalu tua atau pun tidak popular disebabkan mempunyai kes-kes yang tidak sedap di mata masyarakat misalnya, maka kamu akan dilantik sebagai duta, atau sebagai pegawai khas.

Malah kamu boleh juga menjadi orang yang dihormati dan diletakkan di tempat sangat tinggi kepada mana-mana negeri yang tidak mempunyai raja di negara ini.

Kekayaan ahli politik kita adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Mereka terlalu kaya. Dan kita juga telah berputus asa apabila orang yang beragama - yang kita harapkan memberi sedikit imbangan kepada apa juga sifat jahat yang ada pada ahli politik yang kaya-raya itu - juga lemas dengan harta benda sejurus mereka dipilih untuk bersama dengan kerajaan.

Kita menjadi hiba apabila orang agama itu tiba-tiba hilang hikmah dalam kata-katanya. Mereka menjadi sangat megah tidak semena-mena.

Kemudian ditambah pula dengan tuduh-menuduh, cabar-mencabar antara ustaz-ustaz. Sedang kita kian menjadi cacamarba, orang politik membawa kawan-kawan mereka menaiki kapal layar sambil makan angin.

Di mana lagi harus kita mengadu?

Tidak ada orang politik yang malu dengan kekayaan yang mereka miliki. Mungkin kerana mereka yakin semuanya diperolehi dari sumber halal. Namun begitu, kalau sungguh pun semuanya bersih suci, sedikit prihatin semasa berbelanja sebenarnya boleh 'pergi jauh' di mata orang banyak.

Dan tentu saja wang yang terlalu banyak itu boleh disalurkan untuk meningkatkan ekonomi negara misalnya.

Lambakkan RM1 juta atau RM2 juta setahun seorang sebagai dana untuk industri kreatif, tambah RM1 juta atau RM2 juta lagi untuk membayar yuran budak-budak universiti, bina rumah untuk orang tua yang tidak ada keluarga atau beli saja satu atau dua butir buah pinggang untuk dihadiahkan kepada sekian ramai mereka yang setiap hari berulang-alik ke pusat dialisis.

Ada berjuta dalam kocek

Untuk pengetahuan ahli politik semua, masih terdapat terlalu ramai penuntut universiti yang tidak mampu untuk membeli makanan yang sihat dan memadai pada setiap hari.

Kami percaya tidak akan terluak sedikit pun wang mereka jika hal itu yakni membantu rakyat yang susah tadi dilakukan. Dan bandingkan dengan yuran sekolah tadika untuk cucu mereka yang bapanya entah kerja apa itu.

Agaknya untuk menjadi kaya atau sekurang-kurang hidup tidak diburu hutang, kita ini perlu mengikut budak-budak yang tidak peduli rasa malu itu. Kita pakai baju sendat-sendat dan kita jaja jamu ketat.

Kalau perlu, kita gunakan anak kecil kita sebagai objek hanya untuk menarik orang membeli produk kita. Peduli apa kata orang, kerana yang penting kocek kita penuh wang berjuta.

Hanya kerana mahu menafikan kata-kata editor portal ini yang menuduh kami peminat sajak-sajak cinta, kami akhiri tulisan kali ini dengan dengan sebuah puisi tidak berjudul yang kami tulis lama dulu.

Dari menteri
sampai peon kerani
asal kena tangkap
simpan duit berpeti-peti

Inilah nasib kami
orang sibuk berbahagi
daging batang pinang
kita sibuk berkelahi
berebut batang tulang.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengembara yang terlepas peluang menjadi ketua pemuda cawangan partai politik di kampungnya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS