Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setelah melalui PKP, PKPD dan PKPP selama 571 hari, akhirnya rakyat Malaysia dibebaskan untuk membuat perjalanan merentas negeri. Pengumuman ini sudah lama dinantikan oleh jutaan rakyat Malaysia. Ia hadiah yang lebih bernilai daripada wang ringgit bagi sesetengah yang telah terpenjara jiwa dan raga. Hanya yang terpilih sahaja, terutamanya golongan kayangan mendapat ‘privilege’ membuat perjalanan bukan sahaja rentas negeri, rentas negara malah kalau boleh rentas planet pun mereka dibenarkan. Akan tetapi, jutaan ‘marhaen’ lainnya hanya akur, sabar dan pasrah menunggu kerajaan membuat pengumuman yang dinanti-nantikan sudah hampir dua tahun lalu. Jutaan rakyat terpisah antara ibu-bapa, anak, suami, isteri, ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai dek kerana virus Covid-19 ini.

Apa yang nak disampaikan di sini adalah perihal rentas negeri yang telah diamalkan sejak Mac 2020. Setiap hari ribuan rakyat Malaysia mengunjungi tidak kurang 1,500 buah balai polis di seluruh negara untuk memohon kebenaran merentas negeri. Jumlah ini belum lagi ditambah dengan pondok polis dan kios polis yang pasti jumlah keseluruhannya melebihi 2,000 premis. Melalui observasi dan perbualan saya dengan anggota polis, relatifnya setiap hari tidak kurang 100 permohonan merentas negeri dilakukan di setiap premis polis. Ini bermakna sekurang-kurangnya 200,000 permohonan pergerakkan dilakukan setiap hari. Setiap permohonan pula biasanya bukan berseorangan, sekurang-kurangnya dua dan boleh lebih berdasarkan keperluan dan kes-kes tertentu akan diberikan kebenaran oleh pihak polis. Bolehlah disimpulkan bahawa sekitar 500,000 pergerakkan rentas negeri berlaku setiap hari.

Setiap permohonan yang dilakukan ini adalah secara manual, pemohon mestilah membawa borang yang telah lengkap diisi sebanyak dua salinan, surat Miti, surat-surat berkaitan, salinan kad pergenalan pemohon dan penumpang dan lain-lain dokumen yang dirasakan perlu. Maka bolehlah disimpulkan bahawa tidak kurang satu juta helai kertas beredar di premis-premis polis setiap hari. Ini bukanlah satu jumlah yang kecil, ia adalah jumlah besar yang menidakkan hasrat ke aras paperless dan zero-carbon dan lain-lain istilah buat halwa telinga. Sedap didengar tetapi tidak dipraktikkan.

Mengapa tidak dibangunkan aplikasi permohonan secara atas talian? Mengapa perlu dilakukan secara manual? Malah masyarakat dipaksa keluar ke balai polis untuk membuat permohonan yang menyebabkan berlakunya pergerakkan yang tidak perlu dan kesesakkan. Walaupun mampu dikawal oleh pihak polis, tetapi instrumen yang lebih bijak seharusnya diwujudkan. Jelas, fungsi jawatankuasa pengurusan bencana dan agensi-agensi berkaitan tidak menyeluruh. SOP surat rentas negeri ini dipandang enteng. Aplikasi berkaitan tidak pernah difikirkan, malah sistem manual yang diamalkan kini dianggap berkesan dan cukup sempurna.

Maklumat peribadi

Balai polis sudah menjadi stor simpanan kertas yang sudah menggunung jumlahnya. Maklumat yang dihantar terutama sekali salinan kad pengenalan, salinan pasport dan banyak lagi dokumen adalah bersifat peribadi dan harus dilindungi. Ke manakah berakhirnya semua dokumen ini? Disimpan untuk tempoh berapa lama? Atau ada anggota yang kerjanya menjadi mesin shredder bagi melindungi maklumat yang diterima.

Anggota polis juga terpaksa dibebani dengan tugas baru iaitu menunggu ratusan orang datang dan membuat permohonan. Balai polis terpaksa membuka khemah sementara dan berhadapan dengan pelbagai karenah manusia. Ada juga kes-kes yang berakhir dengan ketegangan dan maki hamun. Malah tidak kurang juga yang menipu dengan mengemukakan dokumen palsu dan sebagainya. Malah yang lebih serius adalah apabila anggota polis harus membahayakan diri dalam suasana Covid-19 ini apabila terpaksa berurusan dengan manusia yang datang dari pelbagai latar belakang.

Semua perkara ini boleh dielakkan jika adanya pemikiran yang lebih jauh ke hadapan dan pengurusan sistem yang integrated. Instrumen yang lebih bijak seharusnya dibangunkan oleh kerajaan dan pihak polis serta badan-badan berkaitan. Satu sistem permohonan yang lebih menyeluruh seharusnya dibangunkan di Malaysia untuk menyelesaikan isu berkaitan permohonan rentas negeri ini. Setiap rakyat harus dibenarkan membuat permohonan secara atas talian dengan menggunakan smartphone dan komputer masing-masing sebagaimana yang diamalkan dinegara-negara membangun yang lain. Dokumen berkaitan seharusnya boleh dimuat naik dengan mudah. Setiap permohonan tersebut mestilah dihubungkan dengan sistem di jabatan pendaftaran bagi menapis kesahan identiti pemohon. Dokumen Miti seharusnya dihubungkan dengan kementerian berkaitan seperti KPDNKK, Kewangan, imigresen dan lan-lainnya.

Pihak polis hanya perlu berada di balai polis dan menyemak satu persatu permohonan. Malah anggota juga boleh melakukannya walau di mana sahaja mereka berada termasuklah jika perlu bekerja di rumah terutama bagi yang menjalani kuarantin kendiri. Tidak perlu kertas sampai bergunung disimpan di balai polis yang akhirnya menjadi beban dan tambah kerja pula utuk menghapuskannya. Risiko berurusan dengan masyarakat awam dapat dihapuskan dan orang awam juga kekal diam dirumah kerana semua urusan adalah di atas talian.

Kelulusan boleh diberikan secara digital termasuk berbentuk fail pdf yang boleh dicetak oleh pemohon. Selain itu kelulusan dalam bentuk barcode juga adalah satu alternatif yang boleh digunakan. Pihak berkuasa yang menjaga SJR hanya perlu melihat skrin smartphone atau scan barcode yang diberikan. Dengan cara ini, semua urusan boleh dipercepatkan. Kenderaan yang melalui SJR tidak perlu bersesak dan ‘jam’ yang panjang hingga lebih satu kilometer.

Bukan antipembangunan, tetapi inilah antara solusi yang perlu difikirkan oleh pihak kerajaan. Jawatankuasa darurat atau jawatankuasa lainnya harus melihat semua aspek berkaitan, bukan hanya berada dalam ruang lingkup yang kecil. Bukan sekadar SOP pandemik, tetapi SOP pengurusan berkesan juga perlu dibangunkan agar sesuai dengan status negara membangun dan bermentaliti kelas pertama.


MOHD MIZAN ASLAM berkhidmat sebagai profesor pengajian keselamatan di Naif Arab Universiti for Security Studies, Riyadh, Saudi Arabia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS