Paling Popular
Terkini

Pada tahun 2001 saya berkenalan dengan Yusuf Islam. Dan pada April tahun itu, saya bekerja dengan Yusuf sebagai pengurus besar Mountain of Light yang beroperasi di Dubai.

Pada 2010 hingga 2013 saya menjadi pengarah untuk syarikat Yusuf yang ditubuhkan.

Yusuf Islam, yang biasanya dikenali dengan nama popular Cat Stevens, dilahirkan pada 21 Julai 1948 yang menjadikannya berusia 73 tahun.

Penyanyi-penulis lagu Inggeris dan pemain pelbagai alat muzik itu memasuki bidang muzik pada tahun 1967.

Cat Stevens menceburkan diri dalam industri muzik pada tahun 60-an dan menggegarkan dunia.

Gaya muzik Yusuf terdiri daripada folk, pop dan rock dan dalam kariernya kemudian, muzik Islam.

Lagu-lagunya termasuk Father and Son, Wild World, Moonshadow, Peace Train dan Morning Has Broken.

Pada tahun 2000, Yusuf mengeluarkan album kanak-kanak yang popular, A Is for Allah.

Pada tahun 2006, Yusuf kembali ke bidang muzik. Dia melancarkan album studio pertamanya dalam 28 tahun, yang disebut An Other Cup.

Pada bulan September 2020, dia mengeluarkan Tea for the Tillerman 2, yang merupakan imaginasi semula terhadap album klasiknya Tea for the Tillerman untuk meraikan ulang tahunnya yang ke-50.

Yusuf berkahwin dengan Fauzia Mubarak Ali pada 7 September 1979 di Masjid Regent's Park di London.

Mereka mempunyai seorang anak lelaki, empat anak perempuan dan sembilan cucu.

Isterinya, Fawzia, tidak pernah mendengar tentang Cat Stevens kerana dia adalah peminat Elvis. Fawzia adalah keturunan Turki-Afghanistan yang tinggal di pinggiran kota London.

Mengenai perkahwinan dengan Fawzia, media massa melemparkan khabar angin bahawa Fawzia adalah pilihan ibunya.

Yusul menjelaskan bahawa pada masa itu dia mempunyai dua pilihan. Seorang daripada Amerika yang baru memeluk Islam dan seorang lagi keluarga tradisional Muslim.

Yusuf mengundang kedua-dua wanita itu untuk bertemu ibunya dan bertanyakan siapakah pilihan ibunya. Ibunya membuat pilihan yang dipersetujui oleh Yusuf.

“Saya tidak punya hubungan akrab dengan mereka sebelum bernikah. Hal itu permulaan dan norma yang sebenarnya. Walaupun begitu, kebiasaan lama dan kejujuran sangat mendukung bagi pernikahan kami akhirnya.

“Nabi mengatakan bahawa ada empat hal yang menjadi pertimbangan untuk berkahwin: kekayaan, kecantikan, keturunan dan keimanan.

“Dan yang paling utama adalah keimanan. Kebijaksanaan ini adalah salah satu yang saya ikuti dan kebahagiaan serta kedamaian yang saya peroleh tida k boleh dihitung. Nama isteri saya adalah Fauzia yang bererti keberhasilan.” ujar Yusuf.

Fauzia yang baik dan sederhana

Mereka membahagikan masa antara London dan kediaman mereka di Dubai.

Saya teringat bagaimana saya berjumpa Yusuf di Dubai Internet City pada suatu pagi sebelum orang masuk ke pejabat.

Saya terkejut. Dan daripada pertemuan pertama itu akhirnya enam bulan kemudian saya bekerja dengan Yusuf untuk dua tahun secara separuh masa, selain menjadi COO untuk Dubai Telecom.

Kemudian pada tahun 2010 hingga 2013 saya kembali dengan Yusuf untuk usahasama syarikat pendidikan untuk menubuhkan sekolah antarangsa selain hartanah.

Waktu inilah saya berbaik dengan isteri Yusuf, Fawzia dan membawa mereka ke Kuala Lumpur.

Pada waktu itu, Sultan Mizan menjadi Agong dan kami menjadi tetamu selama dua minggu untuk kerajaan Terengganu.

Sultan Mizan juga menyokong untuk penubuhan sekolah di Kuala Lumpur dengan diberi tapak.

Kerajaan melalui Najib Razak sebagai perdana menteri dan Muhyiddin Yassin sebagai menteri pendidikan bersetuju memberi RM15 juta.

Tetapi malangnya projek itu tidak dapat diteruskan sebab Yusuf sibuk dengan sekolahnya di England dan nyanyiannya di Amerika.

Saya membawa Fauzia dengan seorang lagi isteri bekas duta yang menjadi pengiring ke serata Kuala Lumpur, malah ke Kuala Terengganu.

Pernah Fauzia secara bergurau memberitahu selepas berjumpa Najib dan Rosmah Mansor, “Saya tahu siapa perdana menteri Malaysia yang sebenarnya.”

Fauzia adalah seorang yang amat baik dan sederhana dalam berpakaian.

Seorang VIP Malaysia berkata kepada saya, “Fauzia tidak memakai pakaian mahal, tidak seperti isteri-isteri VIP di Malaysia. Fauzia cukup sederhana walau sebagai isteri Yusuf yang kaya, Fauzia boleh bergaya lebih dari isteri VIP.”

Begitulah Fauzia, isteri Yusuf Islam yang tidak diketahui ramai.

Selamat ulang tahun perkahwinan yang ke-42.


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS