Paling Popular
Terkini

Dalam kesusasteraan Melayu tradisional, nama-nama seperti Abu Bakar dan Usman jarang ditemui, entah kenapa. Mungkin sahaja untuk saya berspekulasi, tetapi biar tidak usah. Pun, nama-nama Ali dan Umar sering ditemukan.

Kesusasteraan tradisional adalah manifestasi jiwa bangsa, dan merupakan peninggalan kebudayaan yang dapat memahamkan kepada kita perihal falsafah dan cara fikir bangsa. Maka, menekuni sastera klasik akan memberikan kita isyarat mengenai minda Melayu sebelum ini.

Salah sebuah karya sastera tradisional yang kurang diketahui ramai orang ialah Hikayat Saudagar Ali (KM2154). Hikayat ini tersimpan di Perpustakaan Tun Seri Lanang, di Universiti Kebangsaan Malaysia. Ia merupakan sebuah buku yang asalnya dicetak oleh al-Matba’ah al-‘Arabiyah, di Singapura.

Werner Ende, seorang Islamologis berbangsa Jerman dalam sebuah makalah ilmiahnya bertajuk “Schiitische Tendenzen bei sunnitischen Sayyids aus Hadramaut: Muhammad b. ‘Aqil al-‘Alawi (1863- 1931),” yang terbit dalam Der Islam 50 pada tahun 1973 menjelaskan terdapat karya-karya Melayu sekitar kurun ke-20 yang dihasilkan oleh peranakan Arab agak tepu dengan elemen Syiah.

Salah seorang pengarang peranakan Arab ini adalah Sayyid Muhammad al-‘Aqil al-Hadrami yang pada tahun 1907 mencipta kontroversi apabila mengajak pembaca melaknat Muawiyah kerana menyebabkan kebejatan politik umat Islam dengan penubuhan dinasti Umaiyyah. Muawiyah juga adalah antagonis terkenal dalam politik yang memusuhi Saidina Ali.

Hikayat Saudagar Ali (KM2154) yang saya sebutkan di atas amat terkenal dalam kalangan masyarakat Peranakan Arab ini. Tidak diketahui bilakah karya ini diterbitkan, tetapi tercatat hikayat ini dimiliki oleh empunya bahan pada 1 Ogos 1929.

Teks Hikayat Saudagar Ali ini dipercayai ditulis oleh Muhammad Ishak yang berasal dari Kuala Lipis Pahang. Tidak ada maklumat lain mengenai beliau.

Harus disebutkan di sini, pengangkatan dan pujian terhadap Saidina Ali amat biasa dan terang-terangan dalam kalangan masyarakat Melayu.

Antara pengkaji yang rajin melakukan penyelidikan serius mengenai subjek ini ialah allahyarham Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah menerusi Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara dan Khazanah Fathaniyah.

Dalam kalangan masyarakat Melayu, Saidina Ali dirujuk dengan gelaran imam, iaitu “Imam masyariq wal maghrib” (Imam di timur dan barat). Gelaran “Imam masyariq wal maghrib” itu biasa disebut dalam khutbah Jumaat kedua.

Cara fikir kurun ke-20

Almarhum Ustaz Wan Mohd, menyatakan ia “merupakan gelaran yang sangat menonjol untuk Saiyidina Ali KW yang kedua ialah ‘Imam Masyariq wal Maghrib’, iaitu bermakna imam seluruh kawasan timur dan barat.

Oleh demikian, teks Hikayat Saudagar Ali ini memberikan satu kenikmatan lain, iaitu untuk merenung kembali cara fikir bangsa pada awal kurun ke-20. Hikayat ini ikhtisarnya adalah apabila seorang saudagar bernama Ali berjaya dalam perniagaannya.

Oleh keuntungan yang banyak, Saudagar Ali membuat keputusan untuk menunaikan haji. Sebelum berangkat ke Mekah, Saudagar Ali memohon Saudagar Umar yang dikenalinya di pasar untuk tolong menyimpankan sebuah takar berisi jeruk anggur. Tanpa pengetahuan Umar, di dalam takar itu tersimpan juga wang yang banyak.

Tujuh tahun berlalu, Saudagar Ali bukan sahaja selesai menunaikan fardu haji tetapi telah mengembara sehingga ke Mesir dan Turki. Dalam pada itu isteri Umar mengidam jeruk anggur. Umar telah mengambil takar anggur milik Saudagar Ali, melambakkannya ke dalam talam dan terzahirlah wang simpanan Ali tersebut.

Umar mencuri wang itu, memasukkan kembali anggur peram tersebut, sambil mengongsikan bahagian kecil dengan isterinya. Apabila Saudagar Ali pulang, Umar menyerahkan takar jeruk tanpa wang. Ali sangat terkejut kerana wangnya telah hilang. Umar tidak mengakui bahawa dia telah mengambilnya.

Penafian tersebut mencetuskan pertengkaran dan terpaksa dirujuk kepada Pemerintah. Namun demikian pihak pengadilan juga menemui jalan buntu. Baginda memohon untuk memberikan keputusan pada hari Isnin, iaitu tujuh hari kemudian.

Pada satu malam pemerintah ini telah berjalan pada waktu malam di kota Baghdad. Baginda terdengar perbualan olok-olok atau permainan dua orang kanak-kanak yang menggalas nama Ali dan Umar. Dalam permainan itu, Ali tidak mendapat keadilan dan Umar terlepas dengan penipuan dan perbuatan khianat. Pemerintah rasa malu dan tidak mahu lagi menunggu isnin tiba, baginda telah mendesak Umar berjujur. Oleh pengakuan Umar akhirnya, dia dipenjarakan selama 10 tahun manakala wang Ali dipulangkan sebagai modal niaga.

Sudah tentu plot karya ini dapat dianggap lemah jika diukur dengan panduan penulisan kreatif moden. Misalnya betapa mudah Umar mengaku berkhianat. Akan tetapi, dalam karya tradisional, hal itu jatuh di tempat kedua. Ini kerana terdapat perihal maha penting yang lebih ditekankan dalam karya seperti ini.

Harun Jaafar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam sebuah bab dalam buku dengan tajuk Hikayat Saudagar Ali: Transliterasi Teks dan Analisis Strukturalisme menyatakan karya ini temanya adalah “kebaikan pasti mengatasi kebatilan”. Harun juga menyebutkan pengajaran penting dalam karya ini ialah supaya perwatakan Saudagar Ali dijadikan teladan. Iaitu tidak berputus asa. Manakala perwatakan Umar harus dijauhi iaitu “tidak amanah dan degil”.

Menghantar didikan

Hikayat Saudagar Ali ini dapat menjadi cerminan budaya dan minda masyarakat Melayu lampau yang demikian mengangkat Saidina Ali. Seorang penyelidik sastera Islam, Muhamad Bukhari Lubis menghuraikan karya-karya bersifat keislaman ini bukan sahaja satu karya untuk sekadar bercerita tetapi menghantar didikan dan ajaran yang didaktik. Kenyataan Bukhari ini dirujuk Mohd Pozi Masurori dan Zubir Idris, dalam Sastera Melayu Tradisional: Memperkasakan yang Perkasa, begini:

“Fungsi karya-karya kesusasteraan yang berkonotasi keislaman terletak pada keindahan isinya yang berhasrat meningkatkan akhlak yang dituntut oleh Islam, menjelma dalam bentuk cermin-cermin didaktik untuk sang penguasa, pegawai-pegawai istana, mahupun individu. Kualiti diri sebegini amat diperlukan oleh negara yang bercita-cita menjadi sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri, yakni kemajuan berteraskan Islam.”

Jika kita mengambil kira pesan-pesan indah dalam kesusasteraan klasik ini maka terdapat banyak panduan yang diajukan oleh orang lama. Ini misalnya terlihat pada Hikayat Saudagar Ali. Jika kita menggunakan nilai sirat tersurat seperti dipelajari oleh anak darjah dua di sekolah rendah, tidaklah sulit mana pun untuk kita mengetahui apa yang dihantar oleh pengarang. Misalnya, pemerintah tidak perlu menunggu Isnin untuk memberi keadilan, melainkan ada helah untuk disembunyikan. Pemerintah tidak perlu menanti Isnin kerana keadilan tertangguh adalah satu ketidakadilan yang jauh dari ajaran Islam.

Hanya malangnya kita tidak mahu memikir, tidak mahu merujuk, malah tidak mempedulikan pesan-pesan atau amanat ini.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS