Sehingga artikel ditulis, kes Covid-19 di Malaysia sudah mencecah lebih 13,000. Satu angka yang amat tinggi dengan nisbah penduduk yang berjumlah 32 juta. Kadar jangkitan r-naught sudah meningkat lebih 1.0, ini bermakna hampir setiap 10 kes positif berpotensi menjangkiti lebih 10 orang.
Semakin tinggi nilai R bermakna semakin ramai individu berkemungkinan dijangkiti oleh virus ini.
Trend peningkatan kes dan nilai R ini amat membimbangkan kerana ia menunjukkan tahap keselamatan kesihatan negara ini.
Jumlah kematian akibat Covid telah melebihi 6,000 dan dijangka bakal mencecah 10,000 hingga Oktober nanti.
Penurunan hanya dijangka berlaku apabila program vaksinasi mula dilipatkangandakan dan menampakkan hasilnya.
Varian baru dan mutasi tanpa henti virus Covid-19 ini memeningkan semua pihak termasuklah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Banyak negara menghadapi ancaman dan serangan tanpa henti akibat dari perubahan varian yang berlaku.
Malaysia pada ketika ini berada pada ambang krisis kesihatan yang serius, kejayaan dilihat dalam pengawalan dan pengurusan Covid-19 pada gelombang pertama dan kedua.
Akan tetapi kehadiran gelombang ketiga pada Oktober 2020, varian Delta yang dikesan bermula di India dilihat merosakkan seluruh ekosistem kesihatan sebagaimana yang telah berlaku di India sebelum ini.
Kini, varian Lambda yang dikatakan berasal dari Peru pula menyerang lebih 30 buah negara dan dijangka bakal menyerang Malaysia tidak lama lagi. Lambda dipercayai lebih bahaya dan bakal menjadikan sistem kesihatan Malaysia lumpuh.
Persoalannya sekarang ini adakah Malaysia merupakan negara yang selamat? Selamat bagi rakyat Malaysia sendiri? Selamat kepada penduduk Malaysia yang berada di luar negara mahupun selamat untuk dikunjungi oleh pelancong dan sesiapa sahaja atas apa sahaja urusan pun?
Dalam negara
Rata-rata penduduk dalam negara merasakan bahawa mereka berada dalam satu sistem yang tidak lagi selamat. Peningkatan jumlah kes harian amat membimbangkan dan meletihkan.
Rakyat yang sudah ‘dipenjarakan’ melalui siri-siri PKP, PKPD dan PKPP sejak Mac 2020 sudah kehabisan tenaga. Keresahan penduduk berada pada tahap yang sangat serius hingga kes bunuh diri dan kunjungan ke ‘pajak gadai’ semakin meningkat.
Kerajaan kelihatannya habis modal apabila strategi yang sama dilaksanakan dari masa ke semasa akan tetapi natijahnya tiada ataupun boleh dikatakan gagal. Amat menarik apabila sahabat saya, Azran Mohamad di Perlis menyatakan bahawa istilah yang sesuai untuk menggambarkan suasana kepimpinan dalam negara pada ketika ini adalah ‘insanity’ atau kegilaan.
Albert Einstein menjelaskan bahawa ‘insanity’ adalah “doing the same thing over and over again, but expecting the same results”.
Dari isu politik yang celaru dan rancu, ekonomi yang menguncup dan melemah, sistem kesihatan yang letih dan semakin lesu, pelanggaran SOP yang menjadi-menjadi dan ‘double standard’ hinggalah kepada isu kibaran bendera putih.
Rakyat Malaysia semakin tertekan dan putus harap. Jika keadaan berterusan hingga akhir tahun ini, dijangkakan tujuh juta atau hampir satu per tiga penduduk di negara ini akan jatuh di bawah paras kemiskinan dan Malaysia akan berdepan krisis ekonomi yang dahsyat.
Ekspatriat luar negara
Statistik Jun 2020 menyatakan seramai 1.7 juta penduduk Malaysia berada di luar negara sebagai pekerja mahupun yang mengikuti pasangan atau keluarga masing-masing. Kebanyakkan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara adalah dalam kategori profesional dan mempunyai skil yang tinggi.
Rata-ratanya dibayar gaji yang tinggi dan dipandang cukup hormat diluar negara. Kelompok ekspatriat ini mempunyai sudut pandang (world view) yang berbeza berbanding kebanyakkan rakyat tempatan kerana pendedahan berbeza di negara yang mereka tinggal. Sistem pentadbiran, teknologi, budaya dan cara hidup di negara-negara luar ini amat mempengaruhi pola pemikiran mereka.
Akan tetapi apabila golongan ekspatriat ini melihat kepada apa yang berlaku dalam negara pada ketika ini, ia amat menggusarkan. Ekspatriat tidak lagi melihat Malaysia sebagai destinasi yang selamat. Rata-rata mereka memilih untuk tidak pulang ke tanahair kerana gusar kepada kes Covid yang semakin menggila.
Dari mata kaca ekspatriat, kerajaan Malaysia gagal mengawal penularan Covid hingga menjadikan nyawa rakyat berada dalam keadaan yang bahaya. Malah mereka dianggap tidak penting oleh negara hingga pandangan mereka tidak diendahkan sama sekali.
Seharusnya kerajaan mengambil kebijakkan yang dimiliki oleh golongan ekspatriat ini dalam membantu pengurusan dan pengawalan Covid. Ekspatriat yang berada di luar negara dipercayai bukan sahaja terlibat sebagai ‘technical advisor’ dan ‘profesional’ malah mereka juga boleh melakukan ‘technology transfer’ demi kebaikan negara.
Sampai masanya kepakaran ekspatriat ini digunakan sepenuhnya demi kebaikan Malaysia. Juga ‘best practice’ yang dimiliki di negara-negara luar ini harus diimplementasikan ke dalam negara ini.
Pelancong
Jika diimbau kembali ketika gelombang pertama Covid menyerang dunia, Malaysia adalah antara destinasi yang paling selamat. Rata-rata pelancong luar tidak mahu kembali ke negara mereka kerana kes Covid yang sangat memuncak. Malaysia menjadi pilihan untuk mereka tinggal diam dan mendapatkan perlindungan. Akan tetapi keadaan berbeza ketika ini. Rata-rata pelancong lebih senang dan memilih untuk keluar dari Malaysia kerana negara ini tidak lagi selamat untuk dihuni.
Malah yang lebih mengecewakan apabila Malaysia bukan lagi pilihan untuk pelancong hadir dan bercuti. Di kala Maldives, Eropah, Thailand dan Indonesia mula membenarkan pelancong masuk bercuti di negara mereka dengan SOP yang ketat, kita berlaku sebaliknya. Bukan sahaja tidak mampu menerima pelancong luar, malah kita juga tidak mampu menerima pelancong domestik dan membuka semula industri pelancongan yang sudah tinggal nyawa-nyawa ikan.
Akhir kalam, saya menyeru YB menteri melalui SU, SUA, SUSK dan apa-apa sahaja pegawai kanan dan kiri yang dimiliki untuk meneliti kemampuan, kecerdikan dan keupayaan yang dimiliki oleh rakyat Malaysia di luar negara. Malah jangan malu juga untuk belajar dari negara lain yang telah dan semakin berjaya mengawal Covid. Hidupkan semula ‘brain gain’ demi kemakmuran dan keselamatan negara ini.
Vaksinasi bukan penyelesaian jangka panjang untuk pandemik ini. SOP yang tepat, betul dan jelas adalah penting. Sistem dan pengurusan dalam banyak aspek perlu diperbetulkan dari sebesar-besar isu membabitkan lompat parti hingga sekecil-kecil isu seperti perumahan pendatang asing.
Jika Pati masih tidak didaftarkan, rasuah masih berleluasa, integriti hanya slogan dan pemimpin tidak malu & tidak mahu bertanggungjawab jika melakukan kesalahan, maka selagi itulah kita akan melalui proses yang memenatkan dan menimbulkan kebencian awam.
Kegagalan dalam pengurusan Covid ini akan menjadikan Malaysia bukan lagi sebuah destinasi yang selamat kepada rakyat sendiri, ekspatriat mahupun pelancong. Tindakan drastik perlu dilakukan demi mengembalikan kehebatan Malaysia.
MOHD MIZAN ASLAM berkhidmat sebagai profesor pengajian keselamatan di Naif Arab Universiti for Security Studies, Riyadh, Saudi Arabia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.